Rabu, Disember 21, 2011

Khazanah alam dengan 1,001 khasiat perubatan




CENDAWAN ada pelbagai jenis. Ada yang boleh dimakan dan ada pula yang beracun. Terdapat cendawan yang boleh ditanam secara komersial dan sesetengahnya pula hanya hidup secara liar dalam hutan.

Tetapi yang pasti tentunya tiada ramai yang mengenali cendawan susu rimau. Tetapi di kalangan nenek moyang kita dan Orang Asli mereka cukup arif tentang cendawan ini. Sebabnya kerana ia memiliki khasiat yang tidak ternilai yang tersimpan rapi sebagai khazanah alam yang perlu 'dicungkil' untuk manfaat semua.

Kenapa cendawan yang dengan nama saintifiknya Lignosus rhinocerus di gelar cendawan susu rimau? Kononnya, ia hanya boleh ditemui di hutan yang mempunyai populasi harimau.

Berdasarkan kisah dongeng, cendawan susu rimau dipercayai tumbuh di atas titisan susu harimau yang jatuh ke tanah semasa menyusukan anaknya. Dari situ ia mendapat nama.

Ubinya (sclerotium) yang berwarna putih terbentuk dan terbenam di dalam tanah berbulan, bertahun malah berabad lamanya.

Apabila tiba masanya, dari ubi tersebut ia akan bercambah. Mengikut kepercayaan hanya mereka yang bertuah akan menemui cendawan itu.

Cendawan susu rimau mempunyai khasiat yang menakjubkan terutama ubinya.

Selama berabad, ia digunakan sebagai herba untuk mengubati pelbagai masalah kesihatan.

Sebenarnya cendawan susu rimau telah digunakan sejak abad ke-18 bagi mengubati pelbagai jenis penyakit.

Ketika itu setiap keluarga pasti menyimpan seketul kecil objek seperti batu sebagai ubat serba guna.

Apabila terdapat ahli keluarga dijangkiti sama ada batuk, selesema, demam, bengkak atau lemah badan, si ibu pasti mengeluarkannya dan parut atas permukaan tembikar untuk mendapatkan serbuk dan ditambah dengan air.

"Malah semasa kecil, ibu saya sering memberikan minum air campuran 'susu rimau' ketika demam atau sakit.

"Ketika itu saya benar-benar percaya ibu memberikan saya susu harimau.

"Sehingga saya mendengar ucapan Tun Dr. Mahathir Mohamad (ketika itu Perdana Menteri) semasa persidangan BioMalaysia 2002 menyatakan susu rimau menyembuhkan batuk kroniknya," kata Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Penyelidikan Sumber Strategik, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Tan Chon Seng ketika ditemui di pejabatnya di Serdang baru-baru ini.

Beliau sedar susu rimau yang biasa diminum suatu masa dulu adalah sejenis cendawan. Bermula dari situ timbul minat beliau untuk terus mengkajinya.

Menurutnya, cendawan susu rimau digunakan oleh pengamal perubatan Melayu untuk mengubati penyakit barah darah, barah rahim, ulser usus, penyakit buah pinggang dan bengkak-bengkak pada badan.

Pengamal tradisional Cina pula menggunakannya untuk demam, lelah dan menguatkan kesihatan badan.

Semua puak Orang Asli menggunakan cendawan susu rimau untuk mengubati lebih 15 penyakit termasuk demam, batuk, lelah, barah, keracunan makanan dan luka.

Melihat kepada khasiat cendawan tersebut yang banyak, timbul persoalan mengapa ia tidak dikomersialkan?

Menurutnya, masalah utama ialah ia amat sukar ditemui dan wujud sebagai cendawan tunggal di tengah-tengah hutan.

"Orang Asli percaya tempat yang tumbuh cendawan susu rimau mempunyai harimau dan hanya dijumpai jika ada rezeki atau tuah.

"Disebabkan bekalan yang terhad, harganya melambung tinggi dan sukar untuk dikaji dan dikomersialkan," katanya.

Bagi mempopularkan khasiat cendawan susu rimau, ia perlu dibiakkan dengan apa cara sekalipun.

Menurut beliau China, yang merupakan pengguna cendawan herba terbesar dunia memilih cendawan susu rimau sebagai salah satu daripada 10 cendawan yang berpotensi untuk dikomersialkan.

"Bagaimanapun cendawan ini hanya tumbuh liar di hutan Asia Tenggara. Mereka yang berjaya membiakkannya akan memperoleh pulangan yang lumayan," katanya.

Namun daripada kajian beliau selama lapan tahun telah membuahkan kejayaan apabila cendawan susu rimau berjaya dihasilkan melalui tisu didik.

"Cabarannya paling getir adalah mencari bahan ramuan untuk membiakkan cendawan susu rimau.

"Kejayaan saya dalam penyelidikan susu rimau adalah sebagai penghargaan dan kenangan terhadap mendiang ibu saya yang telah mencetuskan inspirasi menjalankan penyelidikan," katanya.

sumber: Utusan Malaysia

Ahad, Disember 18, 2011

Rusila, siswazah contoh


Lulusan sarjana pelbagaikan produk cendawan


Usahawan Pasar Tani yang mengusahakan tanaman cendawan dari Kampung Pengkalan Pandan Luar Chukai Kemaman, Terengganu ini mempunyai falsafah tersendiri untuk berjaya dalam perniagaan.

Kalau sebelum ini makanan berasaskan cendawan kurang dipelbagaikan, namun Rusila
Yusof, 30, berani mencuba dengan memperkenalkan cendawan goring berempah, popia cendawan, kerepek cendawan dan sup cendawan.

Malah lulusan Sarjana Sains kimia dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini tidak pernah kekok menjual cendawan segar setiap hari Jumaat di Pasar Tani Chukai FAMA daerah Kemaman.

“Menjadi usahawan perlu berfikiran kreatif, berani mencuba, sanggup menghadapi risiko rugi, menerima teguran rakan-rakan dan pendapat pelanggan serta agensi berkaitan adalah antara yang menjadi kunci kejayaan,” ujarnya tersenyum.

Rusila mengusahakan projek tanaman cendawan tiram kelabu sejak empat tahun lalu di Kampung Pengkalan Pandan Luar sebagai pejabat operasi utama Fatisha Agro Farm (FAF).

Sementara itu, Bangunan Pusat Pemasaran Dadong Fatisha Agrotech, Kemaman, pada awalnya mendapat bimbingan Jabatan Pertanian dengan membekalkan sebuah bangsal dan benih cendawan berjumlah 10,000 beg.

Pada peringkat awal, hasil cendawan dijual kepada penduduk sekitar dengan kuantiti sedikit tetapi dengan pembukaan pasar tani Chukai, permintaan produk cendawan semakin meningkat.

“Hasil penat lelah saya berbaloi kerana boleh memasarkannya dengan mudah di pasar tani. Ini juga menambah pendapatan saya dengan rakan-rakan seperniagaan.

“Bahkan, dorongan keluarga juga member semangat untuk memperbesarkan projek sedia ada kerana pengeluaran yang ada sekarang tidak mencukupi permintaan.

“Bagaimanapun, program pasar tani anjuran FAMA daerah Kemaman telah mengajar saya banyak pengalaman berniaga selain mempelbagaikan produk cendawan segar tanpa menghilangkan rasa aslinya,”katanya.

Namun, Rusila tidak terlepas berdepan cabaran apabila produk makanan berasaskan cendawan seperti goreng berempah, popia cendawan, kerepek dan cucur cendawan kurang mendapat sambutan kerana tidak pernah diketengahkan sebelum ini.

Tetapi setelah melihat keunikan pada produk tersebut, kini ia mempunyai kelompok penggemarnya tersendiri terutama bagi makanan snek.

“Saya berterima kasih kepada FAMA kerana memberi ruang berniaga di pasar tani. Pendapat kawan-kawan dan pelanggan yang saya terima dengan hati terbuka banyak membantu meningkatkan mutu produk, menambah perisa dan ketahanan selepas digoreng. Malah, ada yang mengesyorkan supaya ia disejukbekukan untuk kemudahan pelanggan,”katanya.

Hasil kerja kerasnya, Rusila memperoleh kira-kira RM15,000 hingga RM20,000 sebulan di pasar tani dan dua lagi perniagaannya bersama rakan kongsi serta ahli keluarganya.

“Saya sedang berusaha menambah pendapatan dengan merancang untuk membuka kios berasaskan cendawan.

“Pada masa ini, saya mempunyai gerai makanan berasaskan cendawan yang dikendalikan ahli keluarga di samping sebuah lagi restoran usaha sama dengan seorang rakan kongsi, “katanya yang turut member khidmat nasihat kepada penduduk setempat yang berminat mengusahakan tanaman cendawan. - Agrobiz
a> Related Posts with Thumbnails