Semuanya dilakukan atas dasar minat yang mendalam terhadap bidang berkenaan. Setelah berfikir panjang, dia mengambil keputusan berhenti kerja sebagai pengurus di sebuah syarikat ke­selamatan lalu memulakan projek mem­bela kambing di Pahang.

Namun beberapa tahun lalu, kesihatan arwah ayahnya yang memerlukan penjagaan rapi memaksa dia kembali ke kampung halaman di Alor Setar bagi menjaga insan yang disayanginya itu. Akibat kekangan jarak dan beberapa faktor lain, bidang penternakan kambing itu terpaksa dilupakan.
Begitu pun rezekinya dalam bidang pertanian tidak terputus. Hasil bantuan kakak dan abang iparnya yang merupakan seorang ahli perniagaan, dia diperkenalkan dengan seorang individu yang membuka laluan kepada­nya untuk menanam cendawan tiram putih.
“Pada 2016, saya hanya bermula di laman belakang rumah di Taman Bee-Bee, Simpang Kuala dekat Alor Setar. Ketika itu saya keluarkan modal sebanyak RM15,000 bagi membina bangsal dan membeli kira-kira 10,000 bongkah untuk menanam cen­dawan tersebut.
“Dengan perolehan kira-kira lima kilogram sehari, saya de­ngan dibantu isteri, Nur Ameera Sharon Abdullah, 49, menjualnya secara dalam talian. Dengan menggunakan aplikasi Facebook, kami menjual cendawan tersebut dengan harga RM12 sekilogram termasuk penghantaran,” kata­nya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Tambahnya, perniagaan ber­ke­naan bertambah baik selepas itu de­ngan permintaan dari pe­langgan kian menampakkan pe­ningkatan.
“Kami kemudiannya membu­ka ladang di Malau, Jitra melibatkan kira-kira 70,000 bongkah pada Disember tahun lalu dan pada Mei lepas, sebuah lagi ladang dibuka di Jalan Kampung Binjal, juga di Jitra yang kini mempunyai 120,000 bongkah cendawan tiram putih dan menjadikannya antara yang terbesar di negeri ini,” katanya.
Kedua-dua ladang berkenaan pada masa ini mampu menghasilkan kira-kira 250 kilogram cendawan tiram putih setiap hari dengan hasil tertinggi yang pernah dicapai adalah sebanyak 350 kilogram sehari.
Katanya, kesemua cendawan itu sememangnya mendapat permintaan tinggi termasuk daripada para peniaga dari Pulau Pinang. Malah pihaknya kini sedang dalam perbincangan untuk memasarkannya ke Ipoh, Perak.
Ditanya cabaran dihadapinya sepanjang mengusahakan ladang tersebut, Suffian berkata antara perkara yang paling perlu diberi perhatian adalah untuk memastikan kesegaran cendawan tersebut.
“Cendawan ini jika dibiarkan dalam keadaan biasa hanya mampu bertahan selama sehari. Jika disimpan dalam peti sejuk pula boleh bertahan hingga seminggu.
“Jadi kami berdepan cabaran untuk memasarkannya ke tempat yang lebih jauh. Sebelum ini memang terdapat permintaan dari Kuala Lumpur dan kami hanya boleh menghantarnya menggunakan bas ekspres tertentu kerana kebanyakan tempat menyimpan barangan tidak mempunyai penghawa dingin,” katanya.
Menurutnya selepas ini beliau bercadang untuk meluaskan lagi perniagaannya dengan pembukaan lebih banyak ladang cen­dawan tersebut.
“Buat permulaan kami mahu mencapai sasaran untuk mengeluarkan setengah tan cendawan tiram putih setiap hari dan selepas ini insya Allah kami bercita-cita mahu membuka lebih banyak ladang di beberapa kawasan lain,” katanya.