Ahad, Februari 20, 2011

Dulu miskin tegar, kini usahawan


Zahari Ibrahim memberi makan ikan di ladang ternak keli di Pasir Mas, baru-baru ini.


PASIR MAS 11 Feb. – “Sekarang saya rasa macam pengusaha sebab ladang ternak keli ini dibangunkan melalui duit yang kerajaan salurkan untuk membantu saya dan ramai lagi keluarga turut terlibat,” kata Zahari Ibrahim, 53, yang berasal dari Kampung Suram, Pasir Mas.

Zahari merupakan salah seorang daripada ratusan individu yang disenaraikan dalam e-Kasih kerana tergolong dalam keluarga miskin tegar.

Dengan hanya bekerja sebagai petani tanpa apa-apa sumber pendapatan lain, hidup Zahari dan keluarganya boleh diibaratkan sebagai ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

Bagaimanapun, ketika Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani merangka sebuah pelan peningkatan pendapatan kepada golongan ini, ia memberikan satu harapan kepada mereka untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

Melalui peruntukan yang dikeluarkan, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) yang menguruskan dana tersebut telah memilih 35 peserta yang tersenarai di dalam e-kasih untuk menerima bantuan kerajaan sebanyak RM10,000 seorang dan Zahari merupakan antara yang terpilih.

Wang itu bagaimanapun tidak diberikan secara tunai kepada mereka sebaliknya ia digunakan untuk membangunkan sebuah kolam ternakan keli di Kubang Keroh di sini.

Projek ternakan keli itu beroperasi sejak Disember lalu melibatkan 78 sangkar yang keseluruhannya mempunyai lebih 150,000 ekor keli.

Zahari ketika ditemui baru-baru ini berkata, projek tersebut dapat membantu memberikan sumber pendapatan lain kepada setiap peserta secara tetap setiap tiga bulan.

Beliau yang gembira dengan bantuan kerajaan itu berkata, sebagai peserta, mereka turut membantu memastikan kolam ternakan itu diuruskan dengan baik sementara menanti hasilnya yang dijangka mula dituai menjelang Mac ini.

“Melalui perkiraan, sekiranya semua ikan yang dihasilkan ini dapat dijual kami boleh memperoleh sehingga RM100,000 semusim dan wang ini akan diagihkan secara bersama.

“Saya gembira kerana kerajaan telah memikirkan langkah ini yang menjanjikan pendapatan secara berterusan kepada golongan miskin seperti saya yang amat memerlukan bantuan,” katanya.

Seorang lagi peserta, Halimah Rahman, 50, berkata, dia berasa amat bangga dan gembira dengan bantuan tersebut kerana ia bukan sekadar memberi pendapatan kepadanya tetapi turut melatih mereka menjadi pengusaha.


Zahari Ibrahim memberi makan ikan di ladang ternak keli di Pasir Mas, baru-baru ini.


Jelasnya, meskipun kerajaan ada melantik seorang penyelia untuk memastikan ladang ternakan itu berjalan dengan baik tetapi sebagai seorang peserta beliau akan datang membersihkan kolam setiap hari.

“Setiap hari saya akan datang lihat ikan-ikan ini membesar. Kolam ini adalah hasil wang yang kerajaan bagi jadi saya mahu pastikan ia akan membuahkan hasil dan dapat diteruskan untuk jangka panjang.

“Sekurang-kurangnya saya akan bantu memberi makan ikan dan membersihkan kawasan sekitarnya,” katanya.

Projek keli tersebut merupakan salah satu daripada beberapa lagi yang disenaraikan sebagai antara petunjuk prestasi utama menteri dan dibina dengan objektif meningkatkan pendapatan rakyat miskin di negeri ini dan mengeluarkan mereka dari paras kemiskinan.

Ia juga bertujuan membantu kerajaan mencapai kadar kosong peratus miskin tegar dan kadar kemiskinan sebanyak 2.8 peratus bagi tahun 2010 di seluruh negara.

Program itu membabitkan tiga bidang utama iaitu penternakan, pertanian dan industri berasaskan tani dan diagihkan kepada tiga golongan utama iaitu nelayan, peniaga dan petani.

Sebanyak enam projek tersebut dibangunkan di negeri ini iaitu di Tumpat, Ketereh, Pasir Mas, Bachok, Kubang Kerian dan Pasir Puteh.

Antara projek yang telah membuahkan hasil adalah tanaman cendawan tiram kelabu di Mekasar.

Projek tersebut yang telah dimulakan sejak Julai tahun lalu membabitkan 21 peserta telah pun membuahkan hasil dan semua peserta telah menerima hasilnya pada penghujung Disember lalu.

Penyelia Projek, Nor Azlan Ahmad Nordin berkata, projek tersebut bermula dengan hanya 44 beg yang mengeluarkan cendawan bagaimanapun ia kini semakin maju dan hari ini mempunyai hampir 44,000 beg.

“Kami mulakan projek ini secara kecil-kecilan terlebih dahulu dan bila peruntukkan kerajaan sudah diberikan ia diperluaskan lagi ke beberapa bangsal dan hasilnya hampir 44,000 beg ada di sini dan mengeluarkan cendawan setiap hari.

“Soal pasaran juga tidak ada masalah malah kita sudah ada pembeli yang membuat tempahan setiap hari terutama sekali kedai makan dan selepas ini kita akan cuba memasarkannya ke beberapa pasar raya,” jelasnya.

sumber: Utusan Malaysia Online

Isnin, Februari 14, 2011

Anuar bin Harun - Projek Cendawan

PROJEK CENDAWAN KG BAK BAK

MARAN

Projek cendawan akan memberi pulangan yang lumayan jika diusahakan secara gigih dan bersungguh-sungguh. Salah seorang pengusaha cendawan yang mengusahakan secara intensif ialah En. Anuar bin Harun 37, yang beralamat di No. 21, Lorong TMJ7, Taman Maran Jaya. Beliau telah mengusahakan tanaman cendawan memandangkan tidak ramai jumlah yang terbabit di dalam industri projek ini.

Dengan berbekalkan modal sendiri beliau telah memulakan projek di Kg. Bak-Bak yang jaraknya lebih kurang 2km dari bandar Maran. Projek ini dimulakan sejak akhir tahun 2007. Sebuah pondok bersaiz 20’X20’X10’ telah dibina selepas melihat dan mengkaji nilai komersil tanaman itu dipasar tempatan.


Buat permulaan beliau telah membeli ‘bongkahan/beg’ yang telah siap diisi benih sebanyak 1,000 beg dengan harga RM1.00/beg memandangkan media tanaman sukar diperolehi disini. Selepas 45 hari ke 60 hari pemeraman, cendawan boleh di kutip hasil dengan purata 50gm/beg harga pasaran pula sekitar RM10.00/kg. Mula-mula beliau memprolehi pendapatan sebanyak RM400.00/bulan hingga RM600.00/bulan.

Sambutan yang menggalakan daripada orang ramai dan bekalan cendawan tidak mencukupi telah memberikan semangat kepada beliau untuk menambah bekalan ‘bongkah cendawan’ dan membesarkan kapasiti pengeluaran. Dengan pengetahuan yang ada hasil daripada kursus Penanaman Cendawan di Pusat Latihan Pertanian Inderapura, Kuantan yang dianjurkan oleh Jabatan Pertanian beliau tidak menoleh ke belakang lagi kerana yakin ‘ Pertanian adalah Perniagaan’.

Sehingga kini terdapat sebanyak 6,500 beg bongkah cendawan dimana 4,000 beg sedang mengeluarkan hasil dan 2,500 beg lagi masih di dalam pemeraman. Jabatan pertanian telah meluluskan bantuan sebanyak RM7,000.00 bagi membina sebuah lagi pondok cendawan bagi menambahkan keluasan yang sedia ada. Pondok tersebut telah siap dibina. En. Anuar berharap dapat mencapai sasaran dari RM 3,000.00/bulan kepada RM6,000.00/bulan atau 300kg/bulan kepada 600 kg/bulan.

Selain menjual cendawan segar di No.2 Gerai Buahan Maran beliau juga menjual cendawan goreng dengan harga RM1.00/cucuk di gerai No.3 bersebelahan dengan pusat jualan cendawan segar. Beliau sanggup membeli peralatan mengoreng ’deep fryer’ dengan harga RM1,000.00 bagi memastikan kualiti cendawan goreng beliau ditahap terbaik dan terjaga. Beliau juga mengutamakan kebersihan premis dalam menjalankan perniagaan beliau.

Syarikat Rigo Enterprise kepunyaan beliau bercadang mengembangkan lagi pengeluaran cendawan tiram kelabu untuk dibekalkan di luar kawasan Maran. Selain itu beliau berhasrat untuk memasarkan pelbagai produk cendawan seperti cendawan sejuk beku (frozen), bebola cendawan, keropok cendawan dan popia cendawan sebagai pilihan kepada orang ramai.

Disediakan oleh:

Siti Salmah binti Salehuddin

Pejabat Pertanian Daerah

Maran.

Tip dan Teknik Penanaman Cendawan Untuk Kegunaan Isi Rumah dan Bisnes


Anda mungkin gemar memakan cendawan, namun, anda sebenarnya boleh mengusahakan tanaman cendawan untuk kegunaan sendiri. Tidak percaya?

Anda boleh belajar teknik tanaman cendawan melalui buku karya Zulkifli Ariff ini. Beliau merupakan usahawan cendawan dan kini menjadi mentor cendawan Satu Kampung Satu Industri, Peringkat Negeri Selangor.

Zulkifli berkongsi kejayaan, dan kaedah mengatasi masalah penyakit cendawan dengan pembaca. Tidak ketinggalan, buku ini turut memaparkan 4 resipi langkah demi langkah masakan cendawan.

Buku yang ditampilkan secara berwarna-warni memaparkan langkah demi langkah penanaman sehinggalah mengeluarkan hasil. Di samping itu, jika anda ingin menjadi pengusaha tanaman cendawan, buku ini turut memaparkan anggaran belanjawan yang diperlukan.

Miliki naskhah menarik ini, segera!
a> Related Posts with Thumbnails