Khamis, Mei 12, 2011

Benih perintis cendawan berkualiti

Sering berdepan dengan masalah benih yang kurang bermutu tinggi untuk perusahaan tanaman cendawannya, Pengarah Urusan Mofamag Resources, Zulkifli Arif Mohd Nafiah sanggup 'menggali' lagi ilmu berkenaan penanaman spesies berkenaan sehingga beliau berjaya menghasilkan benih berkualiti tinggi serta tahan lasak terhadap cuaca yang ekstrem, sekali gus dapat membantu pengusaha lain bagi menghasilkan cendawan terbaik.

Pada pembentangan belanjawan 2011 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Oktober tahun lalu, sejumlah RM6 billion diperuntukkan untuk sektor pertanian tahun depan dengan transformasi sektor itu akan dipergiatkan lagi bermula dari peringkat tanaman sehingga pemasaran hasil pertanian.

Daripada jumlah tersebut, sejumlah RM149 juta peruntukkan diberikan untuk membangunkan industri tanaman makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, perladangan organik, herba, rumpai laut dan sarang burung walit.

Pengarah Urusan Mofamag Resorces, Zulkifli Arif Mohd Nafiah, tidak melepaskan peluang untuk memajukan perusahaan cendawannya selaras dengan peruntukan tersebut.

Perusahaan cendawannya yang berusia hampir tujuh tahun kini melangkah setapak lagi apabila syarikatnya bakal bekerjasama dengan jabatan kerajaan dan universiti tempatan bagi menghasilkan benih cendawan berkualiti.

"Dalam perusahaan cendawan ini, benih merupakan faktor terpenting untuk mwnghasilkan cendawan yang berkualiti tinggi, tahan lasak dengan perubahan cuaca ekstrem," katanya kepada InfoAgro ketika ditemui di Puchong, Rabu lalu.

Menurutnya, walaupun kerja memproses bongkah dilakukan sebaik mungkin, ia tidak akan menghasilkan cendawan yang berkualiti sekiranya benih digunakan adalah bergred rendah.

"Saya berharap, daripada kerjasama ketiga-tiga pihak, penghasilan benih daripada kultur tisu dapat dilakukan dengan bantuan teknologi, peralatan, makmal dan pengetahuan yang diberikan,"katanya.

Beliau berkata, sepanjang tujuh tahun terlibat dalam tanaman cendawan, benih menjadi penyumbang peratusan yang tinggi kepada kegagalan untuk menghasilkan tuaian yang baik.

"Pada masa ini, kami (pengusaha cendawan) sangat bergantung kepada benih yang diimport dari Thailand, Indonesia, selain hanya sebilangan kecil pengusaha Cina tempatan yang turut menawarkannya,"katanya.

Zulkifli berkata, beliau bersedia menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berminat bagi membantu memajukan industri tanaman cendawan tersebut.

PASARAN, POTENSI CENDAWAN

"Permintaan terhadap cendawan pada masa ini begitu tinggi sehingga melebihi penawaran sedia ada dan negara kita terpaksa mengimport untuk memenuhinya,"katanya.

Beliau berkata, mengikut sejarah permintaan terhadap cendawan tidak pernah menurun malah sentiasa meningkat.

"Di negara ini, cendawan mula ditanam untuk komersil sejak sebelum merdeka lagi dan sehingga kini, perusahaan serta perniagaan ini berkembang dengan baik, ada sahaja mereka yang berminat untuk mengusahakannya,"katanya.

Oleh sebab cendawan menjadi makanan kegemaran dan pilihan rakyat, Zulkifli berkata, Najib tidak ketinggalan memberi peruntukan kepada sektor pertanian khasnya industri tanaman makanan seperti cendawan.

"Apa yang boleh saya kata, pasarannya amat luas disokong dengan permintaan yang tinggi. Mofamag Resources yang menggunakan jenama Cendawan Puchong juga tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan,"katanya.

Menurutnya, harga pasaran semasa adalah sekitar RM10 dan RM11 sekilogram namun ia mampu mencecah sehingga RM15 sekilogram bergantung kepada lokasi.
"Biasanya kawasan perumahan elit seperti Damansara, Bandar Baru Bangi, harganya mencecah RM15 sekilogram.

"Terdapat lebih 30 pengusaha berada di bawah Mofamag resources yang aktif mengusahakan cendawan komersil, sekali gus membantu meningkatkan pengeluaran tanaman ini,"katanya.

PUSAT SEHENTI CENDAWAN

Bagi mengembangkan perusahaan dan perniagaan cendawannya, Zulkifli merancang untuk membina pusat sehenti cendawan di Meru, Klang bagi menambahkan pusat sehenti sedia ada di Puchong.

"Ia akan menjadi hab kepada peruncit, pemborong, peraih, pengusaha dan individu untuk mendapatkan material berasaskan cendawan seperti benih, bongkah, cendawan, mesin malah khidmat nasihat,"katanya.

Menurutnya, pada masa sama, Mofamag Resources merancang untuk mewujudkan pusat sehenti di negeri-negeri lain apabila Cendawan Puchong berjaya menembusi pasaran kelak.

Zulkifli menyifatkan cendawan merupakan tanaman yang istimewa kerana ia mempunyai kelebihan tersendiri berbanding tanaman lain.

"Tanaman cendawan tidak memerlukan ruang yang luas, malah penghuni rumah pangsapuri boleh menanamnya di ruang sempit dengan syarat mempunyai kelembapan tinggi seperti bilik air dan bawah singki,"katanya.

Menurutnya, tanaman ini tidak memerlukan kos tinggi kerana harga pasaran bagi bongkah cendawan matang hanya RM1.30 sebongkah dan boleh diguna sehingga enam kali pengeluaran.

"Setiap pengeluaran, hasilnya sehingga 50 gram dan jangka hayatnya adalah tiga bulan,"katanya.

Beliau berkata, selain harga jualan dan permintaan yang meningkat, cendawan juga mempunyai nilai perubatan dan kesihatan untuk tubuh badan manusia.

"Cendawan mampu mengawal dan merendahkan tekanan darah, kandungan gula dan lipid serta anti thrombotik.

"Ia juga membantu meningkatkan sistem imun untuk melawan jangkitan virus dan bakteria serta pelbagai lagi khasiat,"katanya.

BERMULA DENGAN SARANAN RAKAN

Mengimbau kembali sejarah pembabitannya dalam 'dunia cendawan', Zulkifli berterima kasih kepada rakannya yang memperkenalkan cendawan kepadanya pada 2005.

"Beliau yang memberi idea kepada saya untuk menceburi industri tanaman cendawan dan mengikuti kursus cendawan di Kulai, Johor.

"Pada waktu itu, saya masih bekerja sebagai Pegawai Kanan Jabatan Pemantauan dan Perancangan sebuah syarikat di Bangi dan melakukan tanaman ini secara sambilan bermodalkan RM 15,000,'katanya.

Menurutnya, selepas perusahaanya menjadi, Zulkifli belajar cara memproses bongkah dengan pengusaha Cina tempatan.

"Bukan itu sahaja, komited dengan tanaman ini, saya turut menimba ilmu sehingga ke Thailand untuk memahami selok-belok cendawan.

Melihat kepada potensinya, beliau melepaskan jawatan di syarikat dengan gaji tinggi untuk mengusahakannya secara sepenuh masa pada Mei 2009.

"Alhamdulillah, setakat ini, saya mampu mengembangkan perusahaan tanaman cendawan dengan membuat perniagaan yang berkaitan cendawan seperti membekalkan mesin, membuka kedai runcit dan sebagainya,"katanya.

sumber: Sinar Harian
a> Related Posts with Thumbnails