Isnin, Mac 11, 2013

Pengenalan kepada industri cendawan


..
Cendawan adalah sejenis organisma hidup yang telah divariasikan dalam industri asas tani sebagai bahan makanan dan perubatan seperti produk kesihatan, produk penjagaan diri dan makanan ringan.
....Cendawan juga boleh dikaitkan dalam industri bioteknologi kerana teknologi yang berkaitan dengan cendawan telah diusahakan untuk mendapatkan produk yang lebih bernilai, berkualiti atau mendatangkan kebaikan kepada pengguna.
..Cendawan turut diiktiraf sebagai herba yang berguna pada manusia. Pada masa dahulu, kebanyakannya tumbuh meliar dan dikutip oleh manusia sebagai makanan serta untuk tujuan perubatan. 
.
Kajian mendapati cendawan boleh mengurangkan kandungan gula didalam darah, menambah insulin di dalam darah, membunuh beberapa jenis virus yang membawa penyakit berjangkit dan turut berperanan sebagai agen mempertahankan badan dari serangan kanser.
....Secara umumnya, ia boleh digunakan secara segar seperti dimakan sebagai sayuran. Selain itu, pada masa sekarang sesetengah jenis cendawan telah dijadikan serbuk di dalam bentuk kapsul. Ini untuk memudahkan para pengguna memperolehi manfaat kesihatananya kerana cendawan yang segar agak terhad di dalam pasaran.
..
..Penanaman Cendawan Mempunyai Potensi Yang Baik Kerana:

  • Cendawan segar masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan tempatan
  • Pengeluaran cendawan perlu dipertingkatkan untuk mengurangkan pengimportan makanan negara
  • Peranan cendawan sebagai tanaman jangka pendek bukan sahaja dapat mengurangkan kadar import negara tetapi juga dapat memberikan pendapatan yang lumayan kepada petani / syarikat / usahawan terlibat
.
NOTA CG : Potensi penanaman cendawan amat besar untuk dikembangkan pada masa kini dan peluang untuk memperolehi pendapatan lumayan hasil daripada CENDAWAN tidak harus dilepaskan begitu sahaja. Ada pelbagai produk berasaskan cendawan boleh ditawarkan dan hanya dihadkan oleh daya imaginasi serta kreativiti anda sahaja. Segalanya terletak di tangan anda.

Sabtu, Mac 09, 2013

Kelkatu petanda cendawan busut


Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN 




PAGI itu suasana dingin dan hening menyeliputi Felda Gunung Besout 2, Sungkai, Perak. Tanah masih belum terang, embun pagi juga belum berhenti menitik.
Namun, di sebalik deretan pokok kelapa sawit yang disempadani parit-parit kecil, kelihatan susuk tubuh milik Mohd. Shaiful Isa, 28, sedang tekun mengutip cendawan busut.
Dengan bantuan cahaya dari motosikal miliknya, pantulan cahaya putih daripada cendawan memang jelas kelihatan.
“Dalam keadaan yang redup sebegini, kerja mengutip lebih mudah kerana pantulan warna cendawan senang dilihat berbanding pada waktu cerah.
“Kerja mengutip cendawan memang dilakukan pada awal pagi kerana ia perlu diasing-asingkan dan dibersihkan sebelum boleh dijual di pasar,” jelas Shaiful, anak peroka di Felda ini.
Selesai mengutip di tepi parit kecil, dia beralih pula ke satu kawasan busut yang hampir dilitupi dengan cendawan berkepala bulat tersebut.
Struktur tanah yang agak lembut di kawasan berkenaan memudahkan lagi kerja-kerja mencabut cendawan, sekali gus rentak tangannya semakin tangkas.
Kelkatu
“Kalau tumbuh di tanah lembut, cendawan boleh dicabut hingga ke akarnya. Begitu juga jika ia tumbuh di tanah berpasir.
“Jika tumbuh di tanah keras, batang cendawan yang panjang biasanya mudah patah semasa dicabut,” katanya yang mengutip cendawan liar hampir 10 busut sehari ketika musim cendawan tumbuh.
Cendawan busut merupakan cendawan boleh dimakan yang tumbuh meliar selalunya di ladang kelapa sawit dan kebun getah. Antara lokasi terkenal yang menjadi rumah kepada tumbuhan jenis kulat ini sekitar Perak dan Negeri Sembilan.
Musim yang cukup sinonim dengan cendawan busut di Felda Gunung Besout ialah pada setiap awal tahun bermula bulan Januari hingga awal Mac dan hujung tahun di antara bulan November hingga Disember.

KERJA pembersihan dilakukan segera bagi memastikan cendawan dapat dipasarkan pada hari yang sama ia dikutip.


Ia juga boleh tumbuh di luar musim namun hasilnya tidak sebanyak awal dan hujung tahun. Bagaimanapun, tarikh sebenar bila cendawan akan tumbuh, tiada siapa yang dapat mengetahui dengan tepat dan jelas.
“Kehadiran cendawan di sini memang bergantung pada hujan. Mungkin betul pepatah yang mengatakan seperti cendawan tumbuh selepas hujan.
“Namun, tidak semua hujan boleh menghasilkan cendawan. Kebiasaannya, cendawan muncul apabila hujan turun pada waktu malam dan keesokannya cuaca panas terik.
“Jika rutin cuaca seperti ini berulang selama tiga hari berturut-turut, kemungkinan besar cendawan akan tumbuh.
“Satu lagi petunjuk yang boleh dijadikan petanda ialah hujan yang mengundang kehadiran kelkatu.
“Jika banyak kelkatu, mungkin dalam masa tiga, empat hari lagi, cendawan akan tumbuh,” jelas Shaiful yang pernah mengutip dan menjual 120 kilogram (kg) cendawan busut sehari.
Jangka hayat cendawan yang hanya mampu bertahan selama empat hari sering memberikan keterujaan kepada para penduduk di Felda berkenaan untuk turun ke ladang dan mencari cendawan.
“Apabila sudah ada tanda-tanda cendawan tumbuh, saya akan meronda ke lokasi yang menjadi tempat kebiasaan cendawan busut tumbuh.
“Jika ada topi cendawan yang keluar dari tanah, kami akan tandakan kawasan tersebut dan datang semula esok pagi untuk mengutipnya,” ujar Shaiful.
Menurutnya lagi, hari tuaian terbaik ialah pada hari kedua. Jika cendawan dikutip pada hari pertama, ia masih terlalu kecil, jika hari ketiga pula, topi cendawan sudah besar dan hampir kembang.
Pada hari keempat pula, biasanya topi cendawan sudah mengembang.
“Jika dikutip pun, kami tidak menjualnya, cuma makan sendiri.
“Selalu juga kami terlepas musim cendawan kerana tidak ramai yang boleh menyedari kehadiran cendawan busut pada hari pertama, sedar-sedar ia sudah kembang,” kata Shaiful yang juga merupakan peraih cendawan di sekitar Felda tersebut.
Memiliki kepakaran mencari lokasi tumbuhnya cendawan busut, minatnya itu lahir selepas sering mengikut abang dan ayahnya mencari dan menjual cendawan sejak kecil lagi. Malah, bapanya, juga seorang peraih cendawan.
Abang Shaiful, Ahmad Razak Isa, turut menjadikan cendawan busut sebagai pendapatan sampingan yang lumayan.
“Jika musim lebat, saya mampu membeli lebih kurang satu tan cendawan busut daripada warga Felda. Hasilnya pula akan dijual di pasaran luar, biasanya di Ipoh dan Rawang.
Pantang dibasuh

SELEPAS dicabut, cendawan akan dibersihkan dan diasingkan mengikut gred sebelum dijual di pasar.


“Memandangkan ia tidak tahan lama, proses pembersihan dan pengasingan perlu dilakukan sejurus ia dicabut supaya ia dapat dijual pada hari yang sama,” katanya.
Tambahnya lagi, jika cendawan busut dijual hingga ke Rawang, maknanya musim cendawan di Besout benar-benar menjadi.
Menurut rakan Shaiful, Mohd. Roslan Salleh, 27, mereka mempunyai cara tersendiri untuk membersihkan cendawan busut.
“Jangan sekali-kali gunakan air untuk membersihkan cendawan melainkan jika sudah mahu dimasak. Cukup sekadar bersihkan tanah dan pasir yang melekat di cendawan. Membasuh dengan air akan menjadikannya cepat rosak dan buruk,” katanya.
Selepas proses pembersihan dijalankan, cendawan akan dikumpulkan mengikut gred berdasarkan hari ia dikutip.
“Biasanya kerja mengutip akan dilakukan pada awal pagi. Ia kemudiannya terus dibawa ke rumah untuk dibersihkan dan diasingkan mengikut gred.
“Kebanyakan cendawan tumbuh pada hari yang sama, tetapi ada juga cendawan yang lewat sehari dua.
“Cendawan yang dicabut pada hari kedua adalah cendawan terbaik kerana teksturnya yang masih sedikit keras dan kenyal.
“Harganya juga lebih tinggi dan dijual mengikut kg. Untuk gred bagus, ia akan dijual pada harga di bawah RM20 sekilogram.
“Untuk cendawan yang dikutip sudah memasuki hari ketiga atau keempat, biasanya ia akan dijual longgok, sekitar RM5 hingga RM8 selonggok,” katanya yang mengakui cukup seronok menjual cendawan jenis liar ini.
Menurut Roslan, memandangkan ia sukar ditemui dan tidak dapat diketahui bila ia akan tumbuh, jualan cendawan busut biasanya sangat laris.
“Mungkin sebab ia jarang ada, apabila kita buka gerai jualan, tidak sampai tiga jam, hasil jualan beratus kilogram pun dapat dihabiskan, apatah lagi jika cuma geng-geng kita yang menjual di situ.
“Kalau buka gerai di tepi jalan, memang orang akan berkerumun bila mengetahui kami menjual cendawan busut di situ,” katanya.
Cendawan yang menjadi kegemaran ramai ini sememangnya enak dijadikan juadah pembuka selera. Teksturnya yang tebal sudah tentu menghadirkan rasa puas tatkala mencicip batang ataupun topi cendawan liar ini.
Rasanya manis dan baunya juga harum. Bukan sekadar itu, keenakannya memang tidak dapat dinafikan malah sesuai dengan apa jua masakan sama ada goreng tepung, sup, tomyam, masak lemak kunyit mahupun dijadikan campuran dalam hidangan masakan panas seperti mi hailam.

Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0417&pub=kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2MqK1mWNN

Khamis, Mac 07, 2013

Usahawan bimbingan MARDI




Mohd. Hassan Wagiran (kanan) menunjukkan benih cendawan kepada Hashimah dan Ramizan Ramli.

KEDUA-DUANYA mempunyai cita cita tinggi bagi memajukan projek cendawan tiram kelabu sekali gus dapat meningkatkan pendapatan daripada segi pengeluaran hasil dan produk hiliran berasaskan cendawan yang halal.

''Potensi kedua-dua mereka amat besar dan amat menggalakkan untuk lebih maju,'' ujar Mohd. Hassan Wagiran yang juga Pembantu Penyelidik Kanan Pusat Promosi dan Pemindahan Teknologi MARDI.

Mohd. Hassan merupakan individu yang memberi tunjuk ajar kepada banyak usahawan cendawan tempatan bimbingan MARDI termasuk pasangan tersebut.

Bagaimanapun menurut Nor Hasyima, mereka membangunkan projek tersebut menerusi syarikat Modern Agro Resources bermula dengan usaha kecil-kecilan selepas melalui banyak pengalaman mencebur bidang peniagaan termasuk membuka kedai runcit.

''Saya mula dalam pertanian pada 2007 dengan taman cili fertigasi, bendi dan kacang di kawasan Agroteknologi Bukit Changgang, Selangor melibatkan 10,000 pokok manakala di Kuala Pilah pula saya tanam serai dan cili merah.

''Selepas mendapat tahu mengenai projek cendawan menerusi bacaan artikel berkenaan cendawan, saya cuba projek dan Encik Hassan(Wagiran) berkata kami ada potensi untuk berjaya ,"ujarnya ketika ditemui di lokasi projek di Jenderam Hulu baru-baru ini.

Dengan semangat yang kuat dan bertekad ingin mencuba, dia memulakan projek dengan menyewa tanah seluas 2.7 ekar secara pajak dan kerja pada 2010 di dengan 10,000 pokok.

Ketika itu dia menggunakan modal permulaan RM120,000 hasil simpanan wang selain meminjam daripada keluarga dan mereka mengusahakan tanaman cendawan tiram kelabu.

Bagi menjimatkan kos, Nor Hasyima menggunakan bumbung daripada bahan terbuang dan menggunakan besi buruk .

Dia bagaimanapun bertuah kerana mendapat tunjuk ajar daripada MARDI dan perlu mengharungi cabaran dan selepas melalui fasa ujian,

MARDI terus memberi khidmat nasihat termausk masalah jerami padi. Ini kerana katanya, model rumah cendawan yang dibina tidak begitu sesuai .

MARDI telah mengesyorkan supaya keluasan kawasan atau saiz rumah cendawan bagi 13,000 polibeg ialah 20 kaki kali 40 kaki .

Selain lima buah rumah cendawan yang menempatkan 120,000 polibeg , projek yang diusahakan Hashimah bersama suami juga mempunyai kemudahan lain termasuk bangsal pembungkusan, bilik suntikan dan tiga unit steamer untuk menghangatkan polibeg.

Selain itu, mereka juga mereka bentuk sendiri mesin untuk memampat bagi menjimatkan kos.

MARDI juga katanya, membantu membina makmal untuk menghasilkan biji benih cendawan

Dalam industri tanaman cendawan kata Norhashimah, hama menjadi masalah utama yang memasuki polibeg melalui penutup botol menyebabkan medium menjadi hitam.

Harga habuk kayu juga mahal sehingga mencecah RM400 satu lori berkapasiti tiga tan.

Dalam tempoh dua tahun ini, dia mampu mengutip hasil antara 60 dan 150 kilogram cendawan sehari yang dijual kepada peniaga pasar borong dan peraih pada harga anggaran RM9 sekilogram dan sasarannya ialah setengah tan cendawan sehari.

Syarikat tersebut juga menghasilkan produk hiliran berasaskan cendawan iaitu cendawan goreng dan sup sayur selain menawarkan kursus kepada mereka yang berminat menceburi bidang berkenaan.

"Saya juga berharap hotel dapat membantu mempromosi cendawan goreng sebagai makanan ringan kepada pelanggan mereka," ujarnya. - LAUPA JUNUS


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130304/ag_01/Usahawan-bimbingan-MARDI#ixzz2MqG6zBsg 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rabu, Mac 06, 2013

Modal permulaan projek cendawan



Modal Permulaan. Soalan yang paling kerap ditanya di Cendawan Global oleh ramai bakal pengusaha dan peminat cendawan dan hari ini saya ingin berkongsi maklumat tentang kos ataupun modal yang diperlukan.

..
Untuk first Starter. Paling sedap kalau ada RM15K.
..
  • Buat bangsal (20’ X 25’) dengan 5,000 beg muatan.= RM5,000
  • Beli beg cendawan matang 5,000 beg (RM1.10) = RM5,500
  • Modal pusingan dan lain2 perbelanjaan.= RM4,500
  • Jumlah Kos Keseluruhan.= RM15,000

  • Jumlah pendapatan 3 bulan (5Kx0.05kgx6xRM7) = RM10,500
..
Dalam hal ini, pengusaha dah lepas bayar balik modal bangsal dan modal beli beg cendawan. Jika dia beli lagi 5,000 beg, maka dia akan dapat untung RM4,000. Iaitu pendapatan RM10,500 - RM5,500 (Kos beli beg).
..
Pendapatan RM10,500 di perolehi jika dia menjual setinggi RM7 setiap kilogram. Jika dia dapat jual RM10 atau RM12 ke atas seperti di pasar malam atau pasar siang, maka jualan akan lebih tinggi. RM7 adalah harga minimum untuk borong. Jika kita survey di pasar malam, kita akan dapati harga di pasar malam ada yang mencecah RM13 hingga RM15 setiap kilo.
..
Cuba bayangkan jika pengusaha dapat jual dengan harga tersebut. Lagi satu, modal pusingan tu hanya untuk pelan kecemasan sahaja sebab kalau takde sebanyak RM4,500 pun takpe..sebab gunanya tu untuk bayar bil air api dan beli plastic bungkus cendawan je. 

Dan satu lagi yang penting, jangan gajikan orang sebab, kalau setakat 5,000 beg...mak ayah kita boleh jagakan...tak susah sangat pun. Untuk kecil-kecilan.
..
Saya cadangkan pengusaha boleh mula dengan 1,000 beg dahulu. Tak perlu buat bangsal. Just beli canopy sahaja dengan syarat, canopy tersebut diletakkan di bawah rimbunan pohon atau pokok yang merendang supaya canopy tersebut sejuk.
.
  • Beli 1 canopy (10’ X 10’) = RM300 – RM400
  • Beli 1,000 beg cendawan = RM1,100
  • Cash flow = RM1,000
  • Pendapatan 3 bulan (1Kx0.05kgx6xRM7) = RM2,100
.
Cara kiraan hasil = (Jumlah beg cendawan Xkeluaran setiap kali harvest X Berapa kali pengeluaran X Harga Jualan).

Maklumat ini saya perolehi daripada rakan saya, En. Zul dari Cendawan Puchong dan sekiranya berminat untuk mengetahui lebih lanjut, anda boleh mendaftar kursus yang beliau anjurkan seperti iklan kursus yang tertera.

Sekiranya tidak ada modal yang besar, saya cadangkan tingkatkan dahulu pengetahuan tentang proses menyediakan cendawan dengan melanggan Global Kit ataupun ebook cendawan.

Isnin, Mac 04, 2013

Tauke benih cendawan

Oleh Mohd Sabran Md Sani

PEMEGANG Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) ini tidak menyesal memilih kerjaya ‘luar bidang’ apabila menceburi sektor pertanian.

Tekadnya menceburi bidang pertanian dengan bermodalkan wang simpanan berjumlah RM20,000 itu membuahkan hasil lumayan apabila kini bergelar usahawan benih cendawan.

Biarpun pernah memegang jawatan besar selain bergelar guru, minatnya dalam bidang pertanian membulatkan impiannya untuk bergelar siswazah tani.

Memegang prinsip tidak mahu selamanya makan gaji, pilihan itu lebih menjanjikan kepuasan dan keseronokan mengutip hasil daripada keringat titik peluh sendiri. 

Saya dan Encik Rasul semasa kunjungan ke rumah cendawan beliau di Rembau.
 


Berstatus pembekal barangan cendawan sekitar 2007, Mohammad Rasul Alpi kemudian menceburi perniagaan penghasilan benih cendawan yang ketika itu dimonopoli usahawan bukan Melayu.

Pengurus Mentah Resources itu berkata, pembabitannya dalam perniagaan benih cendawan bermula daripada ajakan rakannya, Kapten Zainal, seorang juruterbang.

“Tanpa sebarang pengalaman, saya mempelajari selok-belok penghasilan benih cendawan menerusi buku dan Internet.


“Saya banyak membaca dan bertanya kepada mereka yang berpengalaman dalam bidang itu.


“Hasilnya, saya kini bergelar tauke benih cendawan,” katanya.


Menurutnya, jatuh bangun dalam perniagaan menjadi asam garam kepada sesiapa yang ingin bergelar usahawan.


“Ilmu melalui buku dan Internet belum memadai, jalan terbaik ialah berguru dengan mereka yang arif dalam bidang itu,” katanya.


Mohammad Rasul mendapatkan bantuan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berkaitan penghasilan benih cendawan.


“Sebelum mendapatkan khidmat MARDI, projek benih cendawan sudah berjalan, namun saya menghadapi beberapa masalah termasuk benih cendawan dihasilkan rosak.


“Dengan bantuan MARDI, mereka menyusun atur semua perkara berkaitan makmal penghasilan benih cendawan,” katanya.


Keprihatinan pegawai MARDI turun padang dan memantau pengurusan makmal, menampakkan kesan positif.


“Saya amat mengambil berat perkara itu kerana gagal atau berjaya pengusaha cendawan tiram kelabu bergantung kepada kualiti benih dihasilkan,” katanya.


Dia kini mampu membekalkan kira-kira 3,000 beg benih cendawan tiram kelabu ke seluruh negara.


Pemegang Ijazah Sarjana Undang-undang Harta Intelek Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi itu turut berkongsi pengalaman penghasilan benih cendawan di makmalnya di Taman Pinggiran Senawang, Negeri Sembilan.


“Saya menggunakan biji gandum yang direndam dalam tempoh sehari. Ia dikeringkan sebelum ditimbang dalam sukatan 300 gram sebelum dibungkus bersama penutup dan beg plastik.


“Beg benih cendawan akan dimasukkan ke bilik suntikan bagi tujuan penyediaan tisu cendawan,” katanya.


Menurutnya persekitaran yang bersih diperlukan dalam makmal termasuk proses menyahkuman peralatan menggunakan api alat penunu bunsen dan semburan pembasmi kuman.


Layari laman web, www.kedaipertanian.my atau mentahresources@yahoo.com untuk maklumat lanjut.

sumber: Harian Metro 
a> Related Posts with Thumbnails