Sabtu, Jun 01, 2013
Info tentang rumah cendawan
Terdapat dua aspek utama yang perlu ditekankan dalam pengendalian rumah cendawan iaitu persekitaran dan suhu dan kelembapan.
Persekitaran rumah cendawan yang kondusif untuk pertumbuhan cendawan adalah sangat penting. Penjagaan rumah cendawan yang sempurna dan penyediaan ruang yang bersesuaian sangat diperlukan. Selain itu, suhu dan kelembapan juga adalah faktor kritikal yang perlu dijaga untuk memastikan cendawan dapat menghasilkan pengeluaran yang baik.
a) Persekitaran
Bilik cendawan perlukan persekitaran yang bersih, tersusun dan bebas daripada bakteria, haiwan dan serangga perosak. Oleh itu, rumah cendawan perlu dijaga dengan baik dan sempurna.
Antara kawalan yang dilakukan untuk menjaga kebersihan di dalam rumah cendawan adalah seperti:
Meletakkan kapur di atas rak
Kapur perlu ditabur di atas rak yang kosong sebelum meletakkan beg cendawan baru. Tindakan ini bertujuan untuk membunuh bakteria yang terdapat di sekitar rak dan rumah cendawan. Selain itu, kawasan di sekitar rak beg cendawan yang dijangkiti penyakit juga akan diletakkan kapur untuk mengelakkan jangkitan kepada beg cendawan yang lain.
Meletakkan serai wangi di dalam rumah cendawan
Serai wangi perlu diletakkan di dalam rumah cendawan berfungsi untuk menghalau dan membunuh serangga kecil dan lain-lain haiwan perosak yang terdapat di sekitar rumah cendawan. Serai wangi tersebut akan dicampurkan dengan sedikit air dan diletakkan di dalam botol yang telah ditebuk sedikit lubang. Melalui lubang tersebut, bau serai wangi akan dapat disebarkan di sekitar rumah cendawan secara menyeluruh. Botol tersebut akan digantung di sudut depan setiap tiang rak beg cendawan.
Beg cendawan rosak dan tamat jangka hayat
Beg cendawan yang tamat jangkahayat, rosak, dijangkiti dan bermasalah haruslah diasingkan dan dibawa keluar agar beg media baru dapat dibawa masuk dalam rumah cendawan untuk menggantikan beg media yang lama. Ia juga dapat mengelakkan jangkitan bakteria daripada beg yang telah dijangkiti.
Penyediaan ruang yang sesuai
Ruang di dalam rumah cendawan perlu mencukupi untuk aktiviti pengurusan dan pengendalian setiap aktiviti yang berlaku di dalam rumah cendawan seperti penyimpanan beg media baru, penuaian hasil cendawan, penjagaan air dan pengurusan beg media yang telah tamat jangkahayat.
Rak Cendawan
Rak cendawan yang dibina haruslah mempunyai luas dan ketinggian yang sesuai untuk menyimpan beg cendawan. Di samping itu, rak juga perlu diletakkan pada jarak yang sesuai dan selesa untuk pengendalian bagi aktiviti penyimpanan beg media yang baru, menuai cendawan matang dan menyembur air.
Untuk penanaman berskala kecil, jarak diantara rak yang dibina sekurang-kurangnya boleh memuatkan seorang pekerja dengan membawa sebiji bakul dan membolehkan akiviti penjagaan tanaman dapat dilakukan dalam rumah cendawan dengan mudah.
Bagi penanaman berskala besar pula, jarak diantara rak haruslah membolehkan kerja-kerja penuaian dibuat dengan menggunakan kereta sorong oleh pekerja yang mengendalikan kerja-kerja tersebut.
b) Suhu dan Kelembapan dalam Rumah Cendawan
Suhu dan kelembapan adalah aspek penting yang perlu dititikberatkan dalam mengendalikan rumah cendawan kerana ia sangat mempengaruhi pertumbuhan cendawan dan hasil cendawan yang bakal diperolehi.
Persekitaran semulajadi iaitu suhu pada siang hari samaada pada hari panas dan hujan adalah mempengaruhi suhu dan kelembapan di dalam rumah cendawan secara langsung.
Selain itu, pemilihan reka bentuk dan bahan yang digunakan untuk membuat bangunan rumah cendawan juga menjadi faktor yang mempengaruhi suhu dan kelembapan dalam rumah cendawan. penting kerana ia akan mempengaruhi tumbesaran cendawan dan juga ketahanan beg media itu sendiri.
Bangunan yang dibina menggunakan konkrit
Faktor kelembapan akan dipengaruhi oleh suhu dan haba yang terperangkap di dalam rumah cendawan tersebut.
Secara teori, udara panas yang mempunyai ketumpatan yang rendah akan naik ke atas dan apabila udara tersebut menjadi sejuk iaitu dalam ketumpatan yang tinggi udara tersebut akan turun. Proses ini dipanggil proses perolakan. Selain itu, beg media tersebut akan mengeluarkan haba melalui pemecahan spora dan mengurangkan kelembapan dalam rumah cendawan.
Suhu dan kelembapan yang kondusif untuk pertumbuhan cendawan
Suhu yang sesuai untuk rumah cendawan adalah pada suhu bilik iaitu antara 25-27oC.
Manakala, kelembapan yang bersesuaian adalah antara 80-83 peratus kelembapan.
Perlu diletakkan alat penyukat suhu dan kelembapan di dalam rumah cendawan untuk mengetahui suhu dan kelembapan sebenar. Ia hendaklah diletakkan pada sudut bahagian tengah rumah cendawan.
Kaedah kawalan suhu dan kelembapan
Kaedah kawalan suhu dilakukan dengan beberapa cara seperti :
1) Air Paip Semburan
2) Air Hujan Tiruan
3) Kipas Udara
Air Paip Semburan
Oleh itu, kaedah pertama iaitu air paip semburan digunakan untuk mengatasi masalah ini. Semburan akan dilakukan dengan menyiram di hujung beg media dan juga lantai rumah cendawan. Kaedah ini akan mengurangkan jumlah udara yang panas naik ke atas.
Siraman air menggunakan paip semburan akan dilakukan sebanyak 5 kali dalam sehari iaitu pada jam 11.00am, 3.00 pm, 5.30pm dan 12.00pm dan 7.00am pada hari panas dengan suhu biasa 28º-32º untuk mengekalkan suhu pada 25º-30º.
Pada hari hujan sepanjang hari, siraman pada beg dan bunga cendawan akan dikurangkan, hanya lantai akan diberi air yang lebih.
Teknik menyembur air yang betul:
· Berdiri di tengah laluan antara rak cendawan sambil memegang paip semburan.
· Menyembur bahagian lantai sehingga betul-betul basah dan lembap.
· Selang-selikan semburan dengan menyembur ke arah beg cendawan untuk melembapkan sedikit beg cendawan.
· Elakkan menyembur air terlalu banyak pada bunga cendawan untuk mengelakkan bunga cendawan daripada basah, membesar dengan lebih cepat dan merekah.
· Pada hari panas, rumah cendawan perlu disiram air yang lebih dan pada hari hujan pula, air yang disembur ke atas beg cendawan mestilah dikurangkan.
Kipas
Kipas digunakan untuk membawa masuk udara yang sejuk daripada luar dan menyejukkan udara panas di dalam rumah cendawan. Proses perolakan berlaku secara gelora disebabkan udara daripada kipas tersebut. Sebahagian udara yang sejuk akan turun, manakala udara yang panas akan keluar melalui lubang di atas bumbung tersebut.
Air Hujan Tiruan
Hujan tiruan akan dipasang sewaktu cuaca panas kerana proses sinaran yang dipancarkan melalui matahari akan memanaskan lagi udara di dalam rumah cendawan. Air tersebut akan mengurangkan proses sinaran untuk menembusi bumbung. Udara panas yang masuk akan dikeluarkan oleh kipas.
Air tersebut akan mengurangkan proses sinaran untuk menembusi bumbung. Ia akan menyejukkan bumbung dan mengurangkan kepanasan dalam rumah cendawan.
Kesimpulannya, kaedah pertama iaitu paip semburan adalah kaedah utama digunakan dalam mengawal suhu dan kelembapan di dalam rumah cendawan.
Air yang disembur akan diberikan mengikut suhu dan kelembapan dalam rumah cendawan yang sentiasa berubah-ubah mengikut perubahan persekitarannya. Kaedah kedua dan ketiga digunakan sekiranya dinding rumah cendawan dibuat dengan menggunakan batu-bata dan bumbung adalah zink.
Ia sentiasa dilakukan sebanyak 5 kali sehari ataupun mengikut keperluan walaupun suhu kurang dari 27oC. Apabila suhu luar melebihi 29oC ke atas, kaedah kedua dan ketiga akan digunakan untuk mengekalkan kelembapan rumah cendawan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan