Khamis, September 22, 2011

Ling zhi bukan cendawan biasa

BENTUK cendawan ling zhi memang kurang menarik tetapi khasiatnya luar biasa.


CENDAWAN ling zhi atau Ganoderma lucidum ialah sejenis herba yang cukup popular. Cendawan itu berwarna merah dan perang serta berkilat. Saiznya juga agak besar berbanding cendawan biasa menyebabkan ia kurang mendapat perhatian. Namun, khasiatnya cukup banyak.

Khasiatnya diperakui berabad lamanya sejak zaman Dinasti Shu di China iaitu kira-kira 2,400 tahun lalu.

Ketika itu hanya mereka yang berstatus maharaja atau keluarga diraja sahaja yang mampu mendapatkannya kerana harganya yang mahal. Dengan bahan aktif yang dikenali sebagai polisakarida, berupaya menguatkan sistem imun, ling zhi boleh dijadikan langkah awal untuk menghalang dan merawat kanser, antialergi, antiradang, antiviral, antibakteria dan antioksidan.

Ada yang mengatakan seseorang perlu mendaki gunung dan meredah rimba bagi mendapatkan cendawan ling zhi.

Namun, hari ini kita tidak perlu lagi bersusah-payah mendaki gunung atau masuk ke dalam hutan untuk mendapatkan ling zhi.

Jaga kesihatan


CHENG (kiri) bersama beberapa produk makanan kesihatan cendawan tersebut yang dikeluarkan oleh syarikatnya, Ganofarm Sdn. Bhd. bersama Dr. Noorlidah.


Cendawan itu kini ditanam secara komersial di beberapa buah negara seperti China, Jepun dan Amerika Syarikat. "Di Malaysia tidak ramai yang menanam cendawan ini kerana pasarannya kurang memberangsangkan," kata Prof Dr. Noorlidah Abdullah dari Institut Sains Biologi Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.

Beliau yang juga mengamalkan minuman ekstrak ling zhi berkata, ia sangat baik untuk menjaga kesihatan.

Polisakarida, bahan aktif yang terdapat dalam ling zhi berupaya menguatkan sistem imun tubuh. Ling zhi boleh dijadikan langkah untuk mencegah kanser, bertindak sebagai antialergi, antiradang, antiviral, antibakteria dan antioksidan," katanya.

Selain itu, ling zhi mempunyai antioksidan paling tinggi berbanding cendawan lain.

Antioksidan boleh menyingkir radikal bebas yang terbentuk dalam badan melalui metabolisme tubuh. Radikal bebas akan merosakkan lipid pada membran sel dan asid deoksiribunokliek (DNA). Jadi apabila berlakunya serangan, tubuh boleh terdedah kepada penyakit seperti jantung, artritis dan penyakit lain.

"Penyakit-penyakit ini timbul apabila umur meningkat akibat kekurangan antioksidan. Kalau amalkan ling zhi, sistem imun kita akan sentiasa tinggi dan dapat melindungi diri daripada serangan pelbagai penyakit," kata Dr. Noorlidah.

Ling zhi juga katanya, baik untuk paru-paru dan hati kerana ia meningkatkan proses detoksifikasi.

Menurut Dr. Noorlidah, ling zhi boleh memberi harapan kepada pesakit diabetes. Ling zhi dipercayai berupaya mengelakkan pesakit diabetes daripada 'kehilangan kaki' dan ini diakui pengusaha cendawan, Ganofarm Sdn. Bhd., P.G. Cheng.

Keberkesanan cendawan

Berkelulusan ijazah sarjana muda kimia, Cheng yang menanam ling zhi sejak tujuh tahun lalu berkata, pengalaman berurusan dengan pesakit diabetes sebelum ini, membuktikan keberkesanan cendawan itu.

"Ada seorang pak cik di Alor Setar, Kedah kakinya hampir dipotong disebabkan luka. Lukanya menjadi teruk disebabkan dia ada penyakit diabetes.

"Namun, selepas mengamalkan ling zhi, kaki pak cik itu dapat diselamatkan dan tidak perlu dipotong," katanya.

Selain selalu menerima kedatangan pesakit diabetes ke ladangnya di Tanjung Sepat, Selangor pesakit hipertensi dan ekzema juga mendapatkan produk yang diperbuat daripada ling zhi. Cheng berkata, terdapat kajian yang mendedahkan ling zhi dapat meningkatkan sistem imun pesakit HIV/AIDS.

"Pesakit HIV/AIDS berhadapan situasi sistem imun rendah. Ada satu kajian mendedahkan, kualiti kehidupan mereka yang mengambil ling zhi semakin baik," katanya.

Faktor harganya yang mahal menyebabkan tidak ramai yang mampu membeli ling zhi. Atas sebab itulah, Cheng terdorong untuk menanam ling zhi dan menghasilkan produk sendiri serta tidak menggunakan khidmat orang tengah untuk mengurangkan kos.

Atas sebab itulah, produk ling zhi yang terdapat di kedainya seperti pencuci rambut, minuman kesihatan dan kapsul dijual pada harga berpatutan, "Sebelum ini, untuk mendapatkan produk ling zhi perlu melalui ejen tertentu dan harganya sangat mahal. Disebabkan itu, saya memilih untuk menanam cendawan ling zhi dan menghasilkan pelbagai produk berasaskannya.

Sebelum ini Cheng pernah menjual ling zhi segar, namun pulangannya kurang memberangsangkan.

Beliau turut kesal kerana terdapat sesetengah pihak mengambil kesempatan menjual ling zhi palsu di pasaran.

"Ling zhi asli apabila direbus, rasanya sangat pahit. Pernah sekali saya pergi ke sebuah pasar, penjual itu mengatakan bahawa dia menjual ling zhi.

"Ia kelihatan seakan-akan ling zhi asli, tetapi apabila ditanya sama ada ia pahit atau tidak, penjual itu kata tidak. Dari situ kita tahu itu bukanlah ling zhi asli," katanya. - Bernama

Jumaat, Ogos 12, 2011

Modal kecil, untung besar

Oleh NORZAINURA ABDUL MAJID
utusanjohor@utusan.com.my



Salleh Mahmud memeriksa cendawan yang diusahakannya di Kampung Sungai Bagan Laut Rengit, Batu Pahat, baru-baru ini.


BATU PAHAT 11 Ogos – Mahu keluar daripada belenggu kemiskinan menjadikan dia seorang yang tabah dan rajin berusaha untuk memajukan diri dan memperbaiki taraf hidup keluarga.

Salleh Mahmud, 54, dari Kampung Sungai Bagan Laut Rengit, mula berusaha menanam cendawan kerana minat, tambahan pula ia tidak memerlukan modal besar selain mendapat permintaan tinggi.

Bermula dengan modal RM500, dia mula menanam cendawan di hadapan rumahnya tiga tahun lalu dengan mendirikan sebuah bangsal kecil, tetapi usaha itu gagal menghasilkan cendawan yang baik kerana tidak mempunyai kemahiran dan pengetahuan mengenai kaedah penanamannya.

Namun, kegagalan itu tidak mematahkan semangatnya, malah kerugian dialami dijadikan pendorong untuk terus berusaha menjadi pengusaha cendawan yang berjaya.

“Saya terlalu minat dengan penanaman cendawan. Jadi, saya tak pernah rasa kecewa dan putus asa dan terus berusaha supaya tidak gagal lagi,” katanya dengan penuh semangat.

Dia kemudiannya disyorkan oleh seorang kenalan untuk mengikuti kursus penanaman cendawan di bawah seliaan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Bermula dari situ, dia mula mendapat cara yang betul untuk menanam cendawan dan susun atur tanaman itu kemudiannya diusahakan dengan penuh dedikasi.

Kini Salleh mampu tersenyum dan berasa bangga dengan hasil usahanya selama ini membuahkan hasil serta mendapat pulangan baik apabila cendawan keluarannya mendapat permintaan memberangsangkan.

Dibantu dua anaknya, Nur Muhammad, 27, dan Mohd. Nasiruddin, 23, kini dia berjaya menghasilkan cendawan tiram berkualiti dan mendapat pasaran yang baik di negeri ini.

Perusahaan tersebut turut mendapat bantuan daripada MARDI yang sentiasa memantau projek tanaman cendawannya di bawah program Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan kini antara pembekal cendawan terbesar di negeri ini.

Salleh memberitahu, kursus seliaan MARDI menjadikannya seorang penanam cendawan yang berjaya dan menerima pelbagai bantuan.

Berkat usaha gigihnya, dia kini mempunyai sebuah bangsal cendawan yang memuatkan 12,000 beg cendawan berukuran 20 x 40 kaki, makmal benih, bilik suntik dan ruang operasi untuk membuat bongkah cendawan dan ruang pengeluaran.

“Saya berhasrat menambah tiga lagi rumah cendawan bagi menambah pengeluaran kerana pada masa ini hasil yang ada tidak dapat memenuhi permintaan,” katanya.

Setelah setahun serius mengusahakan tanaman cendawan, dia mampu mengeluarkan antara 10 hingga 15 kilogram cendawan sehari untuk dipasarkan di seluruh negeri dan kebanyakan cendawannya telah ditempah lebih awal oleh peraih.

sumber: Utusan Malaysia


Selasa, Julai 12, 2011

Cendawan Susu Rimau



Nama Tempatan:

Cendawan susu rimau
Nama Saintifik:Lignosus rhinocerus
Nama Lain:Cendawan susu harimau, kulat susu rimau.
Famili:
Lokasi dijumpai:Seluruh Malaysia
Asal:

Keterangan:

Cendawan susu rimau atau cendawan susu harimau (Lignosus rhinocerus) merupakan cendawan herba yang boleh ditemui di muka bumi negara kita. Menurut penceritaan orang asli, cendawan ini dipercayai tumbuh di atas titisan susu harimau yang jatuh ke bumi semasa ibu harimau menyusukan anaknya.

Ubi (sclerotium) berwarna putih akan terbentuk dan tertanam di dalam tanah untuk suatu jangka masa yang agak lama. Kadang-kalanya berbulan-bulan, bertahun-tahun atau berabad lamanya. Apabila tiba masanya, ianya akan bercambah keluar dan membentuk payung cendawan yang berkembang mekar.

Menurut kepercayaan, hanya orang yang bertuah dan dimurahi rezeki sahaja yang akan menemui cendawan ini.


Kegunaan:

Cendawan susu rimau mempunyai pelbagai khasiat yang menakjubkan. Sejak sekian lamanya, ianya digunakan sebagai herba tradisional untuk mengubati pelbagai masalah kesihatan. Bahagian ubi cendawan susu rimau yang dipercayai mempunyai khasiat perubatan. Pengamal perubatan traditional masyarakat Melayu menggunakannya untuk mengubati barah payudara, barah rahim, penyakit ulser usus, penyakit buah pinggang, dan bengkak-bengkak mata dan di seluruh badan.

Manakala pengamal perubatan traditional masyarakat Cina pula menggunakannya untuk mengubati dermam, lelah, ashma, menigkatkan sistem immunologi dan menguatkan kesihatan badan.

Khamis, Mei 12, 2011

Benih perintis cendawan berkualiti

Sering berdepan dengan masalah benih yang kurang bermutu tinggi untuk perusahaan tanaman cendawannya, Pengarah Urusan Mofamag Resources, Zulkifli Arif Mohd Nafiah sanggup 'menggali' lagi ilmu berkenaan penanaman spesies berkenaan sehingga beliau berjaya menghasilkan benih berkualiti tinggi serta tahan lasak terhadap cuaca yang ekstrem, sekali gus dapat membantu pengusaha lain bagi menghasilkan cendawan terbaik.

Pada pembentangan belanjawan 2011 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Oktober tahun lalu, sejumlah RM6 billion diperuntukkan untuk sektor pertanian tahun depan dengan transformasi sektor itu akan dipergiatkan lagi bermula dari peringkat tanaman sehingga pemasaran hasil pertanian.

Daripada jumlah tersebut, sejumlah RM149 juta peruntukkan diberikan untuk membangunkan industri tanaman makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, perladangan organik, herba, rumpai laut dan sarang burung walit.

Pengarah Urusan Mofamag Resorces, Zulkifli Arif Mohd Nafiah, tidak melepaskan peluang untuk memajukan perusahaan cendawannya selaras dengan peruntukan tersebut.

Perusahaan cendawannya yang berusia hampir tujuh tahun kini melangkah setapak lagi apabila syarikatnya bakal bekerjasama dengan jabatan kerajaan dan universiti tempatan bagi menghasilkan benih cendawan berkualiti.

"Dalam perusahaan cendawan ini, benih merupakan faktor terpenting untuk mwnghasilkan cendawan yang berkualiti tinggi, tahan lasak dengan perubahan cuaca ekstrem," katanya kepada InfoAgro ketika ditemui di Puchong, Rabu lalu.

Menurutnya, walaupun kerja memproses bongkah dilakukan sebaik mungkin, ia tidak akan menghasilkan cendawan yang berkualiti sekiranya benih digunakan adalah bergred rendah.

"Saya berharap, daripada kerjasama ketiga-tiga pihak, penghasilan benih daripada kultur tisu dapat dilakukan dengan bantuan teknologi, peralatan, makmal dan pengetahuan yang diberikan,"katanya.

Beliau berkata, sepanjang tujuh tahun terlibat dalam tanaman cendawan, benih menjadi penyumbang peratusan yang tinggi kepada kegagalan untuk menghasilkan tuaian yang baik.

"Pada masa ini, kami (pengusaha cendawan) sangat bergantung kepada benih yang diimport dari Thailand, Indonesia, selain hanya sebilangan kecil pengusaha Cina tempatan yang turut menawarkannya,"katanya.

Zulkifli berkata, beliau bersedia menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berminat bagi membantu memajukan industri tanaman cendawan tersebut.

PASARAN, POTENSI CENDAWAN

"Permintaan terhadap cendawan pada masa ini begitu tinggi sehingga melebihi penawaran sedia ada dan negara kita terpaksa mengimport untuk memenuhinya,"katanya.

Beliau berkata, mengikut sejarah permintaan terhadap cendawan tidak pernah menurun malah sentiasa meningkat.

"Di negara ini, cendawan mula ditanam untuk komersil sejak sebelum merdeka lagi dan sehingga kini, perusahaan serta perniagaan ini berkembang dengan baik, ada sahaja mereka yang berminat untuk mengusahakannya,"katanya.

Oleh sebab cendawan menjadi makanan kegemaran dan pilihan rakyat, Zulkifli berkata, Najib tidak ketinggalan memberi peruntukan kepada sektor pertanian khasnya industri tanaman makanan seperti cendawan.

"Apa yang boleh saya kata, pasarannya amat luas disokong dengan permintaan yang tinggi. Mofamag Resources yang menggunakan jenama Cendawan Puchong juga tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan,"katanya.

Menurutnya, harga pasaran semasa adalah sekitar RM10 dan RM11 sekilogram namun ia mampu mencecah sehingga RM15 sekilogram bergantung kepada lokasi.
"Biasanya kawasan perumahan elit seperti Damansara, Bandar Baru Bangi, harganya mencecah RM15 sekilogram.

"Terdapat lebih 30 pengusaha berada di bawah Mofamag resources yang aktif mengusahakan cendawan komersil, sekali gus membantu meningkatkan pengeluaran tanaman ini,"katanya.

PUSAT SEHENTI CENDAWAN

Bagi mengembangkan perusahaan dan perniagaan cendawannya, Zulkifli merancang untuk membina pusat sehenti cendawan di Meru, Klang bagi menambahkan pusat sehenti sedia ada di Puchong.

"Ia akan menjadi hab kepada peruncit, pemborong, peraih, pengusaha dan individu untuk mendapatkan material berasaskan cendawan seperti benih, bongkah, cendawan, mesin malah khidmat nasihat,"katanya.

Menurutnya, pada masa sama, Mofamag Resources merancang untuk mewujudkan pusat sehenti di negeri-negeri lain apabila Cendawan Puchong berjaya menembusi pasaran kelak.

Zulkifli menyifatkan cendawan merupakan tanaman yang istimewa kerana ia mempunyai kelebihan tersendiri berbanding tanaman lain.

"Tanaman cendawan tidak memerlukan ruang yang luas, malah penghuni rumah pangsapuri boleh menanamnya di ruang sempit dengan syarat mempunyai kelembapan tinggi seperti bilik air dan bawah singki,"katanya.

Menurutnya, tanaman ini tidak memerlukan kos tinggi kerana harga pasaran bagi bongkah cendawan matang hanya RM1.30 sebongkah dan boleh diguna sehingga enam kali pengeluaran.

"Setiap pengeluaran, hasilnya sehingga 50 gram dan jangka hayatnya adalah tiga bulan,"katanya.

Beliau berkata, selain harga jualan dan permintaan yang meningkat, cendawan juga mempunyai nilai perubatan dan kesihatan untuk tubuh badan manusia.

"Cendawan mampu mengawal dan merendahkan tekanan darah, kandungan gula dan lipid serta anti thrombotik.

"Ia juga membantu meningkatkan sistem imun untuk melawan jangkitan virus dan bakteria serta pelbagai lagi khasiat,"katanya.

BERMULA DENGAN SARANAN RAKAN

Mengimbau kembali sejarah pembabitannya dalam 'dunia cendawan', Zulkifli berterima kasih kepada rakannya yang memperkenalkan cendawan kepadanya pada 2005.

"Beliau yang memberi idea kepada saya untuk menceburi industri tanaman cendawan dan mengikuti kursus cendawan di Kulai, Johor.

"Pada waktu itu, saya masih bekerja sebagai Pegawai Kanan Jabatan Pemantauan dan Perancangan sebuah syarikat di Bangi dan melakukan tanaman ini secara sambilan bermodalkan RM 15,000,'katanya.

Menurutnya, selepas perusahaanya menjadi, Zulkifli belajar cara memproses bongkah dengan pengusaha Cina tempatan.

"Bukan itu sahaja, komited dengan tanaman ini, saya turut menimba ilmu sehingga ke Thailand untuk memahami selok-belok cendawan.

Melihat kepada potensinya, beliau melepaskan jawatan di syarikat dengan gaji tinggi untuk mengusahakannya secara sepenuh masa pada Mei 2009.

"Alhamdulillah, setakat ini, saya mampu mengembangkan perusahaan tanaman cendawan dengan membuat perniagaan yang berkaitan cendawan seperti membekalkan mesin, membuka kedai runcit dan sebagainya,"katanya.

sumber: Sinar Harian

Rabu, Mei 11, 2011

Sup cendawan berkrim



Sup Cendawan


SOALAN

Terdapat pelbagai jenis cendawan yang boleh dimakan kecuali truffle. Mengapa agaknya cendawan tersebut tidak sesuai dimakan.

Cik S,

Klang, Selangor.

Jawapan

Truffle (sebutan sebagai trafel) merupakan sejenis cendawan liar yang tumbuh dalam tanah sedalam lebih kurang 30 sentimeter berhampiran pokok seperti oak, hazel, pine birch dan hornbeam. Kebanyakan truffle tumbuh dalam tanah di celah-celah akar pokok supaya ia mendapat sumber nutrien daripada pokok tersebut.

Terdapat dua jenis truffle iaitu yang berwarna putih dan berwarna hitam. Harga truffle sangat mahal. Sekilo cendawan ini boleh mencecah ribuan ringgit. Truffle banyak digunakan dalam masakan barat seperti membuat salad dan pasta.

Oleh kerana tumbuhan ini tumbuh dalam tanah ia menyukarkan untuk usaha mencarinya. Maka khidmat khinzir dan anjing terlatih digunakan untuk mencarinya kerana deria bau oleh kedua-dua binatang ini sangat tajam dan kedua-duanya memang pakar mencari truffle.

Bagaimanapun pencari truffle lebih suka menggunakan anjing kerana khinzir suka makan truffle yang dicari jadi untuk mengelakkan kerugian khidmat anjing menjadi pilihan.

Berkaitan dengan soalan Cik S, truffle itu akan menjadi haram sekiranya ia dicari oleh anjing atau khinzir. Perkara ini akan membuatkan ia haram digunakan oleh orang Islam.

Soalan

Bolehkah saya tahu bagaimana cara membuat sup cendawan? Anak saya suka makan, tapi saya hanya berikan mereka sup segera dari dalam tin atau paket.

Zureane Mohamad Arbe,

zureane@yahoo.com.my.


Jawapan

Membuat sup cendawan sungguh mudah. Jenis sup cendawan berkrim merupakan yang paling digemari oleh orang ramai.

Sup yang dibuat sendiri adalah lebih sihat selain dapat menjimatkan kos membeli sup-sup segera di pasaran. Dalam membuat sup cendawan, anda boleh menggunakan pelbagai jenis cendawan.

Sekiranya anda mencampurkan pelbagai jenis cendawan, sup anda akan berasa lebih enak. Anda boleh cuba membuat resipi yang saya kongsikan ini. Selamat mencuba!

a> Related Posts with Thumbnails