AKTIVITI penanaman cendawan kini semakin mendapat sambutan yang menggalakkan dari kalangan pengusaha bidang pertanian.
Namun, disebabkan industri tersebut masih baru di negara ini, ia memerlukan sokongan dan bantuan dari pelbagai pihak untuk memastikannya terus berkembang.
Sebenarnya, industri berkenaan mampu untuk berkembang disebabkan ia menerima permintaan yang sangat menggalakkan dari kalangan pengguna.
Ini kerana tumbuhan dari spesies kulat tersebut bukan sahaja boleh digunakan sebagai makanan, malah ia turut digunakan untuk menghasilkan makanan hiliran lain seperti jus, sambal cendawan dan juga serunding cendawan.
Bagi mencari platform bagaimana aktiviti penanaman cendawan dapat diperkembangkan melalui penggunaan teknologi dan inovasi terkini, Universiti Malaya (UM) baru-baru ini telah menganjurkan Persidangan Dan Pameran Cendawan Malaysia 2008 (MMCF 2008)
Program yang dikelolakan oleh Pusat Penyelidikan Cendawan (MRC) UM itu telah mendapat kerjasama dari Persatuan Cendawan Malaysia (MAM) dan juga Jabatan Pertanian.
Selain jualan dan pameran cendawan, program tersebut juga telah menunjukkan demonstrasi memasak resipi cendawan, penjagaan kit cendawan segera dan teknik penanaman cendawan kepada para pengunjung.
Menurut Timbalan Dekan Penyelidikan Fakulti Sains UM, Prof. Dr. Rauzah Hashim, melalui persidangan seperti itu, golongan seperti pakar-pakar, penyelidik dan juga pengusaha dapat bertukar-tukar pendapat untuk memajukan sektor tersebut melalui sumber-sumber yang ada.
"Inisiatif seperti ini secara tidak langsung dapat mempromosikan penyelidikan dan pembangunan cendawan melalui aplikasi.
"Ia juga bakal memberi manfaat kepada ekonomi negara dan berpotensi untuk menyumbang kepada jaminan kualiti makanan serta kesihatan masyarakat," katanya selepas merasmikan program tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Untuk membangunkan industri berkenaan, ia bukan sahaja bergantung kepada teknik pelaksanaannya, malah perkongsian kerjasama dengan negara-negara lain juga penting agar ia dapat dilakukan dengan berjaya melalui pelaburan kos yang efektif.
Negara kita perlu mengambil pengalaman dari negara-negara pengeluar cendawan seperti Jepun, China, Amerika Syarikat dan juga New Zealand.
Antara jenis cendawan yang di tanam di Malaysia adalah dari spesies tiram kelabu, tiram putih, jeli hitam dan juga bunga kubis.
Setakat ini, MRC telah menghasilkan beberapa kepakaran sistematik melibatkan industri cendawan dari segi bioteknologi, biodiversiti, kesihatan, pertanian dan alam sekitar.
Sementara itu, Pengerusi jawatankuasa penganjur persidangan berkenaan, Prof. Dr. Vikineswary berkata, rakyat Malaysia perlu mengamalkan memakan cendawan kerana selain mempunyai khasiat yang tinggi, ia juga mempunyai kebaikan dari segi kesihatan.
"Makan cendawan secara segar adalah paling digalakkan bagi mendapatkan keseluruhan nutriennya,'' katanya.
Menurut beliau, bagi merangsang pertumbuhan industri berkenaan, kerjasama antara universiti dan institusi pengajian tinggi (IPT) juga penting bagi mewujudkan pelbagai aktiviti dalam kajian mengenai penanaman cendawan.
Antara aktiviti yang boleh dilaksanakan adalah seperti seminar, bengkel, pesta dan juga perkhidmatan bantuan kepada pengusaha yang berminat.
Mengambil contoh UM, mereka ada menjalankan usaha sama dengan beberapa universiti dari luar negara seperti New Zealand dan San Francisco dalam bidang-bidang berkaitan.
Selain itu, universiti tersebut juga melatih lebih kurang 50 pelajar siswazah yang berminat untuk mendalami kajian cendawan dalam pelbagai aspek.
"Kajian-kajian yang dijalankan adalah seperti kandungan enzim di dalam cendawan, teknik penanaman selain mencari spesies-spesies baru di dalam hutan untuk penyelidikan yang lebih terperinci,'' jelasnya
Sebenarnya, tidak semua spesies cendawan boleh ditanam di Malaysia kerana proses pertumbuhan dan khasiat cendawan adalah bergantung kepada iklim sesebuah negara.
Justeru, untuk mencari kesesuaian berkenaan, peranan persatuan dan badan penyelidik adalah sangat penting bagi meningkatkan stimulasi pembiakan dan seterusnya mengekalkan khasiatnya.
Di samping itu, agensi-agensi seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Pertanian, persatuan-persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga harus memberi sokongan penuh terhadap usaha berkenaan.
Sehingga penghujung tahun lalu, sebanyak 334 ladang cendawan telah diusahakan di negara ini yang melibatkan tanaman secara komersial dan juga secara persendirian.
Daripada jumlah itu, terdapat enam syarikat yang melaksanakan projek berkenaan dalam skala yang besar iaitu melebihi 500 kilogram (kg) sehari manakala 57 syarikat melakukannya secara sederhana yang melibatkan hasil 50 hingga 500 kg sehari.
Sementara itu, sebanyak 260 pengusaha pula melaksanakannya secara kecil-kecilan dengan hasil yang dikeluarkan kurang daripada 50 kg sehari.
Johor merupakan negeri yang paling banyak mempunyai ladang penanaman cendawan dengan jumlah keseluruhan 67 ladang.
Secara keseluruhannya, negara kita menghasilkan sebanyak 24,000 kg cendawan sehari dan jumlah itu tidak mampu menampung permintaan yang tidak kurang dari 50,000 kg setiap sahari.
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0102&pub=utusan_malaysia&sec=Agrobiz&pg=ag_01.htm#ixzz2OftcCZmU
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan