Halaman

Ahad, Jun 29, 2008

Susun Secara Menegak

Oleh SITI AISAH HABIRIN
...
Industri pertanian seumpama ini boleh berkembang memandangkan permintaan pasaran terhadap cendawan semakin meningkat.
..


















SUSUNAN beg subsrat cendawan perlulah betul untuk memastikan tanaman dapat membesar dengan baik.
...
IA kini bukan hanya berperanan sebagai pengurai kepada unsur-unsur lain. Peranannya lebih daripada itu. Rata-rata masyarakat di negara ini menggemari masakan berasaskan cendawan seperti cendawan goreng, sup cendawan mahupun sebagai salah satu bahan utama dalam sajian sayur campur.
....
Ramai yang masih tidak mengetahui cendawan tiram kelabu atau nama saintifiknya Pleurotus soja caju bukan sahaja lazat dimakan malah mengandungi khasiat sembilan asid amino penting serta sumber protein tinggi, selain kaya dengan vitamin B1, B2, biotin, vitamin C dan garam mineral seperti kalium, fosforus, kalsium, natrium, magnesium serta kuprum.
......









MESIN untuk memproses bahan-bahan subsrat.
......
Bagi usahawan Melayu tempatan, Abd. Jalil Mohd Salleh, 40, tumbuhan kulat itu tidak hanya dijadikan sebagai makanan kegemaran keluarganya, malah ketaksuban kepada cendawan bertukar kepada sesuatu menguntungkan apabila beliau mengusahakannya sebagai tanaman komersial.
.....
Dengan berpegang kepada kepercayaan bahawa sesiapa pun boleh berjaya jika ada kesungguhan, anak kelahiran Gelang Patah, Johor ini tidak teragak-agak mengambil keputusan menumpukan tanaman cendawannya sepenuh masa sejak tahun 2004. Kini, beliau memiliki sebanyak empat buah rumah cendawan.
.....
Mempunyai kelulusan Diploma Kejuruteraan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Abd. Jalil pernah bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di Johor Bahru selama 16 tahun sebelum tekad memulakan tanaman cendawan secara komersial sejak lebih empat tahun lalu.
.....
Katanya, dia memulakan tanaman tersebut dengan hanya bermodalkan RM1,000 dan menggunakan rumahnya sebagai tempat semaian. Kini, Abd. Jalil mampu mengeluarkan cendawan sebanyak 25 hingga 30 kilogram sehari.
CENDAWAN yang telah dipetik dibersihkan sebelum dipaket.
.....
"Ketika memulakannya, saya masih lagi bekerja sebagai juruteknik dan hanya melakukannya separuh masa. Lama kelamaan, saya melihat industri pertanian seumpama ini boleh berkembang memandangkan permintaan pasaran terhadap cendawan semakin meningkat," katanya.

..



CENDAWAN yang telah dipetik dibersihkan sebelum dipaket.
..
Abd. Jalil memberitahu, setahun selepas penglibatannya secara kecil-kecilan dalam sektor penanaman cendawan, beliau kemudiannya berjaya mendapatkan bantuan dari Jabatan Pertanian dalam bentuk kewangan dan khidmat nasihat.
.....
Mengulas proses penanaman cendawan, katanya, ia melibatkan enam proses bermula dengan penyediaan subsrat atau beg cendawan sehinggalah kepada proses terakhir iaitu penghapusan subsrat yang tidak terlalu rumit, namun perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh agar hasilnya memuaskan.
.....
"Proses ini mengambil masa 60 hingga 70 hari untuk mendapatkan hasil sepenuhnya. Ia memerlukan penyediaan awal bahan-bahan seperti habuk kayu getah, habuk beras, kapur tohor, air perigi atau air hujan, beg plastik khas tahan panas dan gelang PVC dengan diameter tiga sentimeter, gelang getah dan surat khabar lama," jelasnya.
.....
Selain habuk kayu getah, Abd. Jalil memberitahu bahan asas utama ini turut boleh digantikan dengan sisa kelapa sawit, jerami padi, hampas tebu atau sabut kelapa.
.....
"Jenis bahan-bahan tersebut sesuai digunakan kerana bahan tersebut mengandungi selulosa dan berlignin yang dapat membantu pertumbuhan cendawan dengan baik," katanya lagi.
..






ABDUL JALIL

...
"Bagaimanapun, penggunaan air paip tidak digalakkan kerana ia mengandungi klorin manakala jenis beg plastik pula adalah poly plastic (PP) yang lut sinar. Jenis beg plastik ini lebih sesuai digunakan untuk menanam cendawan."
......
Bapa kepada tiga orang anak ini berkata, bahan-bahan untuk menghasilkan subsrat hendaklah digaul dengan nisbah habuk kayu 100 kilogram (kg); habuk beras (lapan hingga 10 kg); kapur tohor (dua hingga tiga kg); air (80 liter).
Kemudian katanya, subsrat itu dimasuk dan dimampatkan ke dalam beg plastik khas, diikat dengan gelang PVC dan mulut beg ditutup dengan surat khabar lama serta diikat dengan getah sebelum dikukus.
.....
"Muncung plastik tersebut tidak perlu diikat terlalu ketat bagi memudahkan pengaliran udara ketika proses mengukus. Subsrat dikukus dengan menggunakan pengukus selama tiga jam pada suhu 100 darjah selsius.
.....
"Selepas itu, subsrat perlu disejukkan selama 10 jam sebelum proses pengisian benih cendawan dapat dilakukan. Kerja-kerja pengisian benih perlu dilakukan di dalam bilik khas yang telah disteril supaya tiada spora-spora liar boleh merosakkan subsrat ini," tambahnya yang menjual cendawan pada harga RM1 sekilogram.

....
Langkah seterusnya setelah pengisian benih ialah beg subsrat perlu disusun secara menegak dan dieram selama 70 hari di rumah cendawan yang kawasannya redup dan sejuk. Persekitaran ini sesuai untuk pembiakan kulat tersebut.
"Suasana sejuk dan redup dapat menggalakkan pertumbuhan myselium dan hanya 10 peratus cahaya matahari diperlukan," katanya.
.....
Dalam pada itu, tambahnya, sebuah subsrat boleh menghasilkan sebanyak empat hingga lima kali pengeluaran cendawan dan hasil tersebut dipasarkan kepada pembeli sekitar Gelang Patah dan Johor Bahru.
....
Abd. Jalil mengalu-alukan mereka yang berminat untuk mempelajari lebih lanjut mengenai proses tanaman cendawan atau membuat sebarang tempahan dengan menghubunginya di talian 07-5071 605 atau 013-740 3049.
...
...
Sumber: Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan