Modal sendiri projek cendawan
Nor Azimi meraih kejayaan hasil projek penanaman cendawan tiram kelabu yang diusahakan dengan modal sendiri.
TASEK PAUH - Pendapatan daripada perniagaan yang dijalankan di pasar-pasar malam suatu ketika dahulu di kumpul sehingga dia mampu mengusahakan projek dan muncul sebagai antara usahawan cendawan tiram kelabu paling berjaya di negeri ini.
Wang yang di kumpul sedikit demi sedikit akhirnya membolehkan dia mewujudkan pusat pembenihan cendawan tiram kelabu yang semakin tinggi permintaannya.

Usaha yang dilakukan Nor Azimi Azwa Nordin, 29, sejak tahun 2010 itu menampakkan kejayaan memberangsangkan apabila dia dijadikan sebagai ikon kepada pengusaha baru.

Walaupun tidak mempunyai rekod akademik yang baik, Nor Azimi membuktikan kepada masyarakat bahawa  kejayaan pasti menjadi milik mereka yang gigih berusaha

‘Segalanya bermula apabila saya dipelawa mengikuti kursus penanaman cendawan anjuran Jabatan Pertanian di Lundang, Kota Bharu, saya didedahkan dengan ilmu khusus dalam projek tanaman cendawan lalu saya mempraktikkannya.

“Saya tidak pasti berapa jumlah modal yang saya keluarkan untuk menyediakan pusat penanaman cendawan yang lengkap dengan bilik suntikan benih, bilik pengukusan, bilik pemeraman, bilik penyejukan dan bilik hasil,” katanya.

Bagi memastikan tanaman tersebut subur dan bermutu, Nor Azimi berkata, dia mengguna pakai kaedah yang lebih sistematik di samping pengendalian dilakukan dengan cukup teliti.

Katanya, habuk kayu dalam beg media dikukus selama 14 jam bagi memastikan ia berada dalam keadaan sesuai untuk pertumbuhan cendawan.

“Selepas memasukkan benih, ia melalui proses pemeraman selama 40 hari sebelum diletakkan dalam bilik hasil yang terkawal suhunya,” katanya.

Katanya, dia akan berusaha menambah pusat pengeluaran bagi memastikan hasil dikeluarkan memenuhi pasaran.

“Cendawan ini dijadikan menu istimewa di restoran berstatus lima bintang dan hotel-hotel, permintaannya sentiasa tinggi sehingga memaksa saya meningkatkan hasil dari semasa ke semasa,” katanya.


 Nota Cendawan Global: Bestnya melihat kejayaan rakan-rakan yang berjaya dalam bisnes tanaman cendawan. :)