Halaman

Sabtu, Mei 21, 2016

Nekad jadi pengusaha cendawan tiram berjaya

Nekad jadi pengusaha cendawan tiram berjaya
Mohd Hairolzeman menunjukkan hasil tanaman cendawan kepada wakil PPK Kangkong yang datang melawat ke rumahnya.

MINAT mendalam terhadap cendawan tiram menyebabkan seorang pemuda sanggup melepaskan jawatan sebagai juruteknik semata-mata mahu mengusahakan tanaman berkenaan.

Keputusan nekad Mohd Hairolzeman Harun, 36, untuk mengusahakan tanaman cendawan sejak 2013, meletakkan pemuda ini antara pengusaha berjaya di jajahan Pasir Mas.

“Saya buat keputusan untuk serius dalam bidang ini kerana mendapati tanaman cendawan mempunyai potensi cukup besar di pasaran. Bermula dengan 3,000 bongkah, Alhamdulillah, sekarang saya mempunyai 9,000 bongkah cendawan.

"Cendawan mendapat permintaan tinggi dalam pasaran dan digunakan dalam masakan tomyam serta sup. Penggunaan cendawan dalam kedua-dua masakan itu mampu menjadikan ia lebih sedap," katanya.

Nekad jadi pengusaha cendawan tiram berjaya

Menurut Mohd Hairolzeman, kejayaan itu menguatkan lagi semangatnya untuk terus maju dalam bidang tersebut.

Selain itu katanya, dia turut bercita-cita untuk mengusahakan cendawan sejuk beku berperisa 'Crispy' dan snek cendawan.

“Kedua-dua produk ini masih dalam kajian dan penelitian. Bila siap, saya akan pasarkan. Selain itu, saya juga bertekad untuk menjadi pembekal bongkah cendawan yang berkualiti di negeri ini," katanya.

Nekad jadi pengusaha cendawan tiram berjaya

Mohd Hairolzeman berkata, pengalaman mengusahakan tanaman itu dan mengikuti kursus berkaitan, menjadikan dia lebih bersedia untuk melebarkan sayap dalam bidang tersebut.

“Kejayaan saya ini juga adalah hasil tunjuk ajar dan sokongan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kangkong. PPK Kangkong banyak membantu saya dengan memberi sokongan dalam menjayakan program,” katanya.

sumber: Sinar Harian