Rabu, Februari 20, 2013

Cendawan pelik berwarna emas ditemui


Nik Azman Abdul Ghani menunjukkan spesies cendawan berwarna keemasan yang ditemuinya di Kampung Permatang Buluh, Sidam Kiri, Padang Serai, Kedah, kelmarin.

PADANG SERAI 31 Jan. - Seorang pencari madu lebah di Kampung Permatang Buluh, Sidam Kiri dekat sini, terperanjat apabila menemui spesies cendawan yang didakwa pelik kerana bersaiz besar dan berwarna keemasan.

Nik Azman Abdul Ghani, 31, mendakwa, dia menemui cendawan yang dianggap unik Sabtu lalu ketika sedang mencari buluh di Bukit Tok Medan bersebelahan kampungnya.

“Cendawan ini berbentuk pelik selain warnanya keemasan. Saya temui dua tompok cendawan dengan jarak antara 2.5 meter antara satu sama lain.

“Setiap tompok cendawan ini mengandungi antara 10 hingga 12 jejari dengan sebahagian besar berwarna emas. Baunya pula seperti kulat biasa," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.

Nik Azman berkata, pada mulanya dia tidak berani mencabut cendawan itu kerana dikhuatiri berbisa.

Namun katanya, dia berubah fikiran dan mencabut cendawan itu sebelum merendamkannya bagi memastikan cendawan tersebut segar.

“Selepas pulang ke rumah, saya bertanyakan kepada jiran dan juga orang tua-tua. Mereka beritahu cendawan seperti itu tidak pernah ditemui sebelum ini," katanya.

Nik Azman turut mendakwa, cendawan yang disimpan tersebut kini mengembang dan masih berada dalam keadaan segar meskipun telah ditemui hampir seminggu lalu.

Katanya, dia mengalu-alukan orang ramai atau pakar yang mempunyai pengetahuan tentang cendawan untuk membuat kajian saintifik dan menghubunginya             012-4351484      .

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130201/dn_23/Cendawan-pelik-berwarna-emas-ditemui#ixzz2LPzFjxcf 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

a> Related Posts with Thumbnails