Peroleh RM5,000 tanam cendawan tiram kelabu
Wan Naimah mengumpulkan hasil yang dituai daripada rumah cendawan tiram kelabu yang diusahakan di belakang rumahnya di Lubuk Perah, Marang.
MARANG – "Saya tidak sesal tukar kerjaya dan tinggalkan ruang pejabat yang berpendingin hawa untuk ceburi bidang ini."

Demikian kata seorang wanita yang mengambil keputusan nekad meletakkan jawatan sebagai juruwang di sebuah syarikat kewangan untuk bergelumang dengan cendawan.

Wan Naimah Wan Mat Ali, 36, kini mampu tersenyum puas apabila menikmati pendapatan lumayan sejak membabitkan diri dalam penanaman cendawan empat tahun lalu.

"Kini hasil jualan tiram kelabu yang saya usahakan di belakang rumah mencecah RM5,000 sebulan, saya amat puas hati," katanya yang kini mempunyai empat buah rumah cendawan.

Kata Wan Naimah, dia menempatkan 15,000 kompos di setiap rumah cendawan dan mampu menghasilkan 880 kilogram setiap bulan.

Menurutnya, cendawan mendapat permintaan tinggi di pasaran dan dia tidak pernah mengalami masalah untuk memasarkan hasil tanamannya.

"Harga sekilogram  cendawan kini telah naik, sehingga RM10 dan permintaannya sentiasa meningkat di daerah ini," katanya.

Dia kini bangga kerana bukan sahaja mampu menikmati pendapatan yang lumayan namun boleh menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan muda di kampung itu.

"Saya mempunyai dua orang pekerja untuk membantu menuai cendawan dan memasarkannya, namun ada juga pelanggan yang datang terus ke rumah untuk mendapatkan bekalan," katanya.

Menurutnya, peluang untuk menyertai bidang itu masih cerah kepada bekalan cendawan kini masih belum mencukupi untuk memenuhi kehendak pasaran.

"Saya seru mereka yang berminat agar menceburi bidang ini kerana bekalan masih belum mencukupi untuk memenuhi permintaan pelanggan, pendapatan juga bagus," katanya.