Memaparkan catatan dengan label berita pertanian. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label berita pertanian. Papar semua catatan

Jumaat, Jun 05, 2009

Gunakan hasil pertanian segar

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
..
Keselamatan makanan merupakan agenda terpenting dalam pembangunan sesebuah negara.
....
Sebagai pengguna, kita akan memastikan makanan yang diambil adalah berkualiti, selamat dan sesuai dimakan.
....
Justeru Jabatan Pertanian dengan kerjasama pasar raya besar Jaya Jusco melancarkan kempen membeli hasil pertanian segar dengan persijilan Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM) dan Skim Organik Malaysia (SOM).
..
Norma othman menunjukkan logo SALM dan SOM yang terdapat di produk pertanian segar semasa kempen beli produk pertanian selamat dan bermutu.(Gambar)
....
Pengarah Bahagian Kawalan Kualiti Tanaman Jabatan Pertanian Malaysia, Norma Othman berkata, kempen berkenaan bertujuan memberi kesedaran kepada pengguna untuk memilih produk yang selamat dan bermutu.
.. ...

Kempen berkenaan sedang berlangsung setiap hujung minggu di rangkaian pasar raya tersebut bermula dengan cawangan One Utama, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor.
..
"Sehingga kini sambutan yang diterima amat menggalakkan daripada pengguna yang semakin menyedari mengenai isu keselamatan makanan.

..
"Kini pihak kami merancangkan untuk meluaskan kempen ke rangkaian pasar raya besar Jaya Jusco seluruh Lembah Klang," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

.......
Sebelum ini banyak rungutan dan aduan mengenai sisa baki racun perosak di sayur-sayuran dan buah-buahan terutama oleh negara pengeksport. Ini menyebabkan Jabatan Pertanian di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengeluarkan sijil akreditasi SALM dan SOM.

..
Sijil SALM diberikan kepada ladang-ladang konvensional yang mengamalkan Amalan Pertanian Baik (APB) manakala SOM pula diberikan kepada ladang organik selepas menjalani proses pemantauan dan pemeriksaan yang ketat.

..
Norma menambah, kini terdapat 235 ladang yang memperolehi SALM manakala hanya 24 ladang mendapat SOMdi seluruh negara. Bagaimanapun tambah beliau sijil SALM dan SOM ini telah mendapatkan pengiktirafan negara luar bagi memudahkan hasil pertanian dieksport ke luar negara.

..
"Buat masa ini banyak produk hasil pertanian dengan sijil SALM dan SOM dieksport ke luar negara seperti Singapura dan Eropah," katanya.

..
Justeru pengguna semakin bijak dan mereka akan diberikan pilihan untuk memilih produk yang selamat dan berkhasiat untuk kesihatan.

..
Apa itu SALM?
SALM adalah skim persijilan yang dirangka oleh Jabatan Pertanian untuk memberikan pengiktirafan kepada ladang yang mengamalkan Amalan Pertanian Baik (APB).

..
Ia berkonsepkan mesra alam sekitar, menjaga kebajikan dan keselamatan pekerja bagi menghasilkan produk yang berkualiti, selamat dan sesuai dimakan. Skim ini berpandukan Standard SALM dan berdasarkan Malaysian Standard MS 1784:2005 Crop Commodities - Good Agricultural Practices (GAP).

..
Apa itu APB?
APB adalah satu sistem pengurusan yang mengamalkan amalan-amalan pertanian yang baik dan dilaksanakan mengikut piawaian dan undang-undang atau peraturan bagi mengawal dan mengurangkan risiko dan impak kepada aktiviti pengeluaran pertanian.

..
Sistem pengurusan ini akan dapat meningkatkan produktiviti, menjaga keselamatan dan kebajikan pekerja, keselamatan makanan serta pemuliharaan alam sekitar. Ini adalah antara usaha ke arah pembangunan pertanian lestari.

..
Apa itu SOM?
SOM adalah satu program persijilan untuk mengiktiraf pemilik ladang yang mengusahakan penanaman di ladang secara organik mengikut keperluan-keperluan yang ditetapkan dalam piawaian organik negara iaitu, MS 1529: 2001 The production processing, labeling and marketing of plant-based organically produced foods.

..
Skim ini memberikan tumpuan kepada pengeluaran, pengendalian termasuk pembungkusan, penyimpanan, pengangkutan dan jualan bahan makanan tanaman organik. - Utusan Online

Jumaat, Mac 20, 2009

Pertanian lestari utamakan alam semula jadi

PERTANIAN antara salah satu pekerjaan yang telah lama dilakukan di seluruh dunia bagi mendapatkan bekalan makanan.

Jika dahulu, pertanian dijalankan secara kecil-kecilan untuk kegunaan sendiri tetapi kini pertanian dijadikan satu bisnes atau perniagaan.

Justeru, bagi memperoleh hasil yang tinggi sebagai ladang komersial pelbagai bahan kimia seperti baja dan racun serangga digunakan.

Jika dibanding dengan ladang konvensional yang hasilnya untuk makan sendiri, semua baja yang digunakan adalah terhad manakala racun serangga mungkin tidak digunakan langsung.

Penggunaan racun dan baja kimia yang berleluasa mula menimbulkan kesan sampingan selepas 40 hingga 50 tahun terutama kesannya terhadap alam sekitar .

Kajian juga mendapati sisa racun dan bahan kimia dapat dikesan dalam makanan yang diambil setiap hari.

Di samping itu, penggunaan racun berleluasa menyebabkan populasi serangga perosak bertambah tinggi kerana rintang atau imun terhadap racun yang diberikan selain memusnahkan serangga yang baik dan biasanya berguna sebagai agen polinasi (pendebungaan).

Berbanding dengan dulu, kini penyakit pokok semakin bertambah setiap hari dengan input pertanian yang perlu ditambah.

Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Strategik, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Abd Jamil Zakaria berkata bagi menyaingi masalah berkenaan, petani perlu beralih ke arah pertanian lestari.

Pertanian lestari merupakan satu konsep pertanian mapan yang tidak mencemarkan alam sekitar.

Produk pertanian lestari adalah selamat dimakan, mengurangkan pencemaran alam sekitar selain menstabilkan pendapatan petani.

Peralihan daripada pertanian konvensional kepada pertanian lestari mempunyai banyak kelebihan.

Selain menyumbangkan kepada pencemaran, pertanian konvensional juga membebaskan gas rumah hijau - karbon dioksida, metana dan nitros oksida yang menyebabkan pemanasan global.

Penggunaan baja nitrogen secara berterusan menghasilkan nitros oksida sebagai hasil sampingan.

Walaupun sektor pertanian di negara ini hanya menyumbang 10 hingga 15 peratus gas rumah hijau berbanding sektor perindustrian tetapi jika diuruskan dengan baik akan dapat memperlahankan proses pemanasan global.

Dalam semua keadaan terdapat unsur karbon yang menghasilkan gas rumah hijau.

Oleh itu bagi karbon perlu diselamatkan daripada bebas ke udara dan jika karbon berada di dalam bumi, suhu dijangka akan stabil.

Persidangan bagi memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai persidangan mengenai pemanasan global serta kesan-kesannya dalam jaminan makanan, sosial dan ekonomi.

Satu cara bagi mengatasi masalah pembebasan gas rumah hijau dan pemanasan global adalah pertanian lestari.

Pertanian lestari banyak bergantung kepada bahan semulajadi menggunakan flora dan fauna yang terdapat dalam tanah.

Misalnya bagi mendapatkan unsur nitrogen dalam baja, gunakan mikrob yang mampu mengambil nitrogen dari udara untuk dipindahkan ke pokok.

Biasanya dalam pertanian lestari, tanah akan subur apabila terdapat banyak karbon di dalamnya.

Pertanian lestari menggunakan bahan kimia yang minimum dan tidak merosakkan alam sekitar.

Contoh pertanian lestari adalah pertanian organik dan pertanian semulajadi.

Kedua-dua pertanian ini menggunakan sumber semula jadi seperti baja organik, arang daripada kayu bagi menambahkan unsur karbon dalam tanah daripada satu kepada empat peratus.

Apa yang tidak ramai ketahui, hujung rerambut akar mengeluarkan karbon bagi menggalakkan pertumbuhan mikrob.

Manakala pokok yang sihat akan mengeluarkan cairan dari hujung akar bagi menggalakkan pertumbuhan mikrob.

"Jika racun atau baja kimia digunakan ia akan mengganggu kitaran flora dan fauna," katanya.

Dalam pertanian lestari, nutrien dalam pokok akan berada dalam keseimbangan dan mengurangkan serangan serangga.

Terdapat teori yang mengatakan serangga kurang menyerang pokok yang mempunyai keseimbangan semula jadi.

Bila menggunakan banyak racun perosak, mikrob pada pokok akan mati dan memudahkan serangan serangga dan penyakit.

Kini permintaan terhadap makanan organik dan semulajadi bertambah tinggi dengan kesedaran terdapat pelbagai penyakit seperti kanser.

Justeru pihak MARDI mengadakan Seminar Kebangsaan Kali ke 2 Agro-Alam Sekitar 2009 yang bertajuk Agro-Alam Sekitar: Penyesuaian pada perubahan cuaca tidak menentu menerusi pertanian lestari

Seminar yang akan diadakan pada 24 hingga 26 Mac ini di Johor dengan tajaan bersama Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (Jabatan Kajicuaca) dan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Seminar ini akan membincangkan mengenai kesedaran awam mengenai kepentingan agro-alam sekitar bagi mengekalkan produktiviti pertanian.

Mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengikuti seminar berkenaan boleh menghubungi sekretariat di 019-3443877, 03-89437390 atau e-mel: agroenv@mardi.gov.my.
-utusan online
..






a> Related Posts with Thumbnails