Halaman

Isnin, Jun 24, 2013

Akmal kini pembekal cendawan

 
Graduan UUM ini tidak menyesal menceburi bidang pertanian biarpun memiliki segulung ijazah. 
 
HALAMAN rumah yang krew Jejak Asnaf datangi kali ini tidaklah begitu besar, sekadar mampu memuatkan dua buah kenderaan sedan sahaja. Namun, di sekeliling kaki limanya dihiasi dengan pokok-pokok bunga beraneka jenis dan warna, sama ada berpasu atau di dalam tanah.

Keredupan juga memayungi bahagian sisi rumah kirinya, kerana pepohon sawit hidup subur di sana. Mata merasa tenang dan ingin segera berkenalan dengan pemilik tuan rumah ini di Tanjung Karang Selangor.

Marilah kita berkenalan dengan Junainah Nawari, 50 dan anak terunanya, Mohd. Saidatul Akmal Abdul Kadir, 25, yang bakal menghiasi segmen Jejak Asnaf buat kali ini.

"Menanam cendawan ini memang kena pandai. Saya hanya berkursus separuh hari sahaja di MARDI, selebihnya saya baca sendiri di Internet. Memang banyak benda kena cari sendiri. Misalnya, kriteria benih yang baik itu bagaimana, siapa pembekalnya, apa keadaan yang sesuai untuk cendawan, cara penjagaannya, waktu sesuai untuk memetiknya dan bermacam-macam lagi," kata Akmal

Riuh suara Akmal, seorang anak muda lulusan Ijazah Pengurusan Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM) memberitahu kepada kami tentang usaha membekalkan cendawan yang kini dilagang bersama ibunya, seorang wanita yang punya banyak cerita untuk dikongsi bersama.

Kami langsung dibawa meneliti dua buah bangsal bertirai kain net hitam yang jarang. Di sana, ada ribuan beg cendawan yang bersedia mengeluarkan hasilnya pada bila-bila masa sahaja.

"Cendawan ini memerlukan kawasan yang lembap, jika panas kering tidak sesuai. Tapi jangan sampai basah sangat hingga air masuk ke dalam begnya, benih akan rosak. Jika ditimpa penyakit, lagilah kena berjaga-jaga, kerana ia akan melarat dan merosakkan semua benih."

Ceritanya, usai pengajian di UUM pada 2011, lamaran mencari pekerjaan masih belum berjawab. Untuk itu Akmal menuntasi waktu terluangnya membantu ibu, seorang asnaf yang membangunkan perniagaan cendawan.
Ternyata, perniagaannya kian maju sehinggakan pasaran begitu luas dan mereka sendiri tidak mampu melayaninya. Mungkin Akmal perlu berfikir untuk mempraktikkan sahaja ilmu yang dikejarnya di menara gading tanpa berharap merealisasikannya di tempat lain.

Namun, sebelum kita lebih teruja meneliti keseronokan Akmal dan ibunya dengan bisnes cendawan mereka, mari kita jengah sebentar kisah silam mereka. Ini akan menginsafkan kita, bahawa kekuatan diri yang melatari kehidupan mereka adalah ubat mujarab membangunkan jiwa mereka selama ini.

"Sejak kematian suami pada 1990, saya sedar bahawa saya perlu membesarkan dua orang anak lelaki bersendirian. Namun, di sebalik ujian itu, saya tidak pernah mengharapkan kepada sesiapa pun untuk membesarkan mereka. Malah saya berpesan kepada anak-anak, kita mesti berusaha sendiri, jangan suka mengharapkan simpati orang," Junainah bercerita.

Begitulah, di sebalik kesenangan hari ini, pasti ada suatu kenangan menggugah jiwa dahulunya.

"Waktu itu usia saya sendiri masih muda. Baharu 28 tahun dan suami saya baharu 36 tahun. Kematian suami amat tiba-tiba kerana dia terlibat dalam kemalangan jalan raya. Selepas itu, demi meraih rezeki yang halal, saya menggagahkan diri melakukan apa sahaja jenis pekerjaan yang halal," kata Junainah.

Baginya itu bagaikan menjadi baja yang menyuburkan semangatnya untuk terus berjaya.

"Saya pernah bekerja di rumah dengan mengambil upah memasang paku pada pin pelekat wayar elektrik dari sebuah kilang, malah masa senggang saya tidak sia-siakan dengan menanam pelbagai jenis sayur-sayuran di tanah yang luas di belakang rumah.

"Malah saya ambil barang-barang keluaran syarikat tertentu dan jual dari rumah kepada mereka yang berminat.

"Alhamdulillah, pendapatannya biar pun tidaklah sebesar mana, namun saya dapat bertahan sehingga mampu membesarkan dua orang anak," katanya.
Ternyata, anak sulung Junainah, Mohd. Shahmuzir al-Azizul Ain, 26, juga tidak mengecewakannya. Dia kini merupakan seorang pegawai polis dan sedang melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam Diploma Pendidikan Islam.

"Saya dan anak-anak mulai mendapat bantuan zakat sejak 2002, iaitu selepas pihak amil di kampung ini mengenal pasti keadaan kami. Jika tidak mereka yang datang, saya tidak akan pergi memohon bantuan, kerana saya memang tidak mahu meminta kepada sesiapa. Awalnya, kami hanya diberikan bantuan raya dan persekolahan sahaja.

"Kemudian, apabila anak kedua saya, Akmal melanjutkan pelajaran di UUM, pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) terus membantu dengan menyalurkan dermasiswa zakat kepadanya sepanjang pengajian," ujarnya.

Ternyata Akmal juga anak yang pintar dan pernah dianugerahkan Anugerah Dekan pada semester terakhirnya pengajiannya, iaitu pada 2011.

"Pada 2012, selepas emak dibantu pihak MARDI mengusahakan cendawan ini, pihak LZS datang dan melihat boleh dikembangkan lagi.

"LZS salurkan dana RM14,775 lagi, dalam bentuk barangan dan modal tunai. Alhamdulillah, lagi lajulah perniagaan kami," ujar Akmal.

Kini, dua beranak itu sibuk menguruskan bangsal cendawan milik mereka yang sudah pun berjumlah lebih 8,000 beg cendawan.

Pendapatan yang diperoleh juga kian memberangsangkan, malah Akmal sudah berkira-kira mahu melebarkan perniagaan cendawannya dan menggajikan beberapa orang untuk membantunya.

"Saya bersyukur dengan bantuan zakat ini. Mudah-mudahan, rezeki kami dan rezeki semua pembayar zakat akan terus diberkati Allah," tuntas Junainah sambil membungkuskan beberapa plastik cendawan untuk diberikan kepada kami sebagai hadiah perkenalan.

Nota: Kini pasaran cendawan mereka sudah ke merata tempat di Tanjung Karang dan kawasan sekitarnya dan mereka boleh dihubungi di talian 013-464 7405 (Akmal).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan