Ahad, Jun 09, 2013

Proses pemeraman dan kutipan hasil cendawan



Pemeraman bongkah cendawan yang disuntik benih

Beg cendawan yang telah dimasukkan benih akan disimpan selama satu malam dan dibawa masuk ke dalam bilik cendawan untuk disusun di atas rak cendawan pada keesokan harinya. 

Sebelum beg disusun, kapur akan ditabur di atas rak kayu yang berfungsi untuk membunuh bakteria yang berada di sekitar rak yang mudah membiak di kawasan lembap dan dibina berasaskan bahan kayu.

Beg cendawan yang baru diisikan benih akan disusun sehingga memenuhi seluruh ruang rak yang ada. Biasanya ia disusun secara bertindih dan mempunyai lapisan yang padat dan selamat agar tidak jatuh apabila usia beg semakin menyusut. 

Berat beg akan menyusut setiap kali beg mengeluarkan kuntuman cendawan dan menjadi semakin ringan sehingga menjejaskan kekukuhan susunan. Maka, beg yang disusun mestilah kemas dan kukuh untuk mengelakkan beg jatuh.

Jumlah lapisan rak yang sesuai adalah sebanyak 5 hingga 6 lapisan beg cendawan. Lapisan ini sangat stabil dan selamat untuk meletakkan beg media dalam rumah cendawan.

Proses Pengembangan Misilium

Sebaran benih atau misilium bermula sehari selepas benih disuntik ke dalam mulut beg cendawan. Purata serakan benih berkembang sehari adalah 0.83cm untuk memenuhi keseluruhan beg media setelah diletakkan di dalam rumah cendawan sehingga hari ke 45 hingga 60 tempoh pengeraman.



Tahap Kematangan Cendawan

Tempoh tuaian pertama

Setelah hari ke 45-60 beg akan mula mengeluarkan pinical dan penutup suratkhabar mestilah ditanggalkan agar ia mudah untuk membesar dengan sempurna.

Pinical akan membesar dan menjadi bunga cendawan matang selepas tempoh 48-52 jam.

Sepanjang tempoh pembesaran daripada pinical hingga bertukar menjadi bunga cendawan yang matang untuk dituai, penjagaan dan kawalan suhu serta kelembapan adalah sangat penting.

Suhu yang terlalu tinggi dan kelembapan yang sedikit mampu menjejaskan pertumbuhan cendawan kerana ia akan melambatkan proses pertumbuhan cendawan dan menjadi terbantut. Di samping itu, semburan air ke atas bunga cendawan ketika suhu tinggi akan menyebabkan cendawan mengerekot dan bunga tidak mengembang dengan baik.



Aktiviti Semasa Menuai Cendawan

Membawa masuk bakul tuaian menggunakan kereta sorong ke dalam rumah cendawan.

Bakul-bakul tuaian dibawa masuk ke dalam bilik cendawan menggunakan kereta sorong dan dibawa masuk melalui tengah-tengah laluan di antara rak beg agar memudahkan proses kutipan dijalankan. Dua buah bakul akan dibawa oleh setiap kereta sorong yang dibawa masuk ke dalam blok rak cendawan dan dikendalikan oleh dua orang pekerja pada satu-satu masa semasa kerja menuai hasil dilakukan.

Tuaian akan dimulakan dari bahagian dalam hujung rak beg cendawan yang tidak mempunyai laluan dan dibawa keluar setelah setiap bakul dipenuhkan. Cendawan tersebut akan diletakkan pada laluan utama keluar dari dalam rumah cendawan untuk memudahkan proses mengangkut keluar setiap bakul yang telah penuh diisikan dengan cendawan.

Sebelum cendawan dibawa ke dalam bilik pembungkusan untuk proses seterusnya, ia akan dibiarkan berada di dalam rumah cendawan sehingga semua cendawan matang telah habis dipetik. Tujuan ia dilakukan adalah untuk:
  • Mengekalkan cendawan pada suhu dan kelembapan biasa yang diperlukan oleh cendawan sebelum proses seterusnya dilakukan.
  • Selain itu, ia dapat mengelakkan cendawan daripada menjadi kering dan rosak sekiranya terdedah kepada suhu yang tinggi dan kelembapan yang kurang sebelum proses selepas penuaian dilakukan di bilik pembungkusan.
  • Kaedah ini juga dapat mengelakkan penggunaan bilik sejuk yang lebih memakan kos yang tinggi.

Membuka penutup suratkhabar dan getah apabila cendawan mula mengeluarkan pinical.

Penutup suratkhabar haruslah ditanggalkan daripada beg cendawan apabila beg mula mengeluarkan pinical selepas hari ke-45 hingga 60 tempoh pengeraman agar pinical membesar dengan baik dan mengelakkan pinical daripada rosak.

Memetik cendawan

Cendawan yang telah matang haruslah dipetik untuk mengelakkan ia daripada terus membesar dan menjadi rosak. Jika cendawan matang tidak dituai maka berat cendawan akan menyusut dan semakin ringan sehingga ia menjadi kering dan hilang kandungan air pada cendawan tersebut.

Cara memetik cendawan adalah:

Menahan menggunakan dua jari pada plastik tepi leher beg dan menarik batang berdekatan akar pada leher beg cendawan pada masa yang sama.

Menarik keluar akar cendawan dengan berhati-hati perlu dilakukan supaya struktur pada beg plastik dengan misillium sedia ada tidak terjejas. Jika struktur tersebut rosak iaitu terpisah antara bahan dalam beg dan beg plastik tersebut, maka pertumbuhan cendawan seterusnya akan terjejas kerana misillium memerlukan masa untuk kembali pulih dan mengeluarkan pinical baru pada keadaan yang unaerobic. Ia melambatkan pertumbuhan cendawan yang baru dan

Menanggalkan leher

Setelah cendawan dicabut daripada akarnya, leher beg haruslah dibuka untuk membenarkan beg mendapat air dan udara di persekitaran bilik cendawan dengan lebih baik untuk membantu penghasilan cendawan seterusnya.

Membuang sedikit tunggul/batang akar

Akar atau tunggul yang tertinggal pada batang beg haruslah dibuang dengan mengorek ia keluar menggunakan penggorek yang diperbuat daripada kayu atau kepala sudu. Menanggalkan batang akar mestilah dilakukan dengan cermat dan berhati-hati agar tidak merosakkan struktur beg yang terdedah. Ia bertujuan untuk menghasilkan pertumbuhan bunga baru yang lebih cepat dan stabil pada masa akan datang.

Mengorek terlalu dalam pada akar akan menyebabkan cendawan lambat mengeluarkan hasil seterusnya, manakala membuka mulut plastik terlalu luas akan mendedahkan beg pada serangga dan serangan ulat perosak yang memakan dedak pada beg cendawan termasuklah air akan memasuki beg cdwn secara langsung.

Memasukkan cendawan ke dalam bakul

Cendawan yang dipetik akan diletakkan di dalam bakul cendawan yang dibawa masuk menggunakan kereta sorong. Akar diasingkan dan diletakkan pada kereta sorong. Manakala leher dan penutup yang baru dibuka diletakkan pada bakul lain yang diletakkan pada kereta sorong pada masa yang sama.

Aktiviti yang terlibat:

  • Membersihkan hasil

Membuang akar dan kotoran pada cendawan

Akar cendawan perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum proses pembungkusan dilakukan menggunakan gunting. Akar yang perlu dibuang adalah akar yang digunakan oleh cendawan untuk berpaut di batang beg. Akar cendawan mengandungi serpihan dedak kayu dan lain-lain bahan daripada beg yang melekat pada akar batang tersebut.

  • Memilih cendawan yang rosak dan kering

Cendawan yang rosak dan kering perlu diasingkan sebelum proses pembungkusan dilakukan. Ini adalah bertujuan untuk mendapatkan cendawan yang berkualiti sahaja untuk dipasarkan.

  • Mengasingkan cendawan mengikut kategori

Cendawan yang telah dibersihkan haruslah diasingkan mengikut gred dan kualiti masing-masing. Cendawan yang elok perlu diasingkan daripada cendawan yang kurang elok kerana kualiti adalah berbeza. Langkah ini perlu diambil bagi pengeluar yang ingin memasarkan cendawan secara komersial.

  • Menimbang

Cendawan yang telah siap dipilih akan ditimbang mengikut ketegori berat bagi jualan yang diperlukan mengikut harga tertentu.

  • Membungkus

Setelah berat cendawan ditimbang, proses pembungkusan boleh dilakukan. Susunan bunga cendawan dalam plastik pembungkus mestilah kemas dan menarik supaya dapat menarik perhatian pembeli. Ia juga mesti dilakukan dengan berhati-hati untuk mengelakkan bunga cendawan pecah dan merekah semasa proses pembungkusan.

Cara menyusun cendawan di dalam plastik adalah dengan meletakkan bahagian muka bunga cendawan di sekeliling plastik agar ia dapat memperlihatkan bunga cendawan dari bahagian luar plastik. 

Tiada ulasan:

a> Related Posts with Thumbnails