Halaman

Isnin, Januari 27, 2014

Proses biak cendawan tiram

Terdapat empat jenis cendawan tiram yang boleh diusahakan di kawasan tanah rendah.
Tiram kelabu atau nama saintifiknya Pleurotus sajor-caju, tiram putih (Pleurotus florida), tiram kuning (Pleurotus citrinopileatus) dan tiram merah jambu (Pleurotus flabellatus). 
Kejayaan perusahaan tiram bergantung kepada beberapa faktor penting seperti jenis media, suhu, kelembapan, cahaya, pengudaraan dan lain-lain. 

Aktiviti perusahaan ini bermula dengan penyediaan infrastruktur, bahan dan peralatan yang bersesuaian mengikut susun atur.
Foto
Cendawan tiram atau cendawan tiram pokok adalah salah satu kulat yang boleh dimakan dan kebanyakannya ditanam di Asia sejak dulu kala.
Ia kini ditanam secara komersial di seluruh dunia sebagai makanan. 
Cendawan ini mempunyai persamaan de­ngan kulat Pleurotus eryngii. 
Cendawan tiram juga digunakan dalam industri bagi tujuan mycoremediation. 

Cendawan tiram sering digunakan dalam masakan Cina dan Jepun sebagai makanan istimewa dan sedap dimakan bersama kicap. Cendawan tiram kelabu mengandungi antioksidan dan kalsium yang tinggi. 

Ia hidup dengan menumpang pada perumah seperti sisa tumbuhan atau bahagian tumbuhan yang sudah reput dan menyerap zat makanan daripadanya. 

Disyorkan kemudahan infrastruktur cendawan mempunyai dua komponen bangunan yang berasingan. 

Pertamanya bangunan penyediaan media yang mempunyai empat ruang bagi tujuan menyimpan stok, menggaul dan me­ngukus media, stor bahan dan peralatan serta bilik suntikan benih cendawan. 

Keduanya rumah cendawan dilengkapi dengan rak untuk meletakkan beg media dan berdinding jaring. Semua infrastruktur mestilah berlantaikan simen. 

Beg media cendawan perlu disediakan sebagai tempat miselia cendawan tumbuh. Bahan yang digunakan ialah habuk kayu yang tidak dirawat, dedak halus dan kapur pertanian pada kadar 100:10:1. 

Campuran air supaya kelembapan 60 hingga 65 peratus. Bahan ini digaul rata dan dimampatkan ke dalam beg plastik jernih yang tahan panas. Pasangkan leher dan tutup mulut beg media dengan penutup yang disumbat kapas. 

Selepas penyediaan beg media cendawan, pengukusan perlu dijalankan untuk membunuh segala organisma pencemar dan perosak yang terdapat di dalam media supaya mesilia cendawan dapat tumbuh dengan baik. 

Pengukusan dilakukan dengan menggunakan tong dram bertutup yang dilakukan antara 7 hingga 12 jam. Beg media cendawan kemudian disejukkan, diikuti dengan kerja pe­nyuntikan benih yang mesti dijalankan di dalam bilik bersih. 

Beg media yang sudah dimasukkan benih cendawan perlu melalui proses pemeraman lebih kurang 60 hari di tempat yang gelap sehingga miselia tumbuh memenuhi keseluruhan beg media. 

Sebaik saja didapati mesilia memenuhi keseluruhan beg media, pe­nutup mulut beg media boleh dibuka. Hasil pertama cendawan boleh dikutip mulai hari ketiga hingga kelima berikutnya. 

Selesai mengutip hasil, mulut beg media perlu dibersihkan dan ditutup untuk direhatkan selama 10 hari. Selepas cukup direhat­kan, buka semula pe­nutup untuk mendapatkan hasil berikutnya. 

Jumlah hasil bagi setiap beg media bagi setiap tuaian adalah sebanyak 60 hingga 80 gram dan proses memungut hasil ini boleh diulangi antara enam hingga lapan kali. 

Disyorkan cendawan disimpan dalam peti sejuk antara 5 hingga 8 darjah celsius yang boleh bertahan segar selama tiga hingga empat hari dengan insangnya menghala ke atas. -Hmetro
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/08

Tiada ulasan:

Catat Ulasan