Khamis, Oktober 05, 2017

Nekad jadi usahawan cendawan



LABIS 6 Sept. - Biarpun pernah memegang jawatan sebagai jurutera proses petroleum, namun wanita gigih ini tidak canggung untuk melakukan kerja berat yang menjadi rutin seorang peng­usaha cendawan tiram.

Rozita Mohd. Hatta, 36, gene­rasi kedua Felda Tenang, di sini mengakui kehidupannya berubah sepenuhnya selepas kehilangan kerja kesan daripada kejatuhan harga minyak dunia pada 2015.


“Memang saya terkesan apabila majikan hampir 10 tahun, iaitu syarikat petroleum yang berpusat di Singapura mengambil keputusan untuk mengecilkan operasi dan jumlah pekerja akibat kejatuhan harga pasaran minyak dunia ketika itu.

“Namun saya tidak panik kerana percaya rezeki ada di mana-mana dan apa yang pen­ting kita kena berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Justeru, dia nekad untuk mela­burkan kira-kira RM15,000 wang simpanannya untuk memulakan projek cendawan tiram dan cendawan kukur di tanah terbiar seluas 0.2 hektar yang terletak di hadapan rumah bapanya di Felda Tenang.

Untuk mendalami ilmu penanaman cendawan, Rozita sanggup berguru di Filipina dan mempelajari teknik terkini daripada rakan-rakannya di Thailand dan India.

Bermula dengan hanya 200 bongkah ketika memulakan usa­ha ter­sebut dua tahun lalu, kini dia yang dibantu dua adiknya serta beberapa lagi pekerja mempunyai kira-kira 1,000 bongkah cendawan ketika ini.

“Saya kini tidak lagi menumpukan kepada usaha mengeluarkan pelbagai jenis cendawan tiram dan cendawan kukur, malah sudah mula memasarkan bongkah yang sudah siap disuntik benih cendawan kepada pengusaha lain.

“Harga setiap bongkah antara RM2 hingga RM3.50 bergantung kepada jenis cendawan dan setiap bongkah boleh me­nge­luar­kan tiga kali hasil, iaitu kira-kira dua kilogram cen­dawan,” katanya.

Katanya, penghasilan bongkah perlu melalui beberapa proses seper­ti mengisi habuk kayu getah ke dalam beg plastik, kemudian dikukus selama tujuh jam sebelum disejukkan dan diperam untuk tempoh tertentu sebelum boleh disuntik benih cen­dawan dan dipindahkan ke dalam bangsal khas.

Selain cendawan ku­kur, dia turut mengeluarkan cendawan tiram putih, tiram kelabu, tiram kuning, tiram merah, abalon dan Ling Zhi yang dipasarkan sendiri kepada pengusaha makanan di beberapa daerah di negeri ini.

“Ketika ini, saya sedang dalam proses untuk menyiapkan sebuah makmal mini bagi tujuan penyelidikan serta usaha menghasilkan benih beberapa cen­dawan lain bagi mengembangkan lagi usaha ini pada masa akan datang.

“Alhamdulillah, setakat ini ermintaan terhadap cendawan dan bongkah begitu menggalak­kan sehingga adakalanya saya kehabisan stok. Hasil yang di­per­loleh daripada usaha ini juga agak lumayan untuk menampung kehidupan saya,” katanya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/johor/nekad-jadi-usahawan-cendawan-1.523549#ixzz4ubrDUwEF 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Selasa, Mei 09, 2017

Musim baru projek cendawan di Jerteh


Alhamdulillah...bermula awal bulan April, cendawan global memulakan semula musim baru projek cendawan di kg seberang jerteh, jerteh. Terengganu. 

Target awal sebanyak 10,000 bongkah untuk penuhkan sebuah rumah cendawan dan harapnya sempat disiapkan sebelum bulan puasa kelak.





Dijangkakan keluaran hasil cendawan yang pertama pada pertengahan bulan Jun dan jika ada sesiapa yang berminat untuk menempah bongkah separuh matang juga boleh maklumkan kepada saya pada harga yang istimewa iaitu RM1.30 setiap satu.


Peta lokasi projek cendawan di kg seberang jerteh. Landmark adalah Masjid Kayu Seberang Jerteh iaitu 300m daripada simpang tersebut.

Boleh contact saya di 011-56598769 (whatsapp) jika perlukan sebarang info. 

Nizam



Selasa, Februari 21, 2017

Hasil tanam cendawan Volvariella capai RM4,500 sebulan



Pendang: Berbekalkan iltizam tinggi, seorang siswazah Pengajian Media dari Universiti Malaya tekad untuk berkecimpung dalam projek tanaman cendawan Volvariella sehingga mampu mencapai pendapatan RM4,500 sebulan.
Sarah Hussain, 32, dari Kampung Bukit Murai, Mukim Padang Pusing berkata, dia mengusahakan tanaman tersebut secara perkongsian bersama abangnya, Omar, 51, dan sepupunya, Khairul Azmi Rejab, 26, di kebun getah seluas 0.4 hektar milik keluarganya bermula Oktober lalu.
Melalui bimbingan dan bantuan Jabatan Pertanian daerah berupa tandan kelapa sawit yang dijadikan medium tanaman dan anak benih, Sarah tekad mengikuti kursus tanaman yang diadakan di sini.
“Sebanyak 32 batas cendawan disediakan dengan setiap batas dapat menghasilkan kira-kira lima hingga tujuh kilogram cendawan selepas 10 hari benih ditabur,” katanya kepada Bernama.
Cendawan Volvariella atau biasanya dipanggil cendawan jerami diperkenalkan kepada pekebun kecil sebagai tanaman alternatif bagi menambah pendapatan mereka.
Sebelum ini, ia ditanam menggunakan jerami padi sebagai medium tanaman, namun kini lebih mudah apabila tandan sawit yang hanya perlu diperap digunakan sebelum disusun untuk dijadikan batas penanaman.
Sarah berkata setiap bulan mereka mampu mengutip kira-kira 300 hingga 400 kilogram cendawan Volvariella dengan pendapatan kasar sekitar RM4,500 hingga RM5,000 sebulan (sekali pusingan tanaman).
Sementara itu, Omar berkata, sambutan terhadap cendawan Volvariella amat menggalakkan dan mendapat permintaan yang tinggi daripada masyarakat setempat serta pengusaha restoran.
“Cendawan ini mempunyai khasiat yang tinggi dan boleh dijadikan hidangan untuk keluarga serta produk hiliran lain seperti produk kecantikan serta dijadikan serunding,” katanya.
Omar berkata, kebun cendawannya kini turut menjadi projek perintis bagi daerah Pendang dan pusat rujukan kepada mereka yang ingin mendapat khidmat nasihat mengenai tanaman cendawan jenis itu. – BERNAMA
a> Related Posts with Thumbnails