Rabu, Disember 21, 2011
Khazanah alam dengan 1,001 khasiat perubatan
CENDAWAN ada pelbagai jenis. Ada yang boleh dimakan dan ada pula yang beracun. Terdapat cendawan yang boleh ditanam secara komersial dan sesetengahnya pula hanya hidup secara liar dalam hutan.
Tetapi yang pasti tentunya tiada ramai yang mengenali cendawan susu rimau. Tetapi di kalangan nenek moyang kita dan Orang Asli mereka cukup arif tentang cendawan ini. Sebabnya kerana ia memiliki khasiat yang tidak ternilai yang tersimpan rapi sebagai khazanah alam yang perlu 'dicungkil' untuk manfaat semua.
Kenapa cendawan yang dengan nama saintifiknya Lignosus rhinocerus di gelar cendawan susu rimau? Kononnya, ia hanya boleh ditemui di hutan yang mempunyai populasi harimau.
Berdasarkan kisah dongeng, cendawan susu rimau dipercayai tumbuh di atas titisan susu harimau yang jatuh ke tanah semasa menyusukan anaknya. Dari situ ia mendapat nama.
Ubinya (sclerotium) yang berwarna putih terbentuk dan terbenam di dalam tanah berbulan, bertahun malah berabad lamanya.
Apabila tiba masanya, dari ubi tersebut ia akan bercambah. Mengikut kepercayaan hanya mereka yang bertuah akan menemui cendawan itu.
Cendawan susu rimau mempunyai khasiat yang menakjubkan terutama ubinya.
Selama berabad, ia digunakan sebagai herba untuk mengubati pelbagai masalah kesihatan.
Sebenarnya cendawan susu rimau telah digunakan sejak abad ke-18 bagi mengubati pelbagai jenis penyakit.
Ketika itu setiap keluarga pasti menyimpan seketul kecil objek seperti batu sebagai ubat serba guna.
Apabila terdapat ahli keluarga dijangkiti sama ada batuk, selesema, demam, bengkak atau lemah badan, si ibu pasti mengeluarkannya dan parut atas permukaan tembikar untuk mendapatkan serbuk dan ditambah dengan air.
"Malah semasa kecil, ibu saya sering memberikan minum air campuran 'susu rimau' ketika demam atau sakit.
"Ketika itu saya benar-benar percaya ibu memberikan saya susu harimau.
"Sehingga saya mendengar ucapan Tun Dr. Mahathir Mohamad (ketika itu Perdana Menteri) semasa persidangan BioMalaysia 2002 menyatakan susu rimau menyembuhkan batuk kroniknya," kata Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Penyelidikan Sumber Strategik, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Tan Chon Seng ketika ditemui di pejabatnya di Serdang baru-baru ini.
Beliau sedar susu rimau yang biasa diminum suatu masa dulu adalah sejenis cendawan. Bermula dari situ timbul minat beliau untuk terus mengkajinya.
Menurutnya, cendawan susu rimau digunakan oleh pengamal perubatan Melayu untuk mengubati penyakit barah darah, barah rahim, ulser usus, penyakit buah pinggang dan bengkak-bengkak pada badan.
Pengamal tradisional Cina pula menggunakannya untuk demam, lelah dan menguatkan kesihatan badan.
Semua puak Orang Asli menggunakan cendawan susu rimau untuk mengubati lebih 15 penyakit termasuk demam, batuk, lelah, barah, keracunan makanan dan luka.
Melihat kepada khasiat cendawan tersebut yang banyak, timbul persoalan mengapa ia tidak dikomersialkan?
Menurutnya, masalah utama ialah ia amat sukar ditemui dan wujud sebagai cendawan tunggal di tengah-tengah hutan.
"Orang Asli percaya tempat yang tumbuh cendawan susu rimau mempunyai harimau dan hanya dijumpai jika ada rezeki atau tuah.
"Disebabkan bekalan yang terhad, harganya melambung tinggi dan sukar untuk dikaji dan dikomersialkan," katanya.
Bagi mempopularkan khasiat cendawan susu rimau, ia perlu dibiakkan dengan apa cara sekalipun.
Menurut beliau China, yang merupakan pengguna cendawan herba terbesar dunia memilih cendawan susu rimau sebagai salah satu daripada 10 cendawan yang berpotensi untuk dikomersialkan.
"Bagaimanapun cendawan ini hanya tumbuh liar di hutan Asia Tenggara. Mereka yang berjaya membiakkannya akan memperoleh pulangan yang lumayan," katanya.
Namun daripada kajian beliau selama lapan tahun telah membuahkan kejayaan apabila cendawan susu rimau berjaya dihasilkan melalui tisu didik.
"Cabarannya paling getir adalah mencari bahan ramuan untuk membiakkan cendawan susu rimau.
"Kejayaan saya dalam penyelidikan susu rimau adalah sebagai penghargaan dan kenangan terhadap mendiang ibu saya yang telah mencetuskan inspirasi menjalankan penyelidikan," katanya.
sumber: Utusan Malaysia
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan