Ahad, Jun 30, 2013

Antara khasiat utama cendawan





Berikut adalah maklumat tentang khasiat cendawan yang sempat saya kumpulkan daripada Jabatan Pertanian serta rakan pengusaha cendawan yang sudi berkongsi info demi kebaikan peminat dan penggemar cendawan seluruh Malaysia. 




Rabu, Jun 26, 2013

Projek cendawan jana ekonomi


 Projek cendawan jana ekonomi

TASEK PAUH - Walaupun hanya mengikuti kursus penanaman cendawan sehari anjuran Jabatan Pertanian, seorang lelaki di sini, bertekad untuk mengusahakannya pada 2007 dengan modal permulaan hanya RM1,000 hasil perniagaan pakaian lelong di pasar-pasar malam.

Ketika itu, Norazmi Azwa Nordin, 29, mengusahakan secara kecil-kecilan dengan menyediakan 1,000 beg media dalam bangsal kecil di belakang rumahnya, di sini.

Beliau berkata, ketika itu dia memasarkan sendiri hasil di pasar tani dengan harga pasaran ketika itu hanya RM5 sekilogram, sebelum membesarkan projek dengan menyediakan dua bangsal pada 2008.

Projek cendawan jana ekonomiPekerja memasukkan habuk kayu ke dalam beg media untuk penanaman cendawan.
 

Kini, beliau mempunyai satu bangunan utama merangkumi ruang pemprosesan beg media, ruang pemeraman, ruang stok habuk kayu, bilik kukusan dan bilik suntikan benih selain 10 bilik hasil yang memuatkan 250,000 beg media.

Daripada jumlah beg media tersebut, Nor Azmi menerusi syarikatnya, Tasek Pauh Mushroom Enterprise berjaya mengeluarkan hasil purata RM350 kilogram sehari yang mana harga pasaran untuk sekilogram ketika ini antara RM8 hingga RM10.

Yakin projek cendawan.
Cendawan tiram kelabu atau nama saintifiknya pleurotus sajor caju bukan sahaja enak dan berkhasiat malah tanaman itu dibuktikan pakar baik untuk penyakit darah tinggi, mengawal atur darah, meningkatkan sistem imun melawan bakteria, merencat pertumbuhan tumor serta mempunyai anti oksida.

Norazmi berkata, beliau yakin cendawan mempunyai prospek baik selepas mengetahui kelebihan tanaman tersebut sehingga berjaya muncul sebagai usahawan berjaya walaupun tidak memiliki sijil akademik tinggi.



Projek cendawan jana ekonomiBeg-beg media dipastikan berada dalam keadaan baik di bilik hasil.

Kejayaan itu membolehkan beliau dijadikan sebagai ikon kepada pengusaha baru selain menerima pelbagai anugerah seperti Anugerah Wira Tani Jaya, Anugerah Belia Negara Peringkat Negeri Kelantan dan tempat kedua kategori Pertandingan Hasil Cendawan pada Maha 2010.

Dibantu enam beradik, ibu bapa serta 10 pekerja, Tasek Pauh Mushroom dilihat masih belum memenuhi permintaan pasaran yang semakin tinggi sehingga dua lagi cawangan dibuka iaitu di Hutan Kuin, Machang dan di Bechah Kura, Peringat, Kota Bharu.

Guna kaedah betul

Bagi memastikan cendawan subur dan bermutu, beliau berkata, kaedah penanaman dilaksanakan dengan lebih sistematik dan pengendalian dilakukan dengan cukup teliti.

Katanya, habuk kayu pokok getah dicampur dedak padi dan kapur pertanian, dimasukkan ke dalam beg media sebelum dikukus selama 14 jam bagi membasmi bakteria.

“Selepas itu, ia disejukkan selama 12 jam untuk langkah seterusnya iaitu menyuntik benih.

“Selepas memasukkan benih, ia melalui proses pemeraman selama dua bulan sebelum diletakkan di dalam bilik hasil yang dikawal suhunya.

“Cendawan tumbuh dalam tempoh 10 hari. 15 hari selepas penuaian hasil, ia tumbuh lagi sehingga enam atau lapan kali dalam tempoh lima bulan bagi setiap beg media,” katanya.

Norazmi berkata, beliau perlu memastikan bilik hasil bebas daripada asap dan racun serta memproses dengan cara betul bagi mengelak jangkitan bakteria.

“Kesilapan ketika mengukus akan menyebabkan ‘kulat hantu’ membiak dalam beg media yang menggagalkan pertumbuhan cendawan tiram kelabu,” katanya.

Isnin, Jun 24, 2013

Akmal kini pembekal cendawan

 
Graduan UUM ini tidak menyesal menceburi bidang pertanian biarpun memiliki segulung ijazah. 
 
HALAMAN rumah yang krew Jejak Asnaf datangi kali ini tidaklah begitu besar, sekadar mampu memuatkan dua buah kenderaan sedan sahaja. Namun, di sekeliling kaki limanya dihiasi dengan pokok-pokok bunga beraneka jenis dan warna, sama ada berpasu atau di dalam tanah.

Keredupan juga memayungi bahagian sisi rumah kirinya, kerana pepohon sawit hidup subur di sana. Mata merasa tenang dan ingin segera berkenalan dengan pemilik tuan rumah ini di Tanjung Karang Selangor.

Marilah kita berkenalan dengan Junainah Nawari, 50 dan anak terunanya, Mohd. Saidatul Akmal Abdul Kadir, 25, yang bakal menghiasi segmen Jejak Asnaf buat kali ini.

"Menanam cendawan ini memang kena pandai. Saya hanya berkursus separuh hari sahaja di MARDI, selebihnya saya baca sendiri di Internet. Memang banyak benda kena cari sendiri. Misalnya, kriteria benih yang baik itu bagaimana, siapa pembekalnya, apa keadaan yang sesuai untuk cendawan, cara penjagaannya, waktu sesuai untuk memetiknya dan bermacam-macam lagi," kata Akmal

Riuh suara Akmal, seorang anak muda lulusan Ijazah Pengurusan Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM) memberitahu kepada kami tentang usaha membekalkan cendawan yang kini dilagang bersama ibunya, seorang wanita yang punya banyak cerita untuk dikongsi bersama.

Kami langsung dibawa meneliti dua buah bangsal bertirai kain net hitam yang jarang. Di sana, ada ribuan beg cendawan yang bersedia mengeluarkan hasilnya pada bila-bila masa sahaja.

"Cendawan ini memerlukan kawasan yang lembap, jika panas kering tidak sesuai. Tapi jangan sampai basah sangat hingga air masuk ke dalam begnya, benih akan rosak. Jika ditimpa penyakit, lagilah kena berjaga-jaga, kerana ia akan melarat dan merosakkan semua benih."

Ceritanya, usai pengajian di UUM pada 2011, lamaran mencari pekerjaan masih belum berjawab. Untuk itu Akmal menuntasi waktu terluangnya membantu ibu, seorang asnaf yang membangunkan perniagaan cendawan.
Ternyata, perniagaannya kian maju sehinggakan pasaran begitu luas dan mereka sendiri tidak mampu melayaninya. Mungkin Akmal perlu berfikir untuk mempraktikkan sahaja ilmu yang dikejarnya di menara gading tanpa berharap merealisasikannya di tempat lain.

Namun, sebelum kita lebih teruja meneliti keseronokan Akmal dan ibunya dengan bisnes cendawan mereka, mari kita jengah sebentar kisah silam mereka. Ini akan menginsafkan kita, bahawa kekuatan diri yang melatari kehidupan mereka adalah ubat mujarab membangunkan jiwa mereka selama ini.

"Sejak kematian suami pada 1990, saya sedar bahawa saya perlu membesarkan dua orang anak lelaki bersendirian. Namun, di sebalik ujian itu, saya tidak pernah mengharapkan kepada sesiapa pun untuk membesarkan mereka. Malah saya berpesan kepada anak-anak, kita mesti berusaha sendiri, jangan suka mengharapkan simpati orang," Junainah bercerita.

Begitulah, di sebalik kesenangan hari ini, pasti ada suatu kenangan menggugah jiwa dahulunya.

"Waktu itu usia saya sendiri masih muda. Baharu 28 tahun dan suami saya baharu 36 tahun. Kematian suami amat tiba-tiba kerana dia terlibat dalam kemalangan jalan raya. Selepas itu, demi meraih rezeki yang halal, saya menggagahkan diri melakukan apa sahaja jenis pekerjaan yang halal," kata Junainah.

Baginya itu bagaikan menjadi baja yang menyuburkan semangatnya untuk terus berjaya.

"Saya pernah bekerja di rumah dengan mengambil upah memasang paku pada pin pelekat wayar elektrik dari sebuah kilang, malah masa senggang saya tidak sia-siakan dengan menanam pelbagai jenis sayur-sayuran di tanah yang luas di belakang rumah.

"Malah saya ambil barang-barang keluaran syarikat tertentu dan jual dari rumah kepada mereka yang berminat.

"Alhamdulillah, pendapatannya biar pun tidaklah sebesar mana, namun saya dapat bertahan sehingga mampu membesarkan dua orang anak," katanya.
Ternyata, anak sulung Junainah, Mohd. Shahmuzir al-Azizul Ain, 26, juga tidak mengecewakannya. Dia kini merupakan seorang pegawai polis dan sedang melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam Diploma Pendidikan Islam.

"Saya dan anak-anak mulai mendapat bantuan zakat sejak 2002, iaitu selepas pihak amil di kampung ini mengenal pasti keadaan kami. Jika tidak mereka yang datang, saya tidak akan pergi memohon bantuan, kerana saya memang tidak mahu meminta kepada sesiapa. Awalnya, kami hanya diberikan bantuan raya dan persekolahan sahaja.

"Kemudian, apabila anak kedua saya, Akmal melanjutkan pelajaran di UUM, pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) terus membantu dengan menyalurkan dermasiswa zakat kepadanya sepanjang pengajian," ujarnya.

Ternyata Akmal juga anak yang pintar dan pernah dianugerahkan Anugerah Dekan pada semester terakhirnya pengajiannya, iaitu pada 2011.

"Pada 2012, selepas emak dibantu pihak MARDI mengusahakan cendawan ini, pihak LZS datang dan melihat boleh dikembangkan lagi.

"LZS salurkan dana RM14,775 lagi, dalam bentuk barangan dan modal tunai. Alhamdulillah, lagi lajulah perniagaan kami," ujar Akmal.

Kini, dua beranak itu sibuk menguruskan bangsal cendawan milik mereka yang sudah pun berjumlah lebih 8,000 beg cendawan.

Pendapatan yang diperoleh juga kian memberangsangkan, malah Akmal sudah berkira-kira mahu melebarkan perniagaan cendawannya dan menggajikan beberapa orang untuk membantunya.

"Saya bersyukur dengan bantuan zakat ini. Mudah-mudahan, rezeki kami dan rezeki semua pembayar zakat akan terus diberkati Allah," tuntas Junainah sambil membungkuskan beberapa plastik cendawan untuk diberikan kepada kami sebagai hadiah perkenalan.

Nota: Kini pasaran cendawan mereka sudah ke merata tempat di Tanjung Karang dan kawasan sekitarnya dan mereka boleh dihubungi di talian 013-464 7405 (Akmal).

Rabu, Jun 19, 2013

Manual Langkah Permulaan Tanaman Cendawan



Di sini saya ingin kongsikan beberapa langkah bagi individu yang ingin mencuba tanaman cendawan ataupun individu yang ingin belajar tentang cara gaya tanaman cendawan.

Pertama sekali, anda perlulah ada tempat untuk di mana anda meletakkan cendawan tersebut. Lebar setiap bongkah adalah 5 inci dan tinggi 8 inci. Kebiasaannya pengusaha-pengusaha cendawan menyusun bongkah secara baring dan disusun bertindih-tingkat. 

Disyorkan setiap tindihan adalah tidak lebih dari 5 bongkah kerana bongkah cendawan menerima tekanan yang tinggi jika ditindih terlalu banyak.

Apakah suhu dan persekitaran yang sesuai sebagai tempat simpanan cendawan(bongkah)? 

Suhu 33'c kebawah dan kelembapan udara 80% adalah yang ideal bagi tanaman ini. Bagaimana anda hendak tahu ciri-ciri ini? 

Anda pilih satu kawasan, anda cuba berdiri di situ. Kalau badan anda rasa selesa, makanya bongkah cendawan sesuai diletak di kawasan itu. *kawasan tanah pamah(tanah rendah) di Malaysia amat sesuai di tanam dengan tanaman cendawan thiram kelabu kerana suhu dan iklimnya.

Ciri-ciri tempat yang baik:-

1.Pengudaraannya baik
2.Tahap kelembapan yang baik
3.Kawalan dari binatang(secure)-maksudnya berjaring
4.Bersih dari udara tercemar.

Asasnya, tanaman cendawan perlu kualiti udara yang baik (tanpa asap, tanpa bahan kimia) kerana ia tidak akan tumbuh dalam udara yang tercemar.



Kembali kepada topik, anda perlu ada tempat meletak bongkah cendawan ini. Tidak perlu keluar modal yang tinggi untuk menyediakan tempat, gunakan apa yang ada. Rak kasut yang tidak digunakan lagi sebagai contoh. Tetapi, untuk keselamatan, basmikan kuman dahulu ke atas sesuatu barangan. Gunakan detol untuk membasmi kuman. Bancuh 10ml detol untuk 1liter air biasa. Lapkan sahaja.

Selepas itu, susun bongkah.

Tunggu kematangan bongkah untuk dibuka. Lazimnya selepas 2 bulan. Pastikan tempat simpanan bongkah cendawan anda bebas dari kuman. Amalkan langkah menyembur bancuhan air detol(antibakteria) kesekitar tempat simpanan tapi jangan terlalu kerap, makan modal pulak nanti.

Sebelum anda membuka penutup bongkah, pastikan tangan anda dilapkan dahulu dengan bancuhan detol. Buka penutup.



Dalam anggaran masa 4 hari dan sekitarnya, cendawan akan tumbuh tetapi tidak secara sekata kerana bergantung kepada kekuatan benih setiap bongkah. Cabut dan sembur dengan EM untuk lebih menjaga kualiti disamping memberi kekuatan pada benih yang akan tumbuh selepas ini.

Tutup kembali penutup bongkah. Setiap bongkah yang dituai hasilnya perlu diberi rehat selama 10 hari. Dan bukaan seterusnya adalah pada hari ke 15 selepas bongkah ditutup.

Ahad, Jun 16, 2013

Kursus cendawan di Cendawan Puchong




Tawaran Istimewa menjelang Ramadhan
Salam 1 Cendawan,

Sempena Ramadhan yang bakal tiba CendawanPuchong dengan besar hatinya menawarkan kursus istimewa menjelang Ramadhan di mana semua peserta yang menghadiri kursus pada 07/07/2013 akan diberi 10 bongkah percuma sebagai ole-ole.

Peserta boleh la buat praktikal di rumah sambil menikmati cendawan sebagai juadah berbuka puasa.

Cepat daftar segera !! Tempat adalah terhad. 
.
Kepada yang berminat, sila hubungi pihak urusetia untuk pertanyaan dan maklumat lanjut. Peta lokasi seperti yang disertakan di atas.

Selamat berkursus dan selamat maju jaya saya ucapkan buat anda!

Rabu, Jun 12, 2013

Cendawan : Enak lagi berkhasiat



Selalu aku tertanya-tanya, apa kebaikan cendawan ya. Main makan jer tapi aku yakin memang ada khasiatnya. Setelah di google-google banyak betul rupanya kebaikan cendawan, memang tak sia-sialah jadi makanan kegemaran aku selama ini ya, hehehe.



1. Cendawan boleh mengurangkan kandungan gula dan menambahkan insulin di dalam darah. Sangat bagus untuk elakkan dari terkena diabetes. Sayur cendawan, memang membuka selera.

2. Cendawan berupaya membunuh beberapa jenis virus yang membawa penyakit berjangkit dan turut berperanan sebagai agen mempertahankan badan dari serangan kanser.


Cendawan kukur, mudah didapati di kampung, digoreng dengan telur pun sedap.

3. Cendawan Kukur atau nama saintifiknya Schizophyllun commune mengandungi schizophyllan iaitu sejenis bahan dalam ubat anti tumor dan kanser. Ia juga membantu meningkatkan sistem imuniti tubuh, anti radangan, anti bakteria, anti parasit dan melindungi hati. 


Cendawan jarum emas, nampak macam sedap tapi tak pernah makan pun.

4. Cendawan Jarum Emas pula merupakan agen toksik kepada sel tumor, meningkatkan sistem imuniti tubuh serta menghalang jangkitan kulat dan virus. Kebaikan lain ialah cendawan ini juga adalah agen anti radangan dan melindungi gen daripada mengalami kerosakan DNA. 
.
5. Pernah dengar nama Cendawan Bunga Kobis atau Hericum erinaceum ? 

Aku sendiri pun baru pertama kali dengar, rupanya pun tak pernah tengok tapi sangat berguna untuk membantu merangsang faktor pertumbuhan saraf. 

Selain itu ia juga boleh merawat penyakit saraf seperti trauma saraf akibat strok dan Alzheimer. Kebaikan lain ialah ia berupaya menguatkan otot, gerak balas motor, fungsi kognitif, merawat ulser perut dan meningkatkan sistem imuniti badan.


Cendawan Bunga Kobis, selama ni tak tahu pun cendawan jenis ini wujud, huhu.

6. Cendawan Tiram inilah yang paling aku suka makan. Yang selalu aku lihat hanyalah jenis cendawan tiram kelabu (Pleurotus sajor-caju), tapi rupanya banyak jenis lagi yang ada, iaitu tiram merah jambu, tiram kuning dan tiram putih. 

Kebaikan cendawan ini ialah ia berupaya mengawal atur darah, merendahkan tekanan darah, mengurangkan kandungan glukosa dan lipid, meningkatkan sistem imuniti, menghalang pertumbuhan tumor, agen anti oksida dan mengandungi kalsium yang tinggi.


Cendawan Tiram Kelabu, tengok mentah-mentah macam ni pun rasa macam geram nak makan, hehe.

7. Pernah jugalah tengok cendawan warna oren atau merah kat batang-batang kayu reput, tapi tak pastilah sama ada ia cendawan Ling Zhi atau bukan. Ling Zhi ni nama dalam bahasa Cina, dalam bahasa Jepun ia dikenali sebagai Reishi, manakala nama saintifiknya ialah Ganoderma lucidium. 

Selain dijadikan pil-pil kesihatan dan ubat ginseng, ia juga sekarang terkenal sebagai serbuk minuman.


Cendawan Ling Zhi, lihat rupanya pun dah tahu bagus untuk buat ubat.

Cendawan Ling Zhi mempunyai nilai perubatan yang tinggi yang mana ia dikatakan mampu mengubati pelbagai penyakit. Antara khasiatnya yang dikenal pasti ialah melancarkan proses penghadaman, membersihkan darah, meneutralkan bisa, melindungi hati, merawat usus, buasir, tonik untuk selsema, mengawal tekanan jantung, melegakan batuk, mengeluarkan kahak, menenteramkan fikiran, mencegah kanser dan mengubati resdung.

8. Cendawan Butang ni biasanya digunakan untuk buat sup cendawan. Disebalik keenakan supnya ia juga kaya dengan vitamin dan galian yang mana ia mengandungi vitamin B dan kalium yang tinggi. Cendawan yang mentah adalah bebas kolesterol, lemak dan natrium. 

Ia juga rendah kalori yang mana lima cendawan butang bersaiz sederhana hanyalah mengandungi 20 kalori. Kelemahannya ialah ia mengoksida dengan cepat apabila terdedah kepada udara selama 10 minit, di mana ia bertukar menjadi lembik, bertukar warna kepada keperang-perangan dan hilang perisa aslinya.


Cendawan Butang, sedap dibuat sup...ermmmm, enaknya!!

9. Cendawan Shiitake ini biasanya sering kita lihat dalam masakan Cina atau masakan di hotel dan restoren-restoren besar. Dalam masakan Melayu memang jarang kelihatan cendawan ini digunakan. Ia boleh disediakan dalam bentuk segar atau kering. Cendawan ini mengandungi asid amino, pelbagai vitamin dan mineral.


Cendawan Shiitake, Gunung Jerai, Kedah merupakan salah satu ladang yang mengusahakannya.

Khasiat cendawan ini disebabkan bahan aktif lentinan di dalamnya. Oleh itu ia dikatakan boleh memberi tenaga kepada sistem imun dan menguatkan sistem imun bagi menentang jangkitan dan penyakit. Lentinan ini juga sangat efektif menentang influenza. 

Ia juga digunakan sebagai terapi imun untuk kanser paru-paru, usus, serviks dan payudara, merencat pertumbuhan semula kanser, meningkatkan sistem imun dengan melawan bakteria, virus, sel tumor dan toksin. 

Ahad, Jun 09, 2013

Proses pemeraman dan kutipan hasil cendawan



Pemeraman bongkah cendawan yang disuntik benih

Beg cendawan yang telah dimasukkan benih akan disimpan selama satu malam dan dibawa masuk ke dalam bilik cendawan untuk disusun di atas rak cendawan pada keesokan harinya. 

Sebelum beg disusun, kapur akan ditabur di atas rak kayu yang berfungsi untuk membunuh bakteria yang berada di sekitar rak yang mudah membiak di kawasan lembap dan dibina berasaskan bahan kayu.

Beg cendawan yang baru diisikan benih akan disusun sehingga memenuhi seluruh ruang rak yang ada. Biasanya ia disusun secara bertindih dan mempunyai lapisan yang padat dan selamat agar tidak jatuh apabila usia beg semakin menyusut. 

Berat beg akan menyusut setiap kali beg mengeluarkan kuntuman cendawan dan menjadi semakin ringan sehingga menjejaskan kekukuhan susunan. Maka, beg yang disusun mestilah kemas dan kukuh untuk mengelakkan beg jatuh.

Jumlah lapisan rak yang sesuai adalah sebanyak 5 hingga 6 lapisan beg cendawan. Lapisan ini sangat stabil dan selamat untuk meletakkan beg media dalam rumah cendawan.

Proses Pengembangan Misilium

Sebaran benih atau misilium bermula sehari selepas benih disuntik ke dalam mulut beg cendawan. Purata serakan benih berkembang sehari adalah 0.83cm untuk memenuhi keseluruhan beg media setelah diletakkan di dalam rumah cendawan sehingga hari ke 45 hingga 60 tempoh pengeraman.



Tahap Kematangan Cendawan

Tempoh tuaian pertama

Setelah hari ke 45-60 beg akan mula mengeluarkan pinical dan penutup suratkhabar mestilah ditanggalkan agar ia mudah untuk membesar dengan sempurna.

Pinical akan membesar dan menjadi bunga cendawan matang selepas tempoh 48-52 jam.

Sepanjang tempoh pembesaran daripada pinical hingga bertukar menjadi bunga cendawan yang matang untuk dituai, penjagaan dan kawalan suhu serta kelembapan adalah sangat penting.

Suhu yang terlalu tinggi dan kelembapan yang sedikit mampu menjejaskan pertumbuhan cendawan kerana ia akan melambatkan proses pertumbuhan cendawan dan menjadi terbantut. Di samping itu, semburan air ke atas bunga cendawan ketika suhu tinggi akan menyebabkan cendawan mengerekot dan bunga tidak mengembang dengan baik.



Aktiviti Semasa Menuai Cendawan

Membawa masuk bakul tuaian menggunakan kereta sorong ke dalam rumah cendawan.

Bakul-bakul tuaian dibawa masuk ke dalam bilik cendawan menggunakan kereta sorong dan dibawa masuk melalui tengah-tengah laluan di antara rak beg agar memudahkan proses kutipan dijalankan. Dua buah bakul akan dibawa oleh setiap kereta sorong yang dibawa masuk ke dalam blok rak cendawan dan dikendalikan oleh dua orang pekerja pada satu-satu masa semasa kerja menuai hasil dilakukan.

Tuaian akan dimulakan dari bahagian dalam hujung rak beg cendawan yang tidak mempunyai laluan dan dibawa keluar setelah setiap bakul dipenuhkan. Cendawan tersebut akan diletakkan pada laluan utama keluar dari dalam rumah cendawan untuk memudahkan proses mengangkut keluar setiap bakul yang telah penuh diisikan dengan cendawan.

Sebelum cendawan dibawa ke dalam bilik pembungkusan untuk proses seterusnya, ia akan dibiarkan berada di dalam rumah cendawan sehingga semua cendawan matang telah habis dipetik. Tujuan ia dilakukan adalah untuk:
  • Mengekalkan cendawan pada suhu dan kelembapan biasa yang diperlukan oleh cendawan sebelum proses seterusnya dilakukan.
  • Selain itu, ia dapat mengelakkan cendawan daripada menjadi kering dan rosak sekiranya terdedah kepada suhu yang tinggi dan kelembapan yang kurang sebelum proses selepas penuaian dilakukan di bilik pembungkusan.
  • Kaedah ini juga dapat mengelakkan penggunaan bilik sejuk yang lebih memakan kos yang tinggi.

Membuka penutup suratkhabar dan getah apabila cendawan mula mengeluarkan pinical.

Penutup suratkhabar haruslah ditanggalkan daripada beg cendawan apabila beg mula mengeluarkan pinical selepas hari ke-45 hingga 60 tempoh pengeraman agar pinical membesar dengan baik dan mengelakkan pinical daripada rosak.

Memetik cendawan

Cendawan yang telah matang haruslah dipetik untuk mengelakkan ia daripada terus membesar dan menjadi rosak. Jika cendawan matang tidak dituai maka berat cendawan akan menyusut dan semakin ringan sehingga ia menjadi kering dan hilang kandungan air pada cendawan tersebut.

Cara memetik cendawan adalah:

Menahan menggunakan dua jari pada plastik tepi leher beg dan menarik batang berdekatan akar pada leher beg cendawan pada masa yang sama.

Menarik keluar akar cendawan dengan berhati-hati perlu dilakukan supaya struktur pada beg plastik dengan misillium sedia ada tidak terjejas. Jika struktur tersebut rosak iaitu terpisah antara bahan dalam beg dan beg plastik tersebut, maka pertumbuhan cendawan seterusnya akan terjejas kerana misillium memerlukan masa untuk kembali pulih dan mengeluarkan pinical baru pada keadaan yang unaerobic. Ia melambatkan pertumbuhan cendawan yang baru dan

Menanggalkan leher

Setelah cendawan dicabut daripada akarnya, leher beg haruslah dibuka untuk membenarkan beg mendapat air dan udara di persekitaran bilik cendawan dengan lebih baik untuk membantu penghasilan cendawan seterusnya.

Membuang sedikit tunggul/batang akar

Akar atau tunggul yang tertinggal pada batang beg haruslah dibuang dengan mengorek ia keluar menggunakan penggorek yang diperbuat daripada kayu atau kepala sudu. Menanggalkan batang akar mestilah dilakukan dengan cermat dan berhati-hati agar tidak merosakkan struktur beg yang terdedah. Ia bertujuan untuk menghasilkan pertumbuhan bunga baru yang lebih cepat dan stabil pada masa akan datang.

Mengorek terlalu dalam pada akar akan menyebabkan cendawan lambat mengeluarkan hasil seterusnya, manakala membuka mulut plastik terlalu luas akan mendedahkan beg pada serangga dan serangan ulat perosak yang memakan dedak pada beg cendawan termasuklah air akan memasuki beg cdwn secara langsung.

Memasukkan cendawan ke dalam bakul

Cendawan yang dipetik akan diletakkan di dalam bakul cendawan yang dibawa masuk menggunakan kereta sorong. Akar diasingkan dan diletakkan pada kereta sorong. Manakala leher dan penutup yang baru dibuka diletakkan pada bakul lain yang diletakkan pada kereta sorong pada masa yang sama.

Aktiviti yang terlibat:

  • Membersihkan hasil

Membuang akar dan kotoran pada cendawan

Akar cendawan perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum proses pembungkusan dilakukan menggunakan gunting. Akar yang perlu dibuang adalah akar yang digunakan oleh cendawan untuk berpaut di batang beg. Akar cendawan mengandungi serpihan dedak kayu dan lain-lain bahan daripada beg yang melekat pada akar batang tersebut.

  • Memilih cendawan yang rosak dan kering

Cendawan yang rosak dan kering perlu diasingkan sebelum proses pembungkusan dilakukan. Ini adalah bertujuan untuk mendapatkan cendawan yang berkualiti sahaja untuk dipasarkan.

  • Mengasingkan cendawan mengikut kategori

Cendawan yang telah dibersihkan haruslah diasingkan mengikut gred dan kualiti masing-masing. Cendawan yang elok perlu diasingkan daripada cendawan yang kurang elok kerana kualiti adalah berbeza. Langkah ini perlu diambil bagi pengeluar yang ingin memasarkan cendawan secara komersial.

  • Menimbang

Cendawan yang telah siap dipilih akan ditimbang mengikut ketegori berat bagi jualan yang diperlukan mengikut harga tertentu.

  • Membungkus

Setelah berat cendawan ditimbang, proses pembungkusan boleh dilakukan. Susunan bunga cendawan dalam plastik pembungkus mestilah kemas dan menarik supaya dapat menarik perhatian pembeli. Ia juga mesti dilakukan dengan berhati-hati untuk mengelakkan bunga cendawan pecah dan merekah semasa proses pembungkusan.

Cara menyusun cendawan di dalam plastik adalah dengan meletakkan bahagian muka bunga cendawan di sekeliling plastik agar ia dapat memperlihatkan bunga cendawan dari bahagian luar plastik. 

Ahad, Jun 02, 2013

Bongkah cendawan sedia untuk dijual




Cendawan Global Terkini...

Pihak kami menerima tempahan bongkah cendawan:

  • bongkah cendawan tanpa benih RM0.80
  • bongkah cendawan baru suntik RM1.00
  • bongkah cendawan separuh matang RM1.30
  • bongkah cendawan dah matang RM1.50

HARGA DI ATAS AKAN BERUBAH MENGIKUT KUANTITI..

Jika berminat, sila hubungi saya di 019-758 9774 (Nizam)

Harga boleh dirunding :)

Penghantaran disediakan sekali.




Sabtu, Jun 01, 2013

Info tentang rumah cendawan



Terdapat dua aspek utama yang perlu ditekankan dalam pengendalian rumah cendawan iaitu persekitaran dan suhu dan kelembapan.

Persekitaran rumah cendawan yang kondusif untuk pertumbuhan cendawan adalah sangat penting. Penjagaan rumah cendawan yang sempurna dan penyediaan ruang yang bersesuaian sangat diperlukan. Selain itu, suhu dan kelembapan juga adalah faktor kritikal yang perlu dijaga untuk memastikan cendawan dapat menghasilkan pengeluaran yang baik.

a) Persekitaran

Bilik cendawan perlukan persekitaran yang bersih, tersusun dan bebas daripada bakteria, haiwan dan serangga perosak. Oleh itu, rumah cendawan perlu dijaga dengan baik dan sempurna.

Antara kawalan yang dilakukan untuk menjaga kebersihan di dalam rumah cendawan adalah seperti:

Meletakkan kapur di atas rak

Kapur perlu ditabur di atas rak yang kosong sebelum meletakkan beg cendawan baru. Tindakan ini bertujuan untuk membunuh bakteria yang terdapat di sekitar rak dan rumah cendawan. Selain itu, kawasan di sekitar rak beg cendawan yang dijangkiti penyakit juga akan diletakkan kapur untuk mengelakkan jangkitan kepada beg cendawan yang lain.

Meletakkan serai wangi di dalam rumah cendawan

Serai wangi perlu diletakkan di dalam rumah cendawan berfungsi untuk menghalau dan membunuh serangga kecil dan lain-lain haiwan perosak yang terdapat di sekitar rumah cendawan. Serai wangi tersebut akan dicampurkan dengan sedikit air dan diletakkan di dalam botol yang telah ditebuk sedikit lubang. Melalui lubang tersebut, bau serai wangi akan dapat disebarkan di sekitar rumah cendawan secara menyeluruh. Botol tersebut akan digantung di sudut depan setiap tiang rak beg cendawan.

Beg cendawan rosak dan tamat jangka hayat

Beg cendawan yang tamat jangkahayat, rosak, dijangkiti dan bermasalah haruslah diasingkan dan dibawa keluar agar beg media baru dapat dibawa masuk dalam rumah cendawan untuk menggantikan beg media yang lama. Ia juga dapat mengelakkan jangkitan bakteria daripada beg yang telah dijangkiti.

Penyediaan ruang yang sesuai

Ruang di dalam rumah cendawan perlu mencukupi untuk aktiviti pengurusan dan pengendalian setiap aktiviti yang berlaku di dalam rumah cendawan seperti penyimpanan beg media baru, penuaian hasil cendawan, penjagaan air dan pengurusan beg media yang telah tamat jangkahayat.


Rak Cendawan

Rak cendawan yang dibina haruslah mempunyai luas dan ketinggian yang sesuai untuk menyimpan beg cendawan. Di samping itu, rak juga perlu diletakkan pada jarak yang sesuai dan selesa untuk pengendalian bagi aktiviti penyimpanan beg media yang baru, menuai cendawan matang dan menyembur air.

Untuk penanaman berskala kecil, jarak diantara rak yang dibina sekurang-kurangnya boleh memuatkan seorang pekerja dengan membawa sebiji bakul dan membolehkan akiviti penjagaan tanaman dapat dilakukan dalam rumah cendawan dengan mudah.

Bagi penanaman berskala besar pula, jarak diantara rak haruslah membolehkan kerja-kerja penuaian dibuat dengan menggunakan kereta sorong oleh pekerja yang mengendalikan kerja-kerja tersebut.

b) Suhu dan Kelembapan dalam Rumah Cendawan

Suhu dan kelembapan adalah aspek penting yang perlu dititikberatkan dalam mengendalikan rumah cendawan kerana ia sangat mempengaruhi pertumbuhan cendawan dan hasil cendawan yang bakal diperolehi.

Persekitaran semulajadi iaitu suhu pada siang hari samaada pada hari panas dan hujan adalah mempengaruhi suhu dan kelembapan di dalam rumah cendawan secara langsung.

Selain itu, pemilihan reka bentuk dan bahan yang digunakan untuk membuat bangunan rumah cendawan juga menjadi faktor yang mempengaruhi suhu dan kelembapan dalam rumah cendawan. penting kerana ia akan mempengaruhi tumbesaran cendawan dan juga ketahanan beg media itu sendiri.

Bangunan yang dibina menggunakan konkrit

Faktor kelembapan akan dipengaruhi oleh suhu dan haba yang terperangkap di dalam rumah cendawan tersebut.

Secara teori, udara panas yang mempunyai ketumpatan yang rendah akan naik ke atas dan apabila udara tersebut menjadi sejuk iaitu dalam ketumpatan yang tinggi udara tersebut akan turun. Proses ini dipanggil proses perolakan. Selain itu, beg media tersebut akan mengeluarkan haba melalui pemecahan spora dan mengurangkan kelembapan dalam rumah cendawan.

Suhu dan kelembapan yang kondusif untuk pertumbuhan cendawan

Suhu yang sesuai untuk rumah cendawan adalah pada suhu bilik iaitu antara 25-27oC.

Manakala, kelembapan yang bersesuaian adalah antara 80-83 peratus kelembapan.

Perlu diletakkan alat penyukat suhu dan kelembapan di dalam rumah cendawan untuk mengetahui suhu dan kelembapan sebenar. Ia hendaklah diletakkan pada sudut bahagian tengah rumah cendawan.

Kaedah kawalan suhu dan kelembapan

Kaedah kawalan suhu dilakukan dengan beberapa cara seperti :

1) Air Paip Semburan
2) Air Hujan Tiruan
3) Kipas Udara

Air Paip Semburan

Oleh itu, kaedah pertama iaitu air paip semburan digunakan untuk mengatasi masalah ini. Semburan akan dilakukan dengan menyiram di hujung beg media dan juga lantai rumah cendawan. Kaedah ini akan mengurangkan jumlah udara yang panas naik ke atas.

Siraman air menggunakan paip semburan akan dilakukan sebanyak 5 kali dalam sehari iaitu pada jam 11.00am, 3.00 pm, 5.30pm dan 12.00pm dan 7.00am pada hari panas dengan suhu biasa 28º-32º untuk mengekalkan suhu pada 25º-30º.

Pada hari hujan sepanjang hari, siraman pada beg dan bunga cendawan akan dikurangkan, hanya lantai akan diberi air yang lebih.

Teknik menyembur air yang betul:

· Berdiri di tengah laluan antara rak cendawan sambil memegang paip semburan.
· Menyembur bahagian lantai sehingga betul-betul basah dan lembap.
· Selang-selikan semburan dengan menyembur ke arah beg cendawan untuk melembapkan sedikit beg cendawan.
· Elakkan menyembur air terlalu banyak pada bunga cendawan untuk mengelakkan bunga cendawan daripada basah, membesar dengan lebih cepat dan merekah.
· Pada hari panas, rumah cendawan perlu disiram air yang lebih dan pada hari hujan pula, air yang disembur ke atas beg cendawan mestilah dikurangkan.

Kipas

Kipas digunakan untuk membawa masuk udara yang sejuk daripada luar dan menyejukkan udara panas di dalam rumah cendawan. Proses perolakan berlaku secara gelora disebabkan udara daripada kipas tersebut. Sebahagian udara yang sejuk akan turun, manakala udara yang panas akan keluar melalui lubang di atas bumbung tersebut.

Air Hujan Tiruan

Hujan tiruan akan dipasang sewaktu cuaca panas kerana proses sinaran yang dipancarkan melalui matahari akan memanaskan lagi udara di dalam rumah cendawan. Air tersebut akan mengurangkan proses sinaran untuk menembusi bumbung. Udara panas yang masuk akan dikeluarkan oleh kipas.
Air tersebut akan mengurangkan proses sinaran untuk menembusi bumbung. Ia akan menyejukkan bumbung dan mengurangkan kepanasan dalam rumah cendawan.

Kesimpulannya, kaedah pertama iaitu paip semburan adalah kaedah utama digunakan dalam mengawal suhu dan kelembapan di dalam rumah cendawan. 

Air yang disembur akan diberikan mengikut suhu dan kelembapan dalam rumah cendawan yang sentiasa berubah-ubah mengikut perubahan persekitarannya. Kaedah kedua dan ketiga digunakan sekiranya dinding rumah cendawan dibuat dengan menggunakan batu-bata dan bumbung adalah zink. 

Ia sentiasa dilakukan sebanyak 5 kali sehari ataupun mengikut keperluan walaupun suhu kurang dari 27oC. Apabila suhu luar melebihi 29oC ke atas, kaedah kedua dan ketiga akan digunakan untuk mengekalkan kelembapan rumah cendawan.
a> Related Posts with Thumbnails