Pernahkah anda terfikir untuk menjadi ‘petani ekspres’ tanpa perlu memiliki kemahiran tinggi dalam bercucuk tanam?
Setidak-tidaknya benih yang disemai menjadi dan mengeluarkan hasil seperti diharapkan.
Inilah yang dilakukan siswazah Universiti Putra Malaysia (UPM) ini, gaya persembahan produknya sangat mengujakan sesiapa saja terutama kepada mereka yang pertama kali melihatnya.
Ilhamnya membolehkan ramai penduduk bandar menjadi petani ekspres dengan mengusahakan ‘kebun kotak’.
Bunyinya macam tidak realistik, namun manual penanaman yang ditampilkan pada kotak berketinggian 30 sentimeter itu amat membantu.
Jika seorang penanam cendawan perlu melalui pelbagai prosedur tanaman, Pengarah Urusan EKO Agro Biotech Sdn Bhd, Boey Tze Zhou, mempermudahkan teorinya.
Anda tidak perlu memiliki rumah cendawan, memadai menyediakan ruang kecil di kediaman yang terhad.
Boey menghadiahkan sebuah kotak bercorak kayu kepada penulis dan berpandukan manual diberikan, penulis menunggu dengan sabar.
Tidak menghampakan, hari keempat penanaman, penulis menuai hasilnya malah cendawan tiram kelabu itu boleh dituai berkali-kali.
Lebih menarik, kit cendawan dibangunkan sesuai untuk pelajar sekolah kerana berkonsepkan pendidikan.
Pemegang Sarjana Muda Sains Pertanian, Fakulti Pertanian, UPM itu berkata ilham membangunkan kit cendawan ketika mengikuti latihan industri di Singapura.
“Konsep kit cendawan sudah ada di universiti dan saya mendapat idea dari situ,” katanya.
Katanya, dia memilih sebuah ladang cendawan dengan menggunakan konsep ‘indoor’ serta berhawa dingin.
“Saya lihat, kit cendawan ini ada dijual dan mudah dikendalikan dengan menggunakan beg kertas,” katanya.
Bagi tujuan pembelajaran katanya kit itu dijual kepada ibu bapa sekali gus menyediakan ruang interaksi bersama keluarga dan mempelajari ilmu mengenai kitar hidup cendawan.
Menurutnya, selepas majlis konvokesyen tamat, dia membina ladang kecil diusahakan di ladang udang milik abang kandungnya di Juru, Pulau Pinang.
“Permulaannya memang susah terutama dalam mendapatkan benih yang berkualiti.
“Dengan ilmu yang ada, saya membangunkan sebuah makmal mini untuk menghasilkan benih berkualiti,” katanya.
Dari situ, dia mencuba menanam pelbagai spesies cendawan berkualiti, antara tiram mutiara kelabu, ros merah jambu, emas (kuning), putih, abalone, telinga kera dan ling zhi.
Proses promosi dan pengedaran cendawan katanya dilakukan menerusi laman sosial Facebook dan laman web.
“Saya juga mendapat ruang eksklusif daripada UPM untuk menjual produk secara runcit di kedai pertanian.
“Malah, permintaan terhadap cendawan organik itu semakin meningkat di kalangan pengguna,” katanya.
Katanya cara penyediaan kit juga mudah iaitu potong bersilang pada bahagian bulatan
disediakan, disembur air dan diletak pada bahagian gelap di rumah untuk pembesaran.
Untuk memastikan pekebun MushGrow menanam cendawan itu, MushGrow menawarkan polisi penukaran jika kit cendawan MushGrow tidak pernah bercambah selepas 30 hari penanaman.
Kini, syarikat di Jalan Juru Estate, Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu mengeluarkan 600 kit cendawan setiap minggu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/35924#sthash.bi0UtXUj.dpuf