Halaman

Isnin, November 17, 2014

RM1.2 juta perluas projek cendawan

 

PULAU PINANG 1 Okt. - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) memperuntuk sebanyak RM1.2 juta untuk memperluas projek cendawan di tujuh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di negeri ini. 

Ketua Pengarahnya, Datuk Arpan Shah Satu berkata, sebanyak 40,000 bongkah cendawan jenis Tiram Kelabu akan diagihkan kepada setiap PPK dan hasilnya dijangka dapat dituai awal tahun depan. 

Menurut beliau, setakat ini, purata pengeluaran cendawan di bawah seliaan Pertubuhan Peladang negeri hanya mencapai 500 kilogram sebulan. 

"Kita menyasarkan pengeluarannya dapat ditingkatkan kepada 2.4 tan sebulan mulai tahun depan dengan adanya projek ini," katanya kepada pemberita selepas menyertai program Kelab MyAgrosis Universiti Sains Malaysia (USM) di sini baru-baru ini. 

Dalam majlis itu, Arpan Shah turut menyampaikan cek bernilai RM24,000 kepada MyAgrosis USM untuk menampung kos pembinaan sebuah lagi rumah cendawan kelab berkenaan, di samping pembelian motosikal roda tiga dan benih baharu. 

MyAgrosis USM yang ditubuh sejak 2011 di bawah seliaan LPP muncul kelab terbaik setakat ini daripada lebih 20 MyAgrosis di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara. 

Menurut Arpan Shah, lima usahawan peladang akan mengurus projek itu secara bersama bagi setiap PPK, membabitkan PPK Seri Pulau, Penaga, Pokok Sena, Kampung Pelet, Tasek, Bukit Mertajam dan Sungai Acheh. 

Katanya, sebanyak 40,000 bongkah cendawan itu secara kasar dapat menghasilkan pendapatan sebanyak RM3,000 sebulan, namun pengusaha mampu menggandakan pendapatan sekiranya mereka bijak mengatur strategi, selain mempelbagaikan produk dikeluarkan. 

Dalam perkembangan lain, tambah beliau, MyAgrosis dengan kerjasama LPP akan menganjurkan Pasar MyAgrosis yang turut membabitkan 40 usahawan peladang, setiap Jumaat di kampus USM mulai 24 Oktober ini. 

"Pelbagai produk pertanian tempatan akan dijual, termasuk hasil akuakultur dan ini adalah program pertama berkonsep pasar tani dianjurkan di dalam kampus secara mingguan dari pukul 3 petang hingga 9 malam," katanya. 

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/pulau-pinang/rm1-2-juta-perluas-projek-cendawan-1.11450#sthash.pKzSDxm2.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan