Isnin, Oktober 10, 2016

Kedah sasar muncul pengeluar cendawan tiram putih terbesar


CENDAWAN Tiram Putih yang diusahakan di Kampung Jelutong. - Foto Nur Syazwana Mansor



SIK: Kerajaan negeri berhasrat menjadi pengeluar terbesar cendawan tiram putih dalam tempoh dua tahun selepas projek perintis yang dimulakan awal tahun ini membuahkan hasil memberangsangkan. 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Suraya Yaacob, berkata projek perintis membabitkan 50 usahawan dalam kalangan penoreh getah itu berjaya membantu peserta meningkatkan pendapatan. 

"Seramai 50 peserta iaitu 20 di tanah besar dan 30 di Langkawi, dibantu menerusi Yayasan Prihatin Kedah yang membekalkan 500 bongkah cendawan sebagai permulaan untuk mereka meningkatkan pendapatan susulan kejatuhan harga getah. 

"Selepas lapan bulan hasil cukup membanggakan apabila kebanyakan peserta mampu meraih pendapatan tambahan mencecah RM1,500 hingga RM2,500 sebulan. 

"Cendawan tiram putih ini menarik kerana potensinya besar dan saya harap Kedah akan menjadi pengeluar terbesar di negara ini dalam tempoh dua tahun lagi," katanya selepas mengadakan lawatan kerja di tiga rumah pengusaha tanaman cendawan tiram putih di Kampung Jelutong di sini, hari ini. 

Suraya berkata, kerajaan negeri akan mewujudkan pusat pengumpulan cendawan di enam lokasi iaitu di Sik, Pendang, Padang Terap, Kulim, Langkawi dan Jerai bagi membolehkan peserta memasarkan hasil sama ada secara segar atau sebagai produk hiliran berasaskan cendawan. 

"Tiga lokasi paling banyak mengeluarkan cendawan ialah di Sik, Pendang dan Padang Terap, namun Sik dilihat lebih berpotensi menjadi pelopor dan rujukan untuk usahawan yang baru mula berjinak dengan tanaman ini, memandangkan tidak semua tempat sesuai dari segi cuaca. 

"Hari ini kita turun untuk menilai sebelum memberikan peruntukan tambahan kepada peserta dalam usaha membantu mereka menggandakan pendapatan sedia ada, malah saya berharap lebih ramai yang berminat menjadi usahawan cendawan," katanya.
sumber: Berita Harian
a> Related Posts with Thumbnails