Halaman
▼
Ahad, Mac 06, 2016
Cendawan jerami bantu penoreh
Razali (kanan) menunjuk teknik mengusahakan cendawan jerami di dalam ladang getah.
KUALA NERANG - Cendawan jerami akan diperkenalkan kepada penoreh getah di Padang Terap bagi menambahkan pendapatan ketika harga getah semakin merosot.
Pegawai Jabatan Pertanian daerah Padang Terap, Mohamad Yuzaidi Azmi berkata, tanaman cendawan ini akan dijadikan tanaman alternatif supaya penoreh boleh menambah pendapatan mereka melalui projek itu.
Menurutnya, bagi peringkat permulaan, projek di bawah jabatan ini mula diusahakan seorang penoreh getah di Kampung Kubang Kenyeng, Mukim Tekai Kanan, dekat sini.
"Melalui projek ini, penoreh boleh mengusahakannya di tengah ladang getah mereka dan mudah untuk mengusahakannya berbanding teknik tanaman cendawan sebelum ini," katanya.
Mohamad Yuzaidi berkata, projek itu hanya memerlukan tandan sawit atau jerami padi yang diperam tujuh hari dan kemudiannya ditambak menjadi batas sepanjang tiga meter panjang dan satu meter lebar di atas plastik hitam.
“Jerami itu akan dimampatkan dan ditutup selama tujuh hari kemudiannya plastik hitam itu dilengkungkan dengan buluh supaya tidak mengganggu proses tumbuhan cendawan nanti.
"Selepas lima hari, akan kelihatan cendawan tumbuh dan hasilnya boleh bertahan sehingga sebulan,” katanya.
Katanya, setiap batas boleh menghasilkan dua kilogram cendawan sehari dan penoreh mampu mengusahakannya lima batas sebagai peringkat permulaan.
"Harga setiap satu kilogram cendawan jerami pada hari ini ialah RM10 dan jika mereka mampu menghasilkan 10 kilogram sudah tentu mampu meraih pendapatan RM100 sehari," katanya.
Tambahnya, cendawan jerami ini sangat sesuai dengan cuaca di kawasan itu dan tidak memerlukan kos tinggi untuk mengusahakannya.
"Jerami dan tandan kelapa sawit yang terbuang juga boleh digunakan untuk tanaman cendawan ini," katanya.
Malah katanya, apabila musim luruh daun getah berlaku, pengusaha boleh memasang jaring hitam bagi menutup batas cendawan itu supaya dapat mengekalkan cuaca di dalam ladang getah mereka.
"Pengusaha tidak perlu membina rumah khas yang memerlukan kos tinggi.
“Saya mengalu-alukan penoreh getah melibatkan diri dalam tanaman cendawan jerami ini kerana mampu menambah pendapatan sebagai penoreh getah. Pihak Jabatan Pertanian juga bersedia membimbing penoreh yang berminat,” katanya.
sumber: Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan