HALAMAN rumah yang krew Jejak Asnaf datangi kali ini tidaklah
begitu besar, sekadar mampu memuatkan dua buah kenderaan sedan sahaja.
Namun, di sekeliling kaki limanya dihiasi dengan pokok-pokok bunga
beraneka jenis dan warna, sama ada berpasu atau di dalam tanah.
Keredupan juga memayungi bahagian sisi rumah kirinya, kerana pepohon
sawit hidup subur di sana. Mata merasa tenang dan ingin segera
berkenalan dengan pemilik tuan rumah ini di Tanjung Karang Selangor.
Marilah kita berkenalan dengan Junainah Nawari, 50 dan anak terunanya, Mohd. Saidatul Akmal Abdul Kadir, 25, yang bakal menghiasi segmen Jejak Asnaf buat kali ini.
"Menanam cendawan ini memang kena pandai. Saya hanya berkursus
separuh hari sahaja di MARDI, selebihnya saya baca sendiri di Internet.
Memang banyak benda kena cari sendiri. Misalnya, kriteria benih yang
baik itu bagaimana, siapa pembekalnya, apa keadaan yang sesuai untuk
cendawan, cara penjagaannya, waktu sesuai untuk memetiknya dan
bermacam-macam lagi," kata Akmal
Riuh suara Akmal, seorang anak muda lulusan Ijazah Pengurusan
Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM) memberitahu kepada kami
tentang usaha membekalkan cendawan yang kini dilagang bersama ibunya,
seorang wanita yang punya banyak cerita untuk dikongsi bersama.
Kami langsung dibawa meneliti dua buah bangsal bertirai kain net
hitam yang jarang. Di sana, ada ribuan beg cendawan yang bersedia
mengeluarkan hasilnya pada bila-bila masa sahaja.
"Cendawan ini memerlukan kawasan yang lembap, jika panas kering tidak
sesuai. Tapi jangan sampai basah sangat hingga air masuk ke dalam
begnya, benih akan rosak. Jika ditimpa penyakit, lagilah kena
berjaga-jaga, kerana ia akan melarat dan merosakkan semua benih."
Ceritanya, usai pengajian di UUM pada 2011, lamaran mencari pekerjaan
masih belum berjawab. Untuk itu Akmal menuntasi waktu terluangnya
membantu ibu, seorang asnaf yang membangunkan perniagaan cendawan.
Ternyata, perniagaannya kian maju sehinggakan pasaran begitu luas dan
mereka sendiri tidak mampu melayaninya. Mungkin Akmal perlu berfikir
untuk mempraktikkan sahaja ilmu yang dikejarnya di menara gading tanpa
berharap merealisasikannya di tempat lain.
Namun, sebelum kita lebih teruja meneliti keseronokan Akmal dan
ibunya dengan bisnes cendawan mereka, mari kita jengah sebentar kisah
silam mereka. Ini akan menginsafkan kita, bahawa kekuatan diri yang
melatari kehidupan mereka adalah ubat mujarab membangunkan jiwa mereka
selama ini.
"Sejak kematian suami pada 1990, saya sedar bahawa saya perlu
membesarkan dua orang anak lelaki bersendirian. Namun, di sebalik ujian
itu, saya tidak pernah mengharapkan kepada sesiapa pun untuk membesarkan
mereka. Malah saya berpesan kepada anak-anak, kita mesti berusaha
sendiri, jangan suka mengharapkan simpati orang," Junainah bercerita.
Begitulah, di sebalik kesenangan hari ini, pasti ada suatu kenangan menggugah jiwa dahulunya.
"Waktu itu usia saya sendiri masih muda. Baharu 28 tahun dan suami
saya baharu 36 tahun. Kematian suami amat tiba-tiba kerana dia terlibat
dalam kemalangan jalan raya. Selepas itu, demi meraih rezeki yang halal,
saya menggagahkan diri melakukan apa sahaja jenis pekerjaan yang
halal," kata Junainah.
Baginya itu bagaikan menjadi baja yang menyuburkan semangatnya untuk terus berjaya.
"Saya pernah bekerja di rumah dengan mengambil upah memasang paku
pada pin pelekat wayar elektrik dari sebuah kilang, malah masa senggang
saya tidak sia-siakan dengan menanam pelbagai jenis sayur-sayuran di
tanah yang luas di belakang rumah.
"Malah saya ambil barang-barang keluaran syarikat tertentu dan jual dari rumah kepada mereka yang berminat.
"Alhamdulillah, pendapatannya biar pun tidaklah sebesar mana, namun
saya dapat bertahan sehingga mampu membesarkan dua orang anak," katanya.
Ternyata, anak sulung Junainah, Mohd. Shahmuzir al-Azizul Ain, 26,
juga tidak mengecewakannya. Dia kini merupakan seorang pegawai polis dan
sedang melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam
Diploma Pendidikan Islam.
"Saya dan anak-anak mulai mendapat bantuan zakat sejak 2002, iaitu
selepas pihak amil di kampung ini mengenal pasti keadaan kami. Jika
tidak mereka yang datang, saya tidak akan pergi memohon bantuan, kerana
saya memang tidak mahu meminta kepada sesiapa. Awalnya, kami hanya
diberikan bantuan raya dan persekolahan sahaja.
"Kemudian, apabila anak kedua saya, Akmal melanjutkan pelajaran di
UUM, pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) terus membantu dengan
menyalurkan dermasiswa zakat kepadanya sepanjang pengajian," ujarnya.
Ternyata Akmal juga anak yang pintar dan pernah dianugerahkan
Anugerah Dekan pada semester terakhirnya pengajiannya, iaitu pada 2011.
"Pada 2012, selepas emak dibantu pihak MARDI mengusahakan cendawan ini, pihak LZS datang dan melihat boleh dikembangkan lagi.
"LZS salurkan dana RM14,775 lagi, dalam bentuk barangan dan modal
tunai. Alhamdulillah, lagi lajulah perniagaan kami," ujar Akmal.
Kini, dua beranak itu sibuk menguruskan bangsal cendawan milik mereka yang sudah pun berjumlah lebih 8,000 beg cendawan.
Pendapatan yang diperoleh juga kian memberangsangkan, malah Akmal
sudah berkira-kira mahu melebarkan perniagaan cendawannya dan
menggajikan beberapa orang untuk membantunya.
"Saya bersyukur dengan bantuan zakat ini. Mudah-mudahan, rezeki kami
dan rezeki semua pembayar zakat akan terus diberkati Allah," tuntas
Junainah sambil membungkuskan beberapa plastik cendawan untuk diberikan
kepada kami sebagai hadiah perkenalan.
Nota: Kini pasaran cendawan mereka sudah ke merata tempat di Tanjung
Karang dan kawasan sekitarnya dan mereka boleh dihubungi di talian
013-464 7405 (Akmal).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan