Halaman

Isnin, Julai 15, 2013

Pengusaha cendawan putih mata


Pengusaha cendawan putih mataBERA- Pengusaha cendawan kerugian lebih RM60,000 apabila bumbung rumah cendawan dan bengkel memproses, di Taman Triang Maju, dekat sini, diterbangkan angin kencang, lewat petang kelmarin.


Pengusaha cendawan putih mataPemiliknya, S Solaishalani berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, sebahagian tanaman cendawan, termasuk yang boleh dituai musnah selain beberapa peralatan elektrik turut rosak terkena hujan.

Pengusaha cendawan putih mata

Menurutnya, ketika kejadian, bapa dan adiknya yang berada di kawasan perusahaan tersebut terkejut melihat bumbung tiba-tiba diterbangkan angin kencang.

“Pada ketika itu, saya di rumah dan berpendapat hujan itu boleh membantu pertumbuhan cendawan dengan sempurna, sekali gus akan meningkatkan jualan kali ini.

“Tetapi, saya tergamam melihat ayah balik ke rumah sambil menangis dan memberitahu projek cendawan hampir musnah,” katanya kepada Sinar Harian.

Difahamkan, Solaishalani bergegas ke lokasi tersebut dan mendapati semua bumbung tercabut, malah semua beg yang mengandungi benih cendawan dibasahi hujan.

Tiada cendawan dituai

BERIKUTAN itu, hanya beberapa gram cendawan yang boleh dituai dan keadaan itu menyebabkan pendapatan mereka merudum.

Bapanya, S Solaivenggadeasan berkata, selalunya mereka menuai setiap tempoh tiga bulan dan sepatutnya cendawan sedia ada itu boleh dituai dalam masa seminggu lagi.

Menurutnya, lebih merisaukan, mereka terpaksa memikirkan cara pembayaran pinjaman bank.

“Pagi tadi (semalam), saya hanya dapat tuai sedikit sahaja cendawan memandangkan yang lain kebanyakkannya sudah rosak "Jadi, kalau keadaan sudah jadi begini, kami tidak boleh membekalkan cendawan dalam pasaran
seperti biasa dan bimbang memikiran bayaran pinjaman bank yang perlu dibuat," katanya.

Difahamkan, pasaran cendawan diusahakan mereka mempunyai pasaran di sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur sejak projek ini dilaksanakan Januari 2012 lalu.

Mohon bantuan tampung kerugian

DALAM pada itu, Solaivenggadeasan berkata, kejadian itu telah dilaporkan kepada polis, malah turut berusaha mendapatkan bantuan daripada jabatan atau agensi berkaitan, termasuk wakil rakyat bagi menampung sebahagian
kerugian yang dialaminya.

Menurutnya, buat masa ini, mereka terpaksa membina semula bumbung sementara bagi menyelamatkan mana-mana cendawan yang masih elok.

“Tetapi, kami tidak pasti sama ada bumbung itu akan bertahan atau tidak lebih-lebih lagi semua modal yang ada sudah digunakan untuk membeli benih dan peralatan berkaitan.

“Jadi, sememangnya kami mengharapkan ada pihak yang akan membantu,” katanya.

Walaupun sedih dengan bencana itu, mereka sekeluarga perlu mencari penyelesaian terpantas supaya tidak terus menanggung kerugian apabila lebih banyak cendawan yang rosak.

Turut simpati dengan bencana yang menimpa dan melakukan kunjungan, Ketua MIC Cawangan Bukit Emas, S Muthukrishnan dan Ketua Pemuda PPP, S Muniandy. 

AZIZAH SHAFIE
3 Julai 2013
- Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan