Selasa, Mac 12, 2013

Profesor cendawan


Keluarga Noorlidah makan cendawan tiga kali seminggu.




PESAN Noorlidah, berhati-hati memilih cendawan kerana ada antaranya beracun.


BILIKNYA yang berukuran 15 x 20 kaki persegi di Institut Sains Biologi, Fakulti Sains Universiti Malaya (UM) dipenuhi dengan ribuan buku dan makalah mengenai cendawan.
Replika tumbuhan itu serta gambar semasa mengikuti seminar di dalam serta luar negara turut menghiasi ruangan bilik pakar cendawan Prof. Noorlidah Abdullah, 47.
Malah tumbuhan unik itu telah membawa beliau merantau hingga ke China, Thailand, India dan Switzerland.
“Jika rumah saya bukan jenis teres dan terletak di bandar Kepong, telah lama saya mengusahakan cendawan secara serius,” ujarnya ketawa.
Obsesnya pada cendawan membuatkan Noorlidah menetapkan salah satu menu makanan keluarganya berasaskan cendawan sebanyak tiga kali seminggu.


Katanya, cendawan kememeh masak lemak cili api serta daging boleh membuatkan suami dan enam orang anaknya kecur air liur.
“Semuanya bermula apabila tamat pengajian Ijazah Doktor Falsafah Mikologi Makanan di UM. Pengkhususan kepada kulat yang merosakkan makanan selama 10 tahun membuat saya beralih memilih kajian tentang cendawan.
“Setelah lima tahun mengkaji cendawan saya terpikat dengan misteri serta khazanah yang tersembunyi terutamanya dari segi perubatan dan komersial,” katanya yang berasal dari Kuala Lumpur.
Namun, beliau memberi nasihat sekiranya seseorang tersesat di hutan dan terdesak untuk mencari sumber makanan, cendawan bukan merupakan alternatif utama.
“Corak cendawan hampir sama namun ada yang beracun dan tidak. Mereka yang biasa dengan hutan dan pakar tumbuhan sahaja mengetahuinya,” katanya tegas.
Ujarnya lagi, kini hanya terdapat 10 orang pakar cendawan di Malaysia. Sekiranya bilangannya lebih ramai, ia mungkin dapat merancakkan ekonomi negara dan tidak semata-mata bergantung kepada import cendawan dari China.
TERDAPAT lebih 15,000 jenis cendawan telah dikenal pasti.


“Bayangkan di China sahaja terdapat lebih 100 pusat penyelidikan cendawan.
“Negara kita hanya mengeluarkan 24,000 kilogram cendawan sedangkan permintaan sebenarnya ialah 50,000 kg.
“Jika penanaman cendawan dapat dikomersialkan lagi kita tidak perlu mengimportnya. Selain itu, penambahan pusat penyelidikan baru mungkin dapat menghasilkan penemuan baru khasiat cendawan,” katanya.
Asal cendawan cukup unik. Ia dikatakan ditemui oleh penduduk desa Perancis sebagai sumber makanan dan perubatan pada ratusan tahun dahulu. Mereka menanamnya di gua kerana tumbuhan itu memerlukan suhu yang lembap dan sejuk.
Malah rekod sejarah awal China menunjukkan cendawan digunakan untuk perubatan tradisional dan pada lukisan klasik China. Alat kebesaran maharaja turut mempunyai corak cendawan.
Beliau menambah, cendawan sebenarnya mempunyai banyak khasiat dari sudut perubatan.
“Ia mampu memulihkan penyakit batuk, merawat gastrik dan mengawal tekanan darah kerana ia kaya dengan zat besi, mineral dan amino serta antioksida,” ujarnya.
KAJIAN membuktikan cendawan memiliki khasiat perubatan.


Kini dianggarkan terdapat 15,000 jenis cendawan daripada 1.5 juta kulat yang wujud. Tetapi terdapat ratusan ribu lagi yang belum ditemui dan tidak mempunyai nama.
Menyentuh mengenai komersialisme cendawan pada masa hadapan, Noorlidah memberitahu, tidak mustahil terdapat aiskrim cendawan dan coklat cendawan yang dijual di pasaran.
“Jika sekarang terdapat minuman cendawan dalam tin, tidak mustahil tidak lama lagi kanak-kanak dapat merasai kelazatan aiskrim cendawan.
“Cuma jangan takut untuk mengkaji idea baru, itu rahsianya,” kata Noorlidah. – MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM


Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1221&pub=kosmo&sec=Erti_Hidup&pg=er_01.htm#ixzz2NDrDKLYl 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

a> Related Posts with Thumbnails