Isnin, Januari 05, 2015
2,000 beg cendawan hanyut
KUALA TERENGGANU – Seorang pengusaha cendawan terpaksa menanggung kerugian lebih RM10,000 apabila kira-kira 2,000 beg cendawan tenggelam dan dihanyutkan air deras, beberapa hari lalu.
.
Pemilik Desa Spora Enterprise, Mohd Lutfi Mohd Arshad, 32, berkata, sepanjang tujuh tahun bertapak di Kampung Paloh Makam Lama, itu adalah kejadian pertama yang menyebabkan dia mengalami kerugian apabila cendawannya ditenggelami air.
.
Ceritanya pada hari kejadian, lebih kurang seminggu lalu, ia berlaku pada sebelah malam dan keadaan air deras menyebabkan Lutfi tidak sempat menyelamatkan kebanyakan bahan benih termasuk cendawan yang sedang dalam proses matang.
.
“Masa malam kejadian saya hanya sempat angkat peti dan mesin-mesin yang ada untuk mengelak daripada ia rosak dan tidak sempat menyelamatkan cendawan serta barang-barang lain kerana air datang secara tiba-tiba dan agak deras.
.
“Biasanya setiap kali musim tengkujuh, cendawan akan diletakkan di tempat yang lebih tinggi, tetapi tidak sangka pula tahun ini tenggelam. Sebelum ini air tidak pernah mencecah sehingga kena (tenggelam) cendawan,” katanya kepada Sinar Harian.
.
.
Pertama kali berlaku
.
Kejadian pertama kali berlaku sejak tujuh tahun lalu itu diluar jangkaannya kerana sebelum ini walaupun musim tengkujuh dan banjir teruk, kawasan berkenaan selamat dan tidak mengalami sebarang kerugian.
.
Kedudukan kawasan terbabit yang kurang daripada 100 meter dari Sungai Terengganu menyebabkan keadaan air bertakung masih lagi berlaku sehingga kini, malah setiap hari air akan mula naik mendadak terutama ketika waktu malam.
.
“Air naik malam sahaja, kalau siang ia akan surut semula tapi masih ada air melimpah ke kawasan ini menyebabkan kami tidak dapat melakukan kerja-kerja pembenihan,” katanya.
.
Bagaimanapun Lutfi berkata, permintaan terhadap cendawan masih tinggi biarpun musim hujan kerana dipercayai sayur-sayuran lain tidak dapat masuk ke dalam pasaran negeri Terengganu ekoran kebanyakan negeri pengeluar terjejas banjir.
.
“Alhamdulillah walaupun banjir dan banyak cendawan rosak, kami masih dapat memasarkan cendawan lebih kurang 60 kilogram sehari kepada pasaraya besar di negeri ini termasuk Sabasun dan Mydin,” katanya.
sumber: Sinar Harian
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan