Halaman

Ahad, Januari 19, 2014

Penyelidikan, pembangunan bioteknologi pacu pertanian Johor

Mohamed Khaled Nordin (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Dr. Abd. Shukor Abd. Rahman (kanan) dengan Guo Honghai (kiri) dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama antara World Green Biotech Sdn. Bhd. dan Shandong Academy of Agricultural Sciences di Johor Bahru, kelmarin.

JOHOR BAHRU 15 Jan. - Johor bakal menjadi peneraju kepada sektor penyelidikan dan pembangunan bioteknologi negara khususnya dalam bidang pertanian dan teknologi berkaitan bagi memaksimumkan pengeluaran sesuatu produk, bertepatan dengan status negeri ini sebagai pengeluar terbesar makanan negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, selain pelbagai produk tanaman sedia ada seperti nenas dan koko, negeri ini akan turut menyaksikan permulaan kajian untuk penanaman cendawan berkualiti tinggi jenis king oyster.

Katanya, negeri ini merupakan negeri pengeluar cendawan terbesar dalam negara namun bukan daripada cendawan berkualiti tinggi kerana kekurangan teknologi sedia ada untuk tujuan tersebut.

"Johor adalah hab bioteknologi dan ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya dengan mempraktikkannya dalam sektor pertanian kerana ia bukan saja menampung makanan negara malah meningkatkan ekonomi negeri. Usahasama antara syarikat tempatan dan sebuah institusi penyelidikan utama China, Johor bakal menerajui bidang penanaman cendawan dari jenis king oyster.

"Kajian yang dilakukan ini bukan sahaja bertujuan memenuhi sektor permintaan cendawan sebagai bahan makanan, malah boleh digunakan dalam bidang perubatan," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perjanjian persefahaman (MoU) antara World Green Biotech Sdn. Bhd. dan Shandong Academy of Agricultural Sciences (SAAS) yang diadakan, di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi World Green Biotech Sdn. Bhd., Datuk Dr. Abd. Shukor Abd. Rahman; Naib Presiden Kerjasama Antarabangsa SAAS, Liming Zhang dan Pengarah Bahagian Sumber dan Alam Sekitar SAAS, Guo Honghai.

Permintaan terhadap cendawan dari jenis king oyster sebelum ini memerlukan negara mengimport bahan makanan tersebut dari Korea Selatan disebabkan cuaca negara tersebut sesuai untuk penanaman cendawan jenis itu.

Sementara itu, Dr. Abd. Shukor berkata, buat permulaan, sebuah ladang seluas lapan hektar di kawasan Kulai, Kota Tinggi akan dibangunkan yang bertujuan menjadi tapak permulaan pembiakan cendawan bermutu tinggi tersebut di negara ini.

"Ladang di Kulai itu akan beroperasi sepenuhnya pada pertengahan tahun hadapan dengan jumlah pengeluaran harian dijangka mencecah sehingga 20 tan cendawan king oyster setiap hari. Pengeluaran akan dipertingkat kepada 50 tan sehari seperti di Shandong, China," katanya.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Johor/20140116/wj_05/Penyelidikan,-pembangunan-bioteknologi-pacu-pertanian-Johor#ixzz2qqcUS5uX 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan