NURUL HAKIMI (kanan) dan Mohd. Shahril boleh berbangga kerana telah memiliki empat buah rumah cendawan setakat ini.
NURUL HAKIMI SHAHRI, 34, tidak menyangka nasib ahli keluarganya berubah selepas dia secara tidak langsung melibatkan diri dalam penjualan cendawan tiram kelabu kira-kira lima tahun lalu.
NURUL HAKIMI SHAHRI, 34, tidak menyangka nasib ahli keluarganya berubah selepas dia secara tidak langsung melibatkan diri dalam penjualan cendawan tiram kelabu kira-kira lima tahun lalu.
Melihat prospek jualan yang amat memberangsangkan, ibu kepada seorang cahaya mata lelaki ini tidak teragak-agak mencuba nasib untuk mengusahakan sendiri tanaman cendawan yang dilihat mempunyai permintaan pasaran tinggi.
Menurut Nurul Hakimi, segala-galanya bermula secara kebetulan ketika dia sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Melaka antara tahun 2009 hingga 2011 apabila seorang rakan memperkenalkannya dengan hasil pertanian itu.
“Pada awalnya saya hanya berniaga suka-suka. Saya beli tiga kilogram cendawan setiap hari, kemudian dibungkus semula dan dihantar ke beberapa buah kedai makan sekitar tempat tinggal saya.
“Setiap hari cendawan yang saya jual habis dan dari situ, saya mula buat kajian melalui internet mengenai prospek tanaman cendawan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Katil, Melaka baru-baru ini.
Menurutnya, pada 2010 dan berbekalkan modal RM1,500, dia dan suaminya, Mohd. Sharil Md. Sarip, 35, mula mengusahakan tanaman cendawan.
Namun, semua proses itu dilakukan secara manual kerana mereka masih tidak mampu untuk membeli mesin dan menyediakan rumah cendawan.
Nurul Hakimi berkata, empat bulan kemudian, mereka berjaya mengumpul modal sebanyak RM50,000 hasil meminjam duit daripada ahli keluarga untuk membina sebuah rumah cendawan dan membeli dua jenis mesin untuk memproses tanaman tersebut.
Katanya, melihat potensi besar tanaman itu, suaminya mengambil risiko dengan berhenti kerja dan memberi fokus penuh terhadap perniagaan tersebut manakala dia pula terpaksa membahagikan masa antara belajar dan mengusahakan tanaman tersebut bersama suaminya.
SEORANG pekerja membungkus cendawan sebelum ia dipasarkan.
Tidak menunggu lama, beliau berkata, mereka mula mengembangkan perniagaan dengan membina tiga lagi rumah cendawan dan kemudian menggunakan pinjaman Skim Pembiayaan Ekonomi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sebanyak RM100,000 bagi meluaskan ‘empayar’ yang diusahakan.
“Kini setiap bulan, empat buah rumah cendawan yang diusahakan di kampung suami saya di Tangkak, Johor boleh menghasilkan sebanyak 1.5 tan cendawan sebulan. Hasil tersebut diagih kepada beberapa buah pasar raya.
“Harga cendawan berkenaan adalah antara RM9 hingga RM10 sekilogram untuk pasaran borong manakala RM12 hingga RM16 sekilogram bagi jualan runcit.
“Namun, jumlah tersebut masih belum cukup untuk menampung permintaan yang tinggi di pasaran,” jelasnya,
Buat masa ini, Nurul Hakimi hanya boleh membekalkan hasil pertanian itu ke tiga buah pasar raya di Melaka dan sebuah pasar raya di Seremban, Negeri Sembilan.
Disebabkan ruang pasaran yang dilihat sangat meyakinkan, usahawan ini terus mengembangkan perniagaannya dengan suntikan modal melalui pembiayaan berjumlah RM300,000 daripada Agrobank baru-baru ini.
Melalui dana tersebut, mereka memajak sebidang tanah seluas 0.8 hektar milik Jabatan Pertanian Ledang dan membina 15 buah rumah cendawan yang kini dalam proses pembinaan.
“Jika siap kelak, kesemua 19 rumah cendawan tersebut dijangka mampu menghasilkan 250 kilogram cendawan setiap hari dan pasaran dijangka meluas ke Lembah Klang,” katanya.
Menurut Nurul Hakimi yang juga Ahli Majlis Unit Agropreuner Muda, kunci kejayaan mereka adalah tidak kenal putus asa dan sanggup belajar walaupun diuji pelbagai rintangan.
“Dari situ kami tahu, banyak perkara perlu dititikberatkan termasuk menggunakan benih berkualiti selain menjaga kebersihan rumah cendawan kerana tanaman ini sangat sensitif terhadap persekitaran,” katanya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1019&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm#ixzz3GeOaKPNp
Hakcipta terpelihara