Jumaat, Ogos 12, 2011

Modal kecil, untung besar

Oleh NORZAINURA ABDUL MAJID
utusanjohor@utusan.com.my



Salleh Mahmud memeriksa cendawan yang diusahakannya di Kampung Sungai Bagan Laut Rengit, Batu Pahat, baru-baru ini.


BATU PAHAT 11 Ogos – Mahu keluar daripada belenggu kemiskinan menjadikan dia seorang yang tabah dan rajin berusaha untuk memajukan diri dan memperbaiki taraf hidup keluarga.

Salleh Mahmud, 54, dari Kampung Sungai Bagan Laut Rengit, mula berusaha menanam cendawan kerana minat, tambahan pula ia tidak memerlukan modal besar selain mendapat permintaan tinggi.

Bermula dengan modal RM500, dia mula menanam cendawan di hadapan rumahnya tiga tahun lalu dengan mendirikan sebuah bangsal kecil, tetapi usaha itu gagal menghasilkan cendawan yang baik kerana tidak mempunyai kemahiran dan pengetahuan mengenai kaedah penanamannya.

Namun, kegagalan itu tidak mematahkan semangatnya, malah kerugian dialami dijadikan pendorong untuk terus berusaha menjadi pengusaha cendawan yang berjaya.

“Saya terlalu minat dengan penanaman cendawan. Jadi, saya tak pernah rasa kecewa dan putus asa dan terus berusaha supaya tidak gagal lagi,” katanya dengan penuh semangat.

Dia kemudiannya disyorkan oleh seorang kenalan untuk mengikuti kursus penanaman cendawan di bawah seliaan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Bermula dari situ, dia mula mendapat cara yang betul untuk menanam cendawan dan susun atur tanaman itu kemudiannya diusahakan dengan penuh dedikasi.

Kini Salleh mampu tersenyum dan berasa bangga dengan hasil usahanya selama ini membuahkan hasil serta mendapat pulangan baik apabila cendawan keluarannya mendapat permintaan memberangsangkan.

Dibantu dua anaknya, Nur Muhammad, 27, dan Mohd. Nasiruddin, 23, kini dia berjaya menghasilkan cendawan tiram berkualiti dan mendapat pasaran yang baik di negeri ini.

Perusahaan tersebut turut mendapat bantuan daripada MARDI yang sentiasa memantau projek tanaman cendawannya di bawah program Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan kini antara pembekal cendawan terbesar di negeri ini.

Salleh memberitahu, kursus seliaan MARDI menjadikannya seorang penanam cendawan yang berjaya dan menerima pelbagai bantuan.

Berkat usaha gigihnya, dia kini mempunyai sebuah bangsal cendawan yang memuatkan 12,000 beg cendawan berukuran 20 x 40 kaki, makmal benih, bilik suntik dan ruang operasi untuk membuat bongkah cendawan dan ruang pengeluaran.

“Saya berhasrat menambah tiga lagi rumah cendawan bagi menambah pengeluaran kerana pada masa ini hasil yang ada tidak dapat memenuhi permintaan,” katanya.

Setelah setahun serius mengusahakan tanaman cendawan, dia mampu mengeluarkan antara 10 hingga 15 kilogram cendawan sehari untuk dipasarkan di seluruh negeri dan kebanyakan cendawannya telah ditempah lebih awal oleh peraih.

sumber: Utusan Malaysia


Tiada ulasan:

a> Related Posts with Thumbnails