Jumaat, Ogos 01, 2008

Cendawan Dapat Sambutan

Berita Harian 16/10/07 Edisi Timur:
..
Oleh Wan Faizal Ismayatim
..
Pasangan muda di Kampung Rahmat gigih usaha tanaman sejak tahun lalu turut pelbagaikan produk berasaskan kulat.
..
KUALA KRAI: Suatu ketika dulu, perusahaan tanaman cendawan hanya dijalankan oleh masyarakat Cina yang menggemari tumbuhan ringkas tanpa akar dalam hidangan mereka. Namun, perubahan masa dan selera rakyat negara ini menyaksikan permintaan cendawan kini semakin meluas meliputi semua lapisan masyarakat termasuk penduduk Melayu di luar bandar.
..
Meskipun fizikalnya ringkas, cendawan mempunyai keistimewaannya tersendiri kerana spesies kulat ini dikatakan mampu mengurangkan kandungan gula dan menambah insulin dalam darah. Selain itu, ia juga dikatakan mampu membunuh beberapa virus pembawa penyakit berjangkit selain berperanan sebagai ejen mempertahankan badandari serangan barah.
..
Bagaimanapun, tidak semua cendawan boleh dimakan kerana sebahagiannya mempunyai racun. Antara spesies digemari masyarakat negara ini ialah Cendawan Tiram dan Telinga Kera (Auricularia Polytricha). Cendawan boleh digunakan secara segar seperti dimakan sebagai sayur. Malah, masyarakat negara ini sudah biasa dengan masakan berasaskan cendawan seperti sup cendawan dan nasi goreng cendawan.
..
Menyedari permintaan cendawan meliputi semua lapisan masyarakat, sepasang suami isteri dari jajahan ini nekad mengusahakan tanaman cendawan bagi menyara kehidupan. Pasangan suami isteri yang berkelulusan kejuruteraan dari Universiti Kanazawa, Jepun, Rozain Ismail, 29 dan isterinya, Zariah Ibrahim, 29, sanggup meninggalkan jawatan di kilang yang menawarkan gaji lumayan semata-mata menceburi perusahaan cendawan.
..
..
Menerusi syarikatnya, Rozeria Enterprise, yang beroperasi di Kampung Rahmat, Kuala Krai, sejak lebih setahun lalu, mereka bukan setakat memasarkan cendawan segar, sebaliknya mempelbagaikan produk berasaskan tumbuhan itu.
..
Inovasi mereka terhadap cendawan membawa kepada penghasilan produk sejukbeku berasaskan cendawan dalam bentuk bebola nugget, popia berkrim dan tempura. Walaupun produk sejuk beku cendawan ini masih baru di negara ini, potensi memajukannya cukup besar dan mampu memberi pulangan lumayan jika diusahakan secara komersial.
...
Rozain berkata, idea menghasilkan nugget, popia krim dan tempura cendawan bermula ketika beliau menuntut di Jepun apabila melihat kegilaan masyarakat negara matahari terbit itu menikmati makanan berasaskan cendawan.
..
"Mengambil pengalaman itu, saya dan isteri menghasilkan produk sejukbeku cendawan dan kini mendapat sambutan menggalakkan apabila dipasarkan di sekitar Kuala Krai dan beberapa kawasan lain di Kelantan."
..
"Nugget cendawan adalah ciptaan kami sendiri dengan campuran kentang dan daging, manakala popia krim cendawan adalah penghasilan popia segera yang berintikan krim dan cendawan.
..
"Tempura pula adalah cendawan celupan tepung yang sesuai dijadikan hidangan petang dan rasanya enak seperti isi udang," kata bapa kepada tiga anak yang masih belum bersekolah itu. Selain mengusahakan produk sejuk beku cendawan, pasangan usahawan mudaitu turut mengusahakan tanaman cendawan tiram dan telinga kera secara komersial dalam rumah cendawan di kawasan rumah mereka.
..
Dengan modal permulaan RM15,000, mereka mengusahakan lebih 10,000 beg cendawan dalam bangsal berdinding pelepah buluh dan beratap rumbia sejak Mac tahun lalu. "Walaupun masih baru, kami menempuhnya sebagai satu cabaran apatah lagi menyahut seruan kerajaan yang mahu melihat golongan belia bekerja sendiri sebagai usahawan tanpa terlalu bergantung pada kerja makan gaji."
..
Berikutan permintaan dan hasrat memperluaskan pemasaran, kami merancang pembinaan sebuah lagi rumah cendawan dengan kapasiti sama bagi meningkatpengeluaran dalam tempoh terdekat," katanya.
..
Rozain berkata, usaha menanam cendawan tidaklah serumit seperti disangka, malah menyeronokkan kerana hasilnya boleh dikutip secara berterusan selama tiga bulan.
..
Katanya, bahan asas digunakan habuk kayu, dedak padi serta kapur pertanian yang digaul dengan air sehingga basah untuk menghasilkan medium cendawan. Seterusnya, medium cendawan itu dipadatkan dalam beg plastik dan ditutupsebelum menjalani proses kukus atau steril bagi membunuh organisma dankuman yang ada dalam medium cendawan.
..
"Proses seterusnya ialah menjalankan kerja penyuntikan benih sebelum disusun atas rak dalam rumah cendawan yang memerlukan cahaya lemah dan sekata bagi mengelakkan pertumbuhan terbantut jika terkena cahaya berlebihan. "Selepas tiga bulan, spora akan terbentuk dalam beg cendawan dan mengembang memenuhi beg. Penutup beg akan dibuka bagi membolehkan cendawan tumbuh sepenuhnya," katanya yang dibantu pekerja sambilan terdiri remaja di sekitar kampung.
..
Beliau berkata, sejambak cendawan boleh mencecah 80 gram setiap kali dituai dan setiap beg mengeluarkan hasil berulang kali selama tiga bulan sebelum hasilnya berkurangan dan perlu ditukar dengan medium baru.
...
Nota CG: Saya baru je jumpa artikel ni, tapi dikira menarik untuk dijadikan rujukan walaupun tidak disertakan gambar yang sebenar. Satu lagi usaha yang bijak dalam memepelbagaikan produk berasaskan cendawan. Yang penting inovasi dan usaha yang bersungguh-sungguh bagi meningkatkan perkembangan bisnes yang dijalankan.


Tiada ulasan:

a> Related Posts with Thumbnails