Khamis, Oktober 05, 2017

Nekad jadi usahawan cendawan



LABIS 6 Sept. - Biarpun pernah memegang jawatan sebagai jurutera proses petroleum, namun wanita gigih ini tidak canggung untuk melakukan kerja berat yang menjadi rutin seorang peng­usaha cendawan tiram.

Rozita Mohd. Hatta, 36, gene­rasi kedua Felda Tenang, di sini mengakui kehidupannya berubah sepenuhnya selepas kehilangan kerja kesan daripada kejatuhan harga minyak dunia pada 2015.


“Memang saya terkesan apabila majikan hampir 10 tahun, iaitu syarikat petroleum yang berpusat di Singapura mengambil keputusan untuk mengecilkan operasi dan jumlah pekerja akibat kejatuhan harga pasaran minyak dunia ketika itu.

“Namun saya tidak panik kerana percaya rezeki ada di mana-mana dan apa yang pen­ting kita kena berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Justeru, dia nekad untuk mela­burkan kira-kira RM15,000 wang simpanannya untuk memulakan projek cendawan tiram dan cendawan kukur di tanah terbiar seluas 0.2 hektar yang terletak di hadapan rumah bapanya di Felda Tenang.

Untuk mendalami ilmu penanaman cendawan, Rozita sanggup berguru di Filipina dan mempelajari teknik terkini daripada rakan-rakannya di Thailand dan India.

Bermula dengan hanya 200 bongkah ketika memulakan usa­ha ter­sebut dua tahun lalu, kini dia yang dibantu dua adiknya serta beberapa lagi pekerja mempunyai kira-kira 1,000 bongkah cendawan ketika ini.

“Saya kini tidak lagi menumpukan kepada usaha mengeluarkan pelbagai jenis cendawan tiram dan cendawan kukur, malah sudah mula memasarkan bongkah yang sudah siap disuntik benih cendawan kepada pengusaha lain.

“Harga setiap bongkah antara RM2 hingga RM3.50 bergantung kepada jenis cendawan dan setiap bongkah boleh me­nge­luar­kan tiga kali hasil, iaitu kira-kira dua kilogram cen­dawan,” katanya.

Katanya, penghasilan bongkah perlu melalui beberapa proses seper­ti mengisi habuk kayu getah ke dalam beg plastik, kemudian dikukus selama tujuh jam sebelum disejukkan dan diperam untuk tempoh tertentu sebelum boleh disuntik benih cen­dawan dan dipindahkan ke dalam bangsal khas.

Selain cendawan ku­kur, dia turut mengeluarkan cendawan tiram putih, tiram kelabu, tiram kuning, tiram merah, abalon dan Ling Zhi yang dipasarkan sendiri kepada pengusaha makanan di beberapa daerah di negeri ini.

“Ketika ini, saya sedang dalam proses untuk menyiapkan sebuah makmal mini bagi tujuan penyelidikan serta usaha menghasilkan benih beberapa cen­dawan lain bagi mengembangkan lagi usaha ini pada masa akan datang.

“Alhamdulillah, setakat ini ermintaan terhadap cendawan dan bongkah begitu menggalak­kan sehingga adakalanya saya kehabisan stok. Hasil yang di­per­loleh daripada usaha ini juga agak lumayan untuk menampung kehidupan saya,” katanya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/johor/nekad-jadi-usahawan-cendawan-1.523549#ixzz4ubrDUwEF 
© Utusan Melayu (M) Bhd 
a> Related Posts with Thumbnails