KRISIS kenaikan harga minyak bukan sekadar mempengaruhi peningkatan kos perkhidmatan malah barangan runcit termasuk makanan dan produk pertanian juga turut melambung.
Kemelut yang menjurus kepada inflasi ini sekali gus mengubah gaya hidup dan cara kita berbelanja.
Memanfaatkan kawasan tanah atau ruang belakang rumah dengan bercucuk tanam merupakan antara usaha berjimat cermat yang nyata mampu membantu mengurangkan perbelanjaan dapur.
Sudah tiba masanya kita menukar pokok hiasan di halaman rumah dengan cili, serai, lengkuas, bendi atau tomato.
Pagar yang mengelilingi kawasan rumah pula boleh ditanam dengan sayuran menjalar seperti kacang panjang, petola atau kacang botol.
Yang pastinya usaha kecil ini mampu mengurangkan keluhan kita akibat kenaikan harga pelbagai jenis sayuran ketika membeli-belah di pasar.
Cendawan juga merupakan antara tanaman sayuran yang mudah ditanam.
Di samping dapat menyediakan makanan berkhasiat untuk keluarga ia juga boleh dijual bagi menambah pendapatan.
Menanam cendawan tidak memerlukan kawasan yang luas. Selagi ruangnya teduh dan bebas pencemaran, cendawan mudah tumbuh dan membesar.
Memandangkan cendawan tidak perlu dibaja atau kerap disiram, ia amat sesuai untuk diusahakan oleh golongan wanita.
Menyedari akan hakikat inilah maka Cendawan Global bekerjasama Cendawan Puchong mengambil inisiatif dengan menerbitkan VCD mengenai Teknik Penanaman Cendawan Tiram Kelabu bagi memberi kemahiran kepada orang ramai dalam mendalami teknik sebenar penanaman tersebut.
Antara aspek yang diketengahkan ialah Kaedah Pemilihan Tapak, Pembinaan Rak Cendawan, Teknik Menyedia Beg Cendawan, Pemilihan Benih, Pengkukusan, Pemeraman dan Proses Penjagaan dan Penuaian.
Apa yang diharapkan penerbitan VCD ini akan dapat memberikan gambaran jelas mengenai industri ini sekali gus melahirkan lebih ramai lagi pengusaha cendawan di Malaysia.
Konsep penanaman secara kecil-kecilan yang terkandung di dalam VCD ini juga dapat mengubah tanggapan orang ramai bahawa perusahaan cendawan ini perlu dimulakan dengan skala besar.
Selain itu, dengan kenaikan harga sayuran masa kini, dirasakan industri cendawan ini mampu memberi pulangan yang lumayan kepada para pengusaha terutama kepada pengusaha yang dapat meneroka pasaran sendiri.
Ini memandangkan harga cendawan kini di pasaran telah menjangkau sehingga RM12 sekilogram.
Dengan mempelajari teknik penjagaan yang baik, hasilnya bukan sekadar dapat dinikmati sekeluarga, malah ia mampu menjana pendapatan sampingan terutamanya kepada kaum ibu, pesara, para belia dan siswazah menganggur.
Bagi mereka yang ingin mengusahakan pada skala sederhana atau besar, garis panduan mengenai penyediaan dan ukuran tepat rumah cendawan juga diketengahkan.
Pelbagai contoh rumah cendawan dipaparkan untuk rujukan pengusaha.
Pada dasarnya ruang atau rumah cendawan yang berukuran 20 x 50 kaki mampu memuatkan 10,000 hingga 15,000 beg cendawan manakala keluasan ruang antara 20 x 15 kaki pula mampu menampung 3,000 hingga 4,500 beg cendawan.
Rumah cendawan tidak sesuai terlalu besar kerana sukar untuk mengawal jangkitan pencemaran.
Bagi yang ingin mengusahakannya secara kecil-kecilan, konsep ruang yang sama boleh diubah suai mengikut jumlah cendawan yang hendak dihasilkan.
Rak cendawan juga boleh dibina mengikut kreativiti sendiri. Bagaimanapun asas binaan haruslah mempertimbangkan aspek kebersihan dan kemudahan ketika tuaian.
Penggunaan atap dan dinding berjaring juga penting bagi menjamin kelembapan.
Begitu juga dengan saiz rak cendawan.
Kedudukan rak yang terlalu rendah ke lantai akan menyebabkan kekotoran mudah hinggap di beg cendawan dan merosakkannya.
Tingkat rak yang terlalu tinggi pula akan menyukarkan proses mengutip hasil.
Dalam situasi menghadapi krisis pemakanan dan kenaikan harga barangan mentah, jangan membatasi kehendak kita untuk bercucuk tanam di rumah sendiri. Kita mampu berjimat cermat dengan menanam hasil sayuran sendiri.
1 ulasan:
salam....ada lg x cd ini??
Catat Ulasan