Ahad, Mac 31, 2013

Tauke cendawan


Kuala Pilah: Di bawah Skim Usahawan Komersial Siswazah (SUTKS), dua sahabat mengikuti kursus projek penanaman cendawan selama tiga bulan. Selepas tamat kursus, mereka sepakat memanfaatkan ilmu dipelajari dengan membuka bangsal cendawan.
Roslina Rais, 38, dan rakan kongsi, Nurhaida Sahera Abdul Malek, 31, memulakan projek tanaman cendawan dengan modal berbayar RM250,000 di Kampung Ibol, Tanjung Ipoh, di sini, pada 2006.
Roslina, lulusan Ijazah Teknologi Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM), manakala Nurhaida, graduan jurusan Matematik Industri Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menubuhkan Arra Mushroom pada Mei 2006.
Mereka bermula dengan satu bangsal menampung 3,000 polibeg cendawan untuk melihat potensi tanaman itu. Apabila mendapati pasaran bagi cendawan menggalakkan, dua sahabat itu mendirikan pula bangsal memproses serta menambah empat lagi bangsal cendawan. Satu lagi bangsal cendawan didirikan bagi menguruskan projek tanaman cendawan di bawah Projek E-Kasih.
“Ketika mula mengusahakan projek tanaman cendawan, kami bermula dengan kosong dan perlu banyak belajar. Apabila timbul masalah, kami mendapatkan khidmat nasihat daripada pengusaha cendawan lain,” kata Roslina. 
Menurutnya, ketika ingin membuka projek berkenaan, lima rakan kongsi termasuk dirinya dan Nurhaida mengeluarkan modal RM50,000 seorang. Dia dan Nurhaida, masing-masing memohon pinjaman sebanyak RM50,000 dari Agrobank untuk tujuan itu dan di peringkat awal berdepan masalah melunaskan pinjaman disebabkan masih ‘bertatih’.
Roslina kemudian membuat penjadualan semula pembayaran dan sudah menyelesaikan pinjaman.
Dibantu enam pekerja, Arra Mushroom mengeluarkan 120,000 polibeg cendawan yang diproses sendiri selain memiliki makmal menghasilkan benih cendawan di Seremban. Daripada proses eraman benih cendawan hingga memungut hasil mengambil masa dua bulan setengah. Dalam tempoh empat bulan, sebanyak lapan kali tuaian dilakukan. Purata tuaian cendawan Arra Mushroom ialah 80 kilogram sehari.
“Menariknya, kita boleh kawal berapa banyak pengeluaran yang dimahukan. Untuk mendapatkan hasil yang tinggi dan memuaskan, persekitaran projek penanaman cendawan perlu dijaga rapi bagi mengurangkan risiko,” katanya.

Sabtu, Mac 30, 2013

Benih perintis cendawan berkualiti



Sering berdepan dengan masalah benih yang kurang bermutu tinggi untuk perusahaan tanaman cendawannya, Pengarah Urusan Mofamag Resources, Zulkifli Arif Mohd Nafiah sanggup 'menggali' lagi ilmu berkenaan penanaman spesies berkenaan sehingga beliau berjaya menghasilkan benih berkualiti tinggi serta tahan lasak terhadap cuaca yang ekstrem, sekali gus dapat membantu pengusaha lain bagi menghasilkan cendawan terbaik.

Pada pembentangan belanjawan 2011 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Oktober tahun lalu, sejumlah RM6 billion diperuntukkan untuk sektor pertanian tahun depan dengan transformasi sektor itu akan dipergiatkan lagi bermula dari peringkat tanaman sehingga pemasaran hasil pertanian.

Daripada jumlah tersebut, sejumlah RM149 juta peruntukkan diberikan untuk membangunkan industri tanaman makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, perladangan organik, herba, rumpai laut dan sarang burung walit.

Pengarah Urusan Mofamag Resorces, Zulkifli Arif Mohd Nafiah, tidak melepaskan peluang untuk memajukan perusahaan cendawannya selaras dengan peruntukan tersebut.

Perusahaan cendawannya yang berusia hampir tujuh tahun kini melangkah setapak lagi apabila syarikatnya bakal bekerjasama dengan jabatan kerajaan dan universiti tempatan bagi menghasilkan benih cendawan berkualiti.

"Dalam perusahaan cendawan ini, benih merupakan faktor terpenting untuk mwnghasilkan cendawan yang berkualiti tinggi, tahan lasak dengan perubahan cuaca ekstrem," katanya kepada InfoAgro ketika ditemui di Puchong, Rabu lalu.

Menurutnya, walaupun kerja memproses bongkah dilakukan sebaik mungkin, ia tidak akan menghasilkan cendawan yang berkualiti sekiranya benih digunakan adalah bergred rendah.

"Saya berharap, daripada kerjasama ketiga-tiga pihak, penghasilan benih daripada kultur tisu dapat dilakukan dengan bantuan teknologi, peralatan, makmal dan pengetahuan yang diberikan,"katanya.

Beliau berkata, sepanjang tujuh tahun terlibat dalam tanaman cendawan, benih menjadi penyumbang peratusan yang tinggi kepada kegagalan untuk menghasilkan tuaian yang baik.

"Pada masa ini, kami (pengusaha cendawan) sangat bergantung kepada benih yang diimport dari Thailand, Indonesia, selain hanya sebilangan kecil pengusaha Cina tempatan yang turut menawarkannya,"katanya.

Zulkifli berkata, beliau bersedia menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berminat bagi membantu memajukan industri tanaman cendawan tersebut.

PASARAN, POTENSI CENDAWAN

"Permintaan terhadap cendawan pada masa ini begitu tinggi sehingga melebihi penawaran sedia ada dan negara kita terpaksa mengimport untuk memenuhinya,"katanya.

Beliau berkata, mengikut sejarah permintaan terhadap cendawan tidak pernah menurun malah sentiasa meningkat.

"Di negara ini, cendawan mula ditanam untuk komersil sejak sebelum merdeka lagi dan sehingga kini, perusahaan serta perniagaan ini berkembang dengan baik, ada sahaja mereka yang berminat untuk mengusahakannya,"katanya.

Oleh sebab cendawan menjadi makanan kegemaran dan pilihan rakyat, Zulkifli berkata, Najib tidak ketinggalan memberi peruntukan kepada sektor pertanian khasnya industri tanaman makanan seperti cendawan.

"Apa yang boleh saya kata, pasarannya amat luas disokong dengan permintaan yang tinggi. Mofamag Resources yang menggunakan jenama Cendawan Puchong juga tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan,"katanya.

Menurutnya, harga pasaran semasa adalah sekitar RM10 dan RM11 sekilogram namun ia mampu mencecah sehingga RM15 sekilogram bergantung kepada lokasi.
"Biasanya kawasan perumahan elit seperti Damansara, Bandar Baru Bangi, harganya mencecah RM15 sekilogram.

"Terdapat lebih 30 pengusaha berada di bawah Mofamag resources yang aktif mengusahakan cendawan komersil, sekali gus membantu meningkatkan pengeluaran tanaman ini,"katanya.

PUSAT SEHENTI CENDAWAN

Bagi mengembangkan perusahaan dan perniagaan cendawannya, Zulkifli merancang untuk membina pusat sehenti cendawan di Meru, Klang bagi menambahkan pusat sehenti sedia ada di Puchong.

"Ia akan menjadi hab kepada peruncit, pemborong, peraih, pengusaha dan individu untuk mendapatkan material berasaskan cendawan seperti benih, bongkah, cendawan, mesin malah khidmat nasihat,"katanya.

Menurutnya, pada masa sama, Mofamag Resources merancang untuk mewujudkan pusat sehenti di negeri-negeri lain apabila Cendawan Puchong berjaya menembusi pasaran kelak.

Zulkifli menyifatkan cendawan merupakan tanaman yang istimewa kerana ia mempunyai kelebihan tersendiri berbanding tanaman lain.

"Tanaman cendawan tidak memerlukan ruang yang luas, malah penghuni rumah pangsapuri boleh menanamnya di ruang sempit dengan syarat mempunyai kelembapan tinggi seperti bilik air dan bawah singki,"katanya.

Menurutnya, tanaman ini tidak memerlukan kos tinggi kerana harga pasaran bagi bongkah cendawan matang hanya RM1.30 sebongkah dan boleh diguna sehingga enam kali pengeluaran.

"Setiap pengeluaran, hasilnya sehingga 50 gram dan jangka hayatnya adalah tiga bulan,"katanya.

Beliau berkata, selain harga jualan dan permintaan yang meningkat, cendawan juga mempunyai nilai perubatan dan kesihatan untuk tubuh badan manusia.

"Cendawan mampu mengawal dan merendahkan tekanan darah, kandungan gula dan lipid serta anti thrombotik.

"Ia juga membantu meningkatkan sistem imun untuk melawan jangkitan virus dan bakteria serta pelbagai lagi khasiat,"katanya.

BERMULA DENGAN SARANAN RAKAN

Mengimbau kembali sejarah pembabitannya dalam 'dunia cendawan', Zulkifli berterima kasih kepada rakannya yang memperkenalkan cendawan kepadanya pada 2005.

"Beliau yang memberi idea kepada saya untuk menceburi industri tanaman cendawan dan mengikuti kursus cendawan di Kulai, Johor.

"Pada waktu itu, saya masih bekerja sebagai Pegawai Kanan Jabatan Pemantauan dan Perancangan sebuah syarikat di Bangi dan melakukan tanaman ini secara sambilan bermodalkan RM 15,000,'katanya.

Menurutnya, selepas perusahaanya menjadi, Zulkifli belajar cara memproses bongkah dengan pengusaha Cina tempatan.

"Bukan itu sahaja, komited dengan tanaman ini, saya turut menimba ilmu sehingga ke Thailand untuk memahami selok-belok cendawan.

Melihat kepada potensinya, beliau melepaskan jawatan di syarikat dengan gaji tinggi untuk mengusahakannya secara sepenuh masa pada Mei 2009.

"Alhamdulillah, setakat ini, saya mampu mengembangkan perusahaan tanaman cendawan dengan membuat perniagaan yang berkaitan cendawan seperti membekalkan mesin, membuka kedai runcit dan sebagainya,"katanya.

sumber: Sinar Harian

Khamis, Mac 28, 2013

Lima kelebihan cendawan yang baru diketahui



Cendawan selalunya dianggap sebagai kulat yang berkhasiat dan sedap rasanya. Ia merupakan makanan yang menyihatkan yang mengandungi asid amino, mineral, vitamin, dan banyak protein dengan lemak yang rendah. 

Kebanyakan cendawan mengandungi beta-karotena yang dapat bertukar menjadi vitamin A. Maka cendawan juga digelar "khazanah vitamin A".

Menurut hasil kajian, selain ciri-ciri tersebut, cendawan juga mempunyai lima kelebihan, seperti yang di bawah ini:

1. Hanya 20 kalori

Khasiat cendawan bermanfaat bagi kesihatan jantung kita dan juga dapat meningkatkan daya keimunan tubuh badan manusia. Sepiring cendawan hanya mengandungi 20 kalori. Jumlah in jauh kurang daripada sepiring puding.


2. Rasanya sedap

Cendawan mempunyai rasa yang amat sedap dan ia sesuai dimasak atau dicampur dengan makanan lain, menjadi sejenis perasa yang enak.

3. Mengandungi banyak vitamin D

Cendawan kaya dengan vitamin D, iaitu vitamin yang tidak ada pada sayur-sayuran dan buah-buahan lain. Ia amat baik bagi kesihatan tulang dalam badan kita.


4. Fungsi anti-oksida

Fungsi anti-oksida cendawan ini sama dengan sayur-sayuran yang berwarna-warni, seperti zucchini, lobak merah, kubis bunga dan paprika.


5. Pengganti beras dan roti

Berdasarkan anggaran yang dibuat, jika kita memakan 100 gram cendawan untuk menggantikan nasi goreng setiap kali makan, selama satu tahun, ia boleh mengurangkan 18 ribu kalori, iaitu dua kilogram lemak, meskipun kita tidak mengubah struktur makanan asalnya. :)

Rabu, Mac 27, 2013

Teknologi majukan industri cendawan


PEMBANGUnan industri cendawan memerlukan sokongan pelbagai pihak untuk terus berkembang.


AKTIVITI penanaman cendawan kini semakin mendapat sambutan yang menggalakkan dari kalangan pengusaha bidang pertanian.

Namun, disebabkan industri tersebut masih baru di negara ini, ia memerlukan sokongan dan bantuan dari pelbagai pihak untuk memastikannya terus berkembang.

Sebenarnya, industri berkenaan mampu untuk berkembang disebabkan ia menerima permintaan yang sangat menggalakkan dari kalangan pengguna.

Ini kerana tumbuhan dari spesies kulat tersebut bukan sahaja boleh digunakan sebagai makanan, malah ia turut digunakan untuk menghasilkan makanan hiliran lain seperti jus, sambal cendawan dan juga serunding cendawan.

Bagi mencari platform bagaimana aktiviti penanaman cendawan dapat diperkembangkan melalui penggunaan teknologi dan inovasi terkini, Universiti Malaya (UM) baru-baru ini telah menganjurkan Persidangan Dan Pameran Cendawan Malaysia 2008 (MMCF 2008)

Program yang dikelolakan oleh Pusat Penyelidikan Cendawan (MRC) UM itu telah mendapat kerjasama dari Persatuan Cendawan Malaysia (MAM) dan juga Jabatan Pertanian.

Selain jualan dan pameran cendawan, program tersebut juga telah menunjukkan demonstrasi memasak resipi cendawan, penjagaan kit cendawan segera dan teknik penanaman cendawan kepada para pengunjung.

Menurut Timbalan Dekan Penyelidikan Fakulti Sains UM, Prof. Dr. Rauzah Hashim, melalui persidangan seperti itu, golongan seperti pakar-pakar, penyelidik dan juga pengusaha dapat bertukar-tukar pendapat untuk memajukan sektor tersebut melalui sumber-sumber yang ada.

"Inisiatif seperti ini secara tidak langsung dapat mempromosikan penyelidikan dan pembangunan cendawan melalui aplikasi.

"Ia juga bakal memberi manfaat kepada ekonomi negara dan berpotensi untuk menyumbang kepada jaminan kualiti makanan serta kesihatan masyarakat," katanya selepas merasmikan program tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Untuk membangunkan industri berkenaan, ia bukan sahaja bergantung kepada teknik pelaksanaannya, malah perkongsian kerjasama dengan negara-negara lain juga penting agar ia dapat dilakukan dengan berjaya melalui pelaburan kos yang efektif.

Negara kita perlu mengambil pengalaman dari negara-negara pengeluar cendawan seperti Jepun, China, Amerika Syarikat dan juga New Zealand.

Antara jenis cendawan yang di tanam di Malaysia adalah dari spesies tiram kelabu, tiram putih, jeli hitam dan juga bunga kubis.

Setakat ini, MRC telah menghasilkan beberapa kepakaran sistematik melibatkan industri cendawan dari segi bioteknologi, biodiversiti, kesihatan, pertanian dan alam sekitar.

Sementara itu, Pengerusi jawatankuasa penganjur persidangan berkenaan, Prof. Dr. Vikineswary berkata, rakyat Malaysia perlu mengamalkan memakan cendawan kerana selain mempunyai khasiat yang tinggi, ia juga mempunyai kebaikan dari segi kesihatan.

"Makan cendawan secara segar adalah paling digalakkan bagi mendapatkan keseluruhan nutriennya,'' katanya.

Menurut beliau, bagi merangsang pertumbuhan industri berkenaan, kerjasama antara universiti dan institusi pengajian tinggi (IPT) juga penting bagi mewujudkan pelbagai aktiviti dalam kajian mengenai penanaman cendawan.

Antara aktiviti yang boleh dilaksanakan adalah seperti seminar, bengkel, pesta dan juga perkhidmatan bantuan kepada pengusaha yang berminat.

Mengambil contoh UM, mereka ada menjalankan usaha sama dengan beberapa universiti dari luar negara seperti New Zealand dan San Francisco dalam bidang-bidang berkaitan.

Selain itu, universiti tersebut juga melatih lebih kurang 50 pelajar siswazah yang berminat untuk mendalami kajian cendawan dalam pelbagai aspek.

"Kajian-kajian yang dijalankan adalah seperti kandungan enzim di dalam cendawan, teknik penanaman selain mencari spesies-spesies baru di dalam hutan untuk penyelidikan yang lebih terperinci,'' jelasnya

Sebenarnya, tidak semua spesies cendawan boleh ditanam di Malaysia kerana proses pertumbuhan dan khasiat cendawan adalah bergantung kepada iklim sesebuah negara.

Justeru, untuk mencari kesesuaian berkenaan, peranan persatuan dan badan penyelidik adalah sangat penting bagi meningkatkan stimulasi pembiakan dan seterusnya mengekalkan khasiatnya.

Di samping itu, agensi-agensi seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Pertanian, persatuan-persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga harus memberi sokongan penuh terhadap usaha berkenaan.

Sehingga penghujung tahun lalu, sebanyak 334 ladang cendawan telah diusahakan di negara ini yang melibatkan tanaman secara komersial dan juga secara persendirian.

Daripada jumlah itu, terdapat enam syarikat yang melaksanakan projek berkenaan dalam skala yang besar iaitu melebihi 500 kilogram (kg) sehari manakala 57 syarikat melakukannya secara sederhana yang melibatkan hasil 50 hingga 500 kg sehari.

Sementara itu, sebanyak 260 pengusaha pula melaksanakannya secara kecil-kecilan dengan hasil yang dikeluarkan kurang daripada 50 kg sehari.

Johor merupakan negeri yang paling banyak mempunyai ladang penanaman cendawan dengan jumlah keseluruhan 67 ladang.

Secara keseluruhannya, negara kita menghasilkan sebanyak 24,000 kg cendawan sehari dan jumlah itu tidak mampu menampung permintaan yang tidak kurang dari 50,000 kg setiap sahari.




Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0102&pub=utusan_malaysia&sec=Agrobiz&pg=ag_01.htm#ixzz2OftcCZmU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Selasa, Mac 26, 2013

Ling zhi bukan cendawan biasa


BENTUK cendawan ling zhi memang kurang menarik tetapi khasiatnya luar biasa.

CENDAWAN ling zhi atau Ganoderma lucidum ialah sejenis herba yang cukup popular. Cendawan itu berwarna merah dan perang serta berkilat. Saiznya juga agak besar berbanding cendawan biasa menyebabkan ia kurang mendapat perhatian. Namun, khasiatnya cukup banyak.
Khasiatnya diperakui berabad lamanya sejak zaman Dinasti Shu di China iaitu kira-kira 2,400 tahun lalu.
Ketika itu hanya mereka yang berstatus maharaja atau keluarga diraja sahaja yang mampu mendapatkannya kerana harganya yang mahal. Dengan bahan aktif yang dikenali sebagai polisakarida, berupaya menguatkan sistem imun, ling zhi boleh dijadikan langkah awal untuk menghalang dan merawat kanser, antialergi, antiradang, antiviral, antibakteria dan antioksidan.
Ada yang mengatakan seseorang perlu mendaki gunung dan meredah rimba bagi mendapatkan cendawan ling zhi.
Namun, hari ini kita tidak perlu lagi bersusah-payah mendaki gunung atau masuk ke dalam hutan untuk mendapatkan ling zhi.
Jaga kesihatan
CHENG (kiri) bersama beberapa produk makanan kesihatan cendawan tersebut yang dikeluarkan oleh syarikatnya, Ganofarm Sdn. Bhd. bersama Dr. Noorlidah.

Cendawan itu kini ditanam secara komersial di beberapa buah negara seperti China, Jepun dan Amerika Syarikat.

"Di Malaysia tidak ramai yang menanam cendawan ini kerana pasarannya kurang memberangsangkan," kata Prof Dr. Noorlidah Abdullah dari Institut Sains Biologi Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.
Beliau yang juga mengamalkan minuman ekstrak ling zhi berkata, ia sangat baik untuk menjaga kesihatan.
Polisakarida, bahan aktif yang terdapat dalam ling zhi berupaya menguatkan sistem imun tubuh. Ling zhi boleh dijadikan langkah untuk mencegah kanser, bertindak sebagai antialergi, antiradang, antiviral, antibakteria dan antioksidan," katanya.
Selain itu, ling zhi mempunyai antioksidan paling tinggi berbanding cendawan lain.
Antioksidan boleh menyingkir radikal bebas yang terbentuk dalam badan melalui metabolisme tubuh. Radikal bebas akan merosakkan lipid pada membran sel dan asid deoksiribunokliek (DNA). Jadi apabila berlakunya serangan, tubuh boleh terdedah kepada penyakit seperti jantung, artritis dan penyakit lain.
"Penyakit-penyakit ini timbul apabila umur meningkat akibat kekurangan antioksidan. Kalau amalkan ling zhi, sistem imun kita akan sentiasa tinggi dan dapat melindungi diri daripada serangan pelbagai penyakit," kata Dr. Noorlidah.
Ling zhi juga katanya, baik untuk paru-paru dan hati kerana ia meningkatkan proses detoksifikasi.
Menurut Dr. Noorlidah, ling zhi boleh memberi harapan kepada pesakit diabetes. Ling zhi dipercayai berupaya mengelakkan pesakit diabetes daripada 'kehilangan kaki' dan ini diakui pengusaha cendawan, Ganofarm Sdn. Bhd., P.G. Cheng.
Keberkesanan cendawan

SEJAUH manakah ling zhi boleh memberi harapan kepada pesakit diabetes? - Gambar hiasan


Berkelulusan ijazah sarjana muda kimia, Cheng yang menanam ling zhi sejak tujuh tahun lalu berkata, pengalaman berurusan dengan pesakit diabetes sebelum ini, membuktikan keberkesanan cendawan itu.


"Ada seorang pak cik di Alor Setar, Kedah kakinya hampir dipotong disebabkan luka. Lukanya menjadi teruk disebabkan dia ada penyakit diabetes.
"Namun, selepas mengamalkan ling zhi, kaki pak cik itu dapat diselamatkan dan tidak perlu dipotong," katanya.
Selain selalu menerima kedatangan pesakit diabetes ke ladangnya di Tanjung Sepat, Selangor pesakit hipertensi dan ekzema juga mendapatkan produk yang diperbuat daripada ling zhi. Cheng berkata, terdapat kajian yang mendedahkan ling zhi dapat meningkatkan sistem imun pesakit HIV/AIDS.
"Pesakit HIV/AIDS berhadapan situasi sistem imun rendah. Ada satu kajian mendedahkan, kualiti kehidupan mereka yang mengambil ling zhi semakin baik," katanya.
Faktor harganya yang mahal menyebabkan tidak ramai yang mampu membeli ling zhi. Atas sebab itulah, Cheng terdorong untuk menanam ling zhi dan menghasilkan produk sendiri serta tidak menggunakan khidmat orang tengah untuk mengurangkan kos.
Atas sebab itulah, produk ling zhi yang terdapat di kedainya seperti pencuci rambut, minuman kesihatan dan kapsul dijual pada harga berpatutan, "Sebelum ini, untuk mendapatkan produk ling zhi perlu melalui ejen tertentu dan harganya sangat mahal. Disebabkan itu, saya memilih untuk menanam cendawan ling zhi dan menghasilkan pelbagai produk berasaskannya.
Sebelum ini Cheng pernah menjual ling zhi segar, namun pulangannya kurang memberangsangkan.
Beliau turut kesal kerana terdapat sesetengah pihak mengambil kesempatan menjual ling zhi palsu di pasaran.
"Ling zhi asli apabila direbus, rasanya sangat pahit. Pernah sekali saya pergi ke sebuah pasar, penjual itu mengatakan bahawa dia menjual ling zhi.
"Ia kelihatan seakan-akan ling zhi asli, tetapi apabila ditanya sama ada ia pahit atau tidak, penjual itu kata tidak. Dari situ kita tahu itu bukanlah ling zhi asli," katanya. - Bernama

Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0922&pub=kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm#ixzz2OLo68Ott 
Hakcipta terpelihara 
a> Related Posts with Thumbnails