Halaman

Ahad, Februari 20, 2011

Dulu miskin tegar, kini usahawan


Zahari Ibrahim memberi makan ikan di ladang ternak keli di Pasir Mas, baru-baru ini.


PASIR MAS 11 Feb. – “Sekarang saya rasa macam pengusaha sebab ladang ternak keli ini dibangunkan melalui duit yang kerajaan salurkan untuk membantu saya dan ramai lagi keluarga turut terlibat,” kata Zahari Ibrahim, 53, yang berasal dari Kampung Suram, Pasir Mas.

Zahari merupakan salah seorang daripada ratusan individu yang disenaraikan dalam e-Kasih kerana tergolong dalam keluarga miskin tegar.

Dengan hanya bekerja sebagai petani tanpa apa-apa sumber pendapatan lain, hidup Zahari dan keluarganya boleh diibaratkan sebagai ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

Bagaimanapun, ketika Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani merangka sebuah pelan peningkatan pendapatan kepada golongan ini, ia memberikan satu harapan kepada mereka untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

Melalui peruntukan yang dikeluarkan, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) yang menguruskan dana tersebut telah memilih 35 peserta yang tersenarai di dalam e-kasih untuk menerima bantuan kerajaan sebanyak RM10,000 seorang dan Zahari merupakan antara yang terpilih.

Wang itu bagaimanapun tidak diberikan secara tunai kepada mereka sebaliknya ia digunakan untuk membangunkan sebuah kolam ternakan keli di Kubang Keroh di sini.

Projek ternakan keli itu beroperasi sejak Disember lalu melibatkan 78 sangkar yang keseluruhannya mempunyai lebih 150,000 ekor keli.

Zahari ketika ditemui baru-baru ini berkata, projek tersebut dapat membantu memberikan sumber pendapatan lain kepada setiap peserta secara tetap setiap tiga bulan.

Beliau yang gembira dengan bantuan kerajaan itu berkata, sebagai peserta, mereka turut membantu memastikan kolam ternakan itu diuruskan dengan baik sementara menanti hasilnya yang dijangka mula dituai menjelang Mac ini.

“Melalui perkiraan, sekiranya semua ikan yang dihasilkan ini dapat dijual kami boleh memperoleh sehingga RM100,000 semusim dan wang ini akan diagihkan secara bersama.

“Saya gembira kerana kerajaan telah memikirkan langkah ini yang menjanjikan pendapatan secara berterusan kepada golongan miskin seperti saya yang amat memerlukan bantuan,” katanya.

Seorang lagi peserta, Halimah Rahman, 50, berkata, dia berasa amat bangga dan gembira dengan bantuan tersebut kerana ia bukan sekadar memberi pendapatan kepadanya tetapi turut melatih mereka menjadi pengusaha.


Zahari Ibrahim memberi makan ikan di ladang ternak keli di Pasir Mas, baru-baru ini.


Jelasnya, meskipun kerajaan ada melantik seorang penyelia untuk memastikan ladang ternakan itu berjalan dengan baik tetapi sebagai seorang peserta beliau akan datang membersihkan kolam setiap hari.

“Setiap hari saya akan datang lihat ikan-ikan ini membesar. Kolam ini adalah hasil wang yang kerajaan bagi jadi saya mahu pastikan ia akan membuahkan hasil dan dapat diteruskan untuk jangka panjang.

“Sekurang-kurangnya saya akan bantu memberi makan ikan dan membersihkan kawasan sekitarnya,” katanya.

Projek keli tersebut merupakan salah satu daripada beberapa lagi yang disenaraikan sebagai antara petunjuk prestasi utama menteri dan dibina dengan objektif meningkatkan pendapatan rakyat miskin di negeri ini dan mengeluarkan mereka dari paras kemiskinan.

Ia juga bertujuan membantu kerajaan mencapai kadar kosong peratus miskin tegar dan kadar kemiskinan sebanyak 2.8 peratus bagi tahun 2010 di seluruh negara.

Program itu membabitkan tiga bidang utama iaitu penternakan, pertanian dan industri berasaskan tani dan diagihkan kepada tiga golongan utama iaitu nelayan, peniaga dan petani.

Sebanyak enam projek tersebut dibangunkan di negeri ini iaitu di Tumpat, Ketereh, Pasir Mas, Bachok, Kubang Kerian dan Pasir Puteh.

Antara projek yang telah membuahkan hasil adalah tanaman cendawan tiram kelabu di Mekasar.

Projek tersebut yang telah dimulakan sejak Julai tahun lalu membabitkan 21 peserta telah pun membuahkan hasil dan semua peserta telah menerima hasilnya pada penghujung Disember lalu.

Penyelia Projek, Nor Azlan Ahmad Nordin berkata, projek tersebut bermula dengan hanya 44 beg yang mengeluarkan cendawan bagaimanapun ia kini semakin maju dan hari ini mempunyai hampir 44,000 beg.

“Kami mulakan projek ini secara kecil-kecilan terlebih dahulu dan bila peruntukkan kerajaan sudah diberikan ia diperluaskan lagi ke beberapa bangsal dan hasilnya hampir 44,000 beg ada di sini dan mengeluarkan cendawan setiap hari.

“Soal pasaran juga tidak ada masalah malah kita sudah ada pembeli yang membuat tempahan setiap hari terutama sekali kedai makan dan selepas ini kita akan cuba memasarkannya ke beberapa pasar raya,” jelasnya.

sumber: Utusan Malaysia Online

2 ulasan:

  1. Tiada yang mustahil andai berusaha...
    berani melakukan perubahan untuk kemajuan diri...

    BalasPadam
  2. Wow! It's so amazing to read story like this, once poor but because of hardwork and faith they become a successful entrepreneurs. Thanks for sharing.

    BalasPadam