Sabtu, November 02, 2013

HOKTO perintis bawa cendawan Maitake ke Malaysia


Ted Yamamoto (tengah) bersama-sama kakitangan pengurusan kanan HOKTO Malaysia Sdn. Bhd. menunjukkan cendawan Maitake yang telah dibawa masuk ke Malaysia tahun ini pada majlis pelancarannya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 27 Okt. - HOKTO Malaysia Sdn. Bhd. (HOKTO Malaysia), anak syarikat kepada HOKUTO Corporation dari Jepun telah telah membawa masuk cendawan Maitake untuk pasaran Malaysia, bermula tahun ini.

HOKTO Malaysia kini merupakan satu-satunya syarikat yang mengimport dan membekalkan cendawan Maitake ke Malaysia.

HOKTO Malaysia dalam kenyataan di sini menyatakan, cendawan Maitake yang juga dikenali sebagai raja cendawan kini dijual di semua pasar raya AEON serta BIG (Ben's Independent Grocer) di Publika.

Jelas kenyataan itu, tidak lama lagi, cendawan tersebut boleh didapati di pasar raya terkemuka lain seperti Jaya Grocer, Grocer Village, Cold Storage, AEON BIG, Tesco dan ISETAN .

"Selain dijual di pasar raya, cendawan Maitake juga dibekalkan ke hotel-hotel dan restoran-restoran Jepun yang beroperasi di seluruh negara,'' kata kenyataan itu.

HOKTO Malaysia kini mengimport satu tan cendawan Maitake sebulan dari ladang-ladang cendawan Maitake di Jepun.

Bergantung kepada permintaan selepas pelancarannya, peningkatan jumlah import oleh syarikat boleh mencecah 20 tan metrik sebulan.

Tambah HOKTO Malaysia, syarikat menjangkakan jualan cendawan Maitake akan menyumbang kira-kira 20 peratus kepada hasil jualan keseluruhan.

Syarikat setakat ini telah mengedarkan tiga jenis cendawan di Malaysia iaitu Bunashimeji, Bunapi dan yang terkini Maitake, tambah kenyataan itu lagi.

Pengarah Urusan HOKTO Malaysia, Ted Yamamoto berkata, pihaknya akan memulakan pengeluaran cendawan Bunashimeji dan Bunapi di kawasan kemudahan pertanian seluas 2.4 hektar di Bandar Enstek, Sepang, Selangor bermula Oktober tahun depan, namun cendawan Maitake tetap akan diimport dari Jepun.

"Jika sambutan yang diberikan amat menggalakkan, kami mungkin mempertimbangkan untuk mengeluarkannya di sini pada masa akan datang ," ujarnya.

Maitake mempunyai rasa semula jadi, tekstur yang rangup dengan aroma yang terbaik.

Cendawan itu sesuai dengan apa-apa jenis masakan dan kaedah masakan.

Saiz purata cendawan Maitake mempunyai berat kira-kira 100 gram.

Maitake juga sangat kaya dengan vitamin D dan ia terkenal dalam membantu untuk menguatkan tulang dan otot.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20131028/ko_04/HOKTO-perintis-bawa-cendawan-Maitake-ke-Malaysia#ixzz2jPmHDbkF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

a> Related Posts with Thumbnails