Inovasi medium cendawan
Ahmad Tajudin (tengah) bersama Zulkifli (kanan) dan PEngusaha ladang uji
kaji kompos SMC, Steven di Klang.
Inovasi medium cendawan
$entry.content.caption.value
Tanaman cendawan butang merupakan satu perusahaan yang menguntungkan kerana ia mendapat permintaan menggalakkan di pasaran, namun memerlukan kos pengeluaran tinggi.

Sayuran unik ini digemari rakyat seluruh negara kerana ia kaya dengan kandungan nutrien pemakanan dan sesuai dimasak dalam apa-apa sajian makanan.

Selain dijadikan sayuran, medium daripada tanaman cendawan butang (spent mushroom compost/SMC) juga berpotensi untuk dijadikan kompos organik bagi tanaman.

Kompos ini dilihat dapat membantu golongan petani dalam meningkatkan hasil tanaman kerana ia mempunyai kandungan aktif dan mampu menyuburkan mana-mana tumbuhan.

Cendawan butang adalah jenis kulat yang paling popular dan mempunyai harga tinggi di pasaran kerana cara penanamannya agak rumit dan memerlukan sumber nutrien berkualiti.

Selain dijadikan sayuran, produk sampingan yang dikitar semula iaitu medium daripada tanaman cendawan (SMC) amat berguna dalam menghasilkan kompos organik untuk tanaman lain.

Menyedari potensi itu, syarikat pengeluar cendawan butang Champ Fungi Sdn Bhd (Champ Fungi) komited memperkenalkan produk kompos organik daripada SMC khusus untuk membantu golongan petani kecil dan petani komersial meningkatkan pengeluaran hasil tanaman.

Pengurus Besarnya, Ahmad Tajudin Kasman berkata, kompos organik daripada SMC amat berkhasiat dalam tumbesaran tanaman dan ia berfungsi untuk menambahkan kesuburan tanah, memperbaiki struktur dan sistem pengudaraan tanah.

Menurutnya, SMC terdiri daripada tiga kandungan sumber utama komposisi organik iaitu gambut fosil, protein soya, dan jerami gandum di mana campuran ini menyumbang kepada keupayaan kompos dalam menyuburkan semua jenis tanaman.

“Sebagai contoh, gambut fosil mampu membantu tanah daripada kehilangan nutrien akibat dibawa oleh air ketika hujan atau menyiram dengan meningkatkan kadar pertukaran kation iaitu keupayaan tanah menyimpan nutrien,” katanya pada InfoAgro.

Beliau berkata, idea untuk menghasilkan kompos organik ini timbul apabila beliau menyedari bahawa SMC mampu memberi sokongan kepada tanaman lain.

Menurutnya, beliau menjadikan Belanda sebagai sumber rujukan dalam penghasilan kompos ini, di mana negara kincir angin itu amat terkenal dalam memaksimumkan hasil perusahaan cendawan.

“Produk ini dikategorikan sebagai produk import kerana segala teknologi yang digunakan dalam penghasilan SMC dan kompos organik adalah berasal dari sana,” katanya.

Apa yang menarik, Champ Fungi merupakan pelopor dalam bidang pemprosesan kompos organik berasaskan medium tanaman cendawan butang di negara ini.


Kompos terlalu aktif

Pengurus Pemasaran bagi produk kompos organik, Syed Zulkifli Syed Abdullah berkata, keistimewaan kompos ini adalah ia dirawat dengan pancuran stim atau wap air mengikut suhu dan masa tertentu bagi memastikan tiada lebihan benih cendawan sekali gus mengekalkan kualiti kompos.

Menurutnya, kompos ini juga bebas daripada daripada unsur bakteria, parasit atau patogen yang menjadi perosak kepada tanaman sekali gus menggalakkan pembiakan bakteria baik yang boleh mengembalikan keseimbangan struktur tanah.

“Hasil daripada kitaran biologi semula jadi ini maka SMC boleh dijadikan kompos organik dan digunakan dalam penanaman tumbuhan berpasu dan tumbuhan berbatas,” katanya.

Kompos organik ini amat sesuai diaplikasikan sebagai tambahan kepada tanah dan pengganti baja kimia serta digunakan sebagai lapisan atas tanah tanaman.

Langkah penggunaan bagi kompos organik ini adalah terpulang kepada cara tanaman petani sendiri kerana apa yang penting adalah ia perlu disesuaikan dengan tanaman kerana kompos ini terlalu aktif.

Kesesuaian campuran antara tanah dan kompos dalam nisbah 1:5 atau 2.5:5 adalah yang terbaik untuk menghasilkan tanaman berkualiti, hasil banyak serta mampu mengawal kestabilan tanah untuk musim tanaman kerap.

 “Namun saya perlu ingatkan bahawa kompos ini bukan bertujuan mempercepatkan hasil tanaman, sebaliknya untuk menggalakkan hasil secara semula jadi, sihat, segar serta boleh dikawal kualiti hasil pengeluaran,” katanya.

Untuk membuktikan keberkesanan kompos ini, Ahmad Tajudin membuka dua buah ladang bagi menjalankan penyelidikan selama satu tahun dengan menanam beberapa jenis sayur seperti bendi, lada, tomato serta tanaman herba.

“Apa yang membanggakan, kompos organik ini amat membantu dalam meningkatkan hasil tanaman berkualiti. Sebagai contoh, saya boleh menanam sayur komersial seperti basil dan lemon basil meski pun di kawasan tanah rendah,” katanya.


Produk menjelang bulan depan

Ketika ditanya status produk kompos organik itu, Syed Zulkifli berkata, pihaknya kini sudah bersiap sedia untuk memasarkan produk itu secara komersial menjelang bulan depan.

Menurutnya, mereka sedang menjalankan proses pembungkusan dan memulakan jaringan pemasaran di seluruh negara.

“Produk kompos organik ini dijangka dipasarkan secara runcit dan borong. Oleh itu, kami amat mengalu-alukan kepada mereka yang berminat untuk menjadi pengedar atau pemborong,” katanya.

Beliau yakin bahawa syarikatnya mampu untuk menghasilkan 1,000 tan metrik kompos organik ini dalam tempoh satu bulan untuk waktu permulaan.

Produk kompos yang belum mempunyai jenama ini akan didatangkan dalam bungkusan 25 kilogram sahaja.

Petani amat digalakkan menggunakan kompos organik ini kerana ia menjimatkan kos tanaman kerana boleh digunakan berulang kali selagi tidak bercampur dengan medium lain.

Selain itu, ia menjimatkan kos pembelian kerana produk ini menawarkan harga 30 peratus lebih murah berbanding harga kompos dan baja di pasaran, di tambah kesesuaiannya untuk tanaman dalam pasu dan tumbuhan tanah pamah serta tinggi.

Ahmad Tajudin pula berkata, penghasilan produk terbaru Champ Fungi ini diharap dapat menggalakkan petani menggunakan baja organik, sekali gus menyuburkan industri organik negara.

Menurutnya, petani perlu menggunakan kompos organik secara berterusan dalam jangka masa panjang untuk menghasilkan produk tani yang bebas daripada unsur kimia, lebih segar, semula jadi, selamat dan berkualiti.

“Saya menaruh keyakinan tinggi, produk kompos organik ini mampu membantu petani dalam meningkatkan hasil tanaman dan menjana keuntungan pada masa akan datang,” katanya. -Sinar Harian