Sabtu, Mac 23, 2013
Cara tangani masalah penyakit cendawan
Assalamualaikum. Di bawah ada artikel daripada Puan Lina (CIMA Agro) yang boleh membantu pengusaha cendawan. Terima kasih tak terhingga kepada Puan Lina atas kesudian berkongsi pengalaman. Terima kaseeeeyyyy.
Pengenalan
Memang telah menjadi resam berurusan dengan hidupan pasti akan ada masalah sakit dan matinya. Setakat ini saya pernah melihat beberapa pengusaha yang berhenti separuh jalan kerana 2 sebab sahaja. Perkara ini patut di war-warkan kepada semua yang belum terlibat tetapi sudah berminat, supaya mereka merancang semasak-masaknya sebelum menceburkan diri.
Jika anda sudah membuka ladang dan ladang anda diserang penyakit, Apakah yang perlu dilakukan?
Jabatan atau pihak mana yang boleh diharapkan untuk membantu?
Melalui pengalaman saya, kita tidak boleh berharap pada sesiapa pun. Tiada satu jabatan ketika ini yang dikhaskan khusus untuk kaji selidik tanaman cendawan serta penyakitnya. Tidak seperti tanaman industri lain seperti getah dan kelapa sawit yang ada pusat penyelidikannya.
Alhamdulillah, pengalaman yang saya dapat selama 6 tahun dalam bidang penanaman cendawan ini membawa saya kepada saya sekarang ini. Kini saya ingin kongsikannya dengan semua,. terutama berkenaan dengan penyakit cendawan. Ia juga menjadi salah satu modul yang diperbincangkan secara mendalam dalam Kursus Intensif Tanaman Cima Agro yang saya adakan.
Semoga rakan-rakan satu bidang dengan saya yang juga menganjurkan kursus tanaman cendawan, dapat menyampaikan ilmu saya yang tidak seberapa ini pada peserta kursus masing-masing.
Ada 2 sebab utama yang menyebabkan pengusaha berhenti separuh jalan dalam industri ini.
- Masalah Penyakit
Ada berbagai jenis penyakit cendawan tetapi penyakit yang paling terkenal dalam industri cendawan di Malaysia adalah penyakit hijau dan penyakit oren
- Masalah Pasaran
Masalah ini berlaku dalam tahun 70-80an dahulu dimana kerajaan mempromosikan industri ini secara besar-besaran maka ramailah orang menceburkan diri dalam bidang ini hingga berlaku lambakan. (maklumat dari Jabatan Pertanian)
Pada kali ini saya ingin membincangkan tentang masalah penyakit sahaja kerana ramai yang bertanyakan tentangnya pada saya sejak akhir-akhir ini.
Vektor masalah penyakit cendawan adalah
1. Penyuntik benih
2. Bilik suntik (bilik dan udara bilik)
3. Alat suntik yang bersentuhan benih (pelerai benih dsb)
4. Benih yang disuntik (bebas penyakit?)
5. Beg media yang disuntik (pengukusan sempurna? Penjagaannya?)
Ramai yang terus menyalahkan benih dan ini tidak semestinya betul.
KULAT HIJAU
Jika penyakit yang anda alami adalah beg media berwarna HIJAU.. adalah penting menentukan keluarga hijau tersebut. Tidak semestinya kalau ia berwarna hijau sahaja, ia akan jatuh pada keluarga yang sama. Seperti manusia, berkulit ‘sawo matang’ tidak semestinya berketurunan Melayu. Ada Indonesia, Filipina, Kemboja, Siam dan lain-lain yang juga berkulit sawo matang.
Kulat hijau boleh jadi dari keluarga Trichoderma, Aspergillus, Chaetomium, Cladosporium, atau Penicillium. Saya beri contoh mudah.. Jika kulat hijau tersebut asal usul dari lumut hijau tepi longkang, bermakna longkang anda perlu dicuci! Di sinilah yang menyebabkan saya perlu ke tempat pengusaha yang bermasalah untuk memerhati dan menganalisa apa penyebabnya.
Kadang-kadang pengusaha tidak dapat melihat kesalahan yang mereka lakukan di depan mata dan memerlukan orang luar untuk menegur mereka. Kajian tentang prosedur dan proses kerja mereka juga adalah penting untuk saya mengetahui punca penyakit. Contoh, mengetahui proses pengukusan mereka dapat memastikan pengukusan adalah sempurna atau tidak.
Dalam alam bakteria dan fungi ada 2 jenis kelas.
a) Yang tahan kepanasan tinggi (thermoresistant)
b) Yang tidak tahan panas
Kelas b) akan mati bila kita stim kan ala kadar tetapi kelas a) akan tetap hidup jika pemanasan adalah tidak betul. Jika nasib kita baik, kelas a) ini hanya dalam jumlah yang kecil didalam beg media dan akan dimatikan oleh koloni Mycelia Plerotus yang kita suntik didalamnya pada proses menyuntik nanti. Tapi adalah berbahaya jika bergantung pada nasib jika kita boleh buat pengukusan yang sempurna.
Dapatkan jangkasuhu (dalam lingkungan RM80 harga pada 2 tahun dulu) untuk pastikan suhu dan rekodkan suhu paling tinggi dicapai dan ketahui berapa lama ia akan kekal pada suhu itu. Untuk pengetahuan, pengukusan stim yang diguna pakai di Cima Agro tidak pernah mencecah 100C..
Perlu di ingat juga bahawa tidak perlu memasak beg media dengan suhu terlampau tinggi (menggunakan boiler pada suhu atas 100C) kecuali kawalan had suhu dikenakan. Jika tidak, ia akan membunuh bacteria baik (streptomyces) yang ada didalamnya.
PROSEDUR CIMA AGRO
Melalui pengalaman, kami di CIMA AGRO telah mewujudkan prosedur prosedur sekiranya masalah hijau mencapai tahap kerosakkan lebih 10%. Maka kami ingin berkongsi kepada semua pengusaha akan cara-cara kami. Langkah-langkah yang perlu dilakukan adalah seperti berikut.
a) Ambil 9 biji beg kompos.
b) 3 biji dibawa ke bilik tempat anda menyuntik, di buka dan didedahkan kepada udara bilik suntik dalam 1-3 minit (jangan letak benih) dan ditutup semula. Kemudian dieramkan di tempat bersih jauh dari rumah cendawan lain contoh rumah kawan anda, pejabat anda dan sebagainya.
c) 3 biji tidak di buka dan tidak disuntik. Keluar dari tempat kukusan, dibawa terus ke rumah eram..
d) 3 biji tidak di buka dan tidak disuntik. Keluar dari tempat kukusan, dibawa terus ke rumah.hasil.
Jika beberapa hari, b yang tidak berbenih jadi hijau, maka masalah anda bukan dari benih tetapi sebenarnya ia berasal dari bilik benih atau yang menyuntik benih.
Jika b tidak hijau tetapi c atau d hijau bermakna rumah eram/hasil anda telah di penuhi dengan hijau dan perlu di kosongkan dan di basmikuman dengan segera sebelum koloni hijau tersebut bertambah dan berganda. Mungkin juga ia disebabkan oleh kukusan yang tidak sempurna. Jika hijau tersebut timbul di tengah-tengah badan beg media tersebut, maka sahlah kukusan anda tidak sempurna!!
Tetapi jika b tidak hijau maka anda boleh dapat pastikan ia memang asalnya dari benih. Tiada apa masalah dalam kukusan anda. Bermakna pengukusan, bilik suntik, penyuntik (tukang suntik) anda adalah baik. Oleh kerana itu segera hentikan pembelian/pengambilan benih dari sumber biasa dan beralih ke sumber lain.
Disinilah pentingnya ilmu membuat benih sendiri. Jika anda membuat benih sendiri, periksa setiap minggu sebelum kulat hijau tersebut di tutup oleh miselia cendawan kita. Bagi yang menjual benih secara komersil, pemeriksaan setiap minggu ini agak melecehkan untuk mereka. Jika tidak diperiksa pun ia tetap putih melepak selepas tempoh tertentu dan boleh dijual kepada pengusaha cendawan di luar sana termasuk anda. Akhirnya ia merugikan anda sebagai pembeli.
*Jika masalah hijau melanda lepas korekkan, bermakna mungkin anda membuat korekkan atau pembersihan dengan cara yang salah. Untuk pastikan, bawa beberapa beg yang belum dibuka ke tempat pengusaha lain yang tidak mengalami masalah ini. Jika beg tersebut berada dalam keadaan baik di tempat orang, ia mengesahkan penjagaan beg anda adalah salah.
Mengapa kita mesti mengetahui punca penyakit dengan melakukan proses diatas? Bagi saya, jika kita sudah tahu punca penyakit, langkah seterusnya sudah jadi mudah! Hapuskan punca penyakit tersebut dan masalah anda selesai..
Pesanan dari saya…
Dibawah adalah langkah-langkah segera yang perlu diambil sekiranya anda sedang mengalami masalah penyakit.
- Jika anda menggunakan semburan EM ke muncung beg media selepas petik, hentikan segera penggunaannya.
- Bagi mereka yang bermasalah hijau dan menggunakan larutan EM untuk mencuci pengorek beg segera hentikannya dan gantikan dengan air garam.
- Mungkin juga cara siraman anda tidak betul, maka bertanyalah dari mereka yang betul. (Pengusaha yang tiada masalah penyakit)
- Pengurusan penyakit mengikut jenis juga adalah penting. Memang semua penyakit perlu di buang tetapi bagaimana cara membuangnya? Cara membuang penyakit oren adalah berbeza dengan membuang penyakit hijau. Jika anda tidak pasti, sila bertanya pada pengusaha yang tiada masalah penyakit yang berhampiran dengan anda.
- Selain dari itu susun atur lantai dan susun atur jadual kerja pekerja anda yang tidak sesuai juga boleh menjadi penyebab berlakunya rebakan penyakit yang serius. Sebab itu sebelum memulakan projek cendawan ini adalah penting para bakal usahawan memulakannya dengan cara yang betul. Sebarang pembetulan di kemudian hari adalah amat tinggi kosnya.
Di Cima Agro, kami tidak menggunakan EM kerana sebab-sebab tertentu. Tetapi jika anda memilih untuk menggunakan EM dalam operasi, sila teruskan. Tetapi jika dijangkiti penyakit, hentikan penggunaannya sehingga penyakit tersebut dipulihkan.
Akhir kata, sentiasa ingat, berdoa dan meminta pada Allah s.w.t. untuk menghindarkan penyakit dari tanaman kita juga adalah amalan yang patut anda lakukan. InsyaAllah semuanya akan pulih..
SATU LAGI SUMBANGAN CIMA AGRO UNTUK SEMUA PENGUSAHA CENDAWAN SELURUH MALAYSIA
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan