Rabu, Oktober 31, 2007

Dari Motel Ke Bangsal Cendawan

Oleh Syed Abdullah Syed Nordin

CENDAWAN sememangnya diketahui umum mempunyai pelbagai khasiat tersendiri namun ada antaranya menjadi kegemaran ramai sebagai juadah harian seperti cendawan tiram kelabu. Cendawan tiram kelabu sememangnya mendapat sambutan yang menggalakkan dan permintaan tinggi di pasaran tempatan. Menyedari hakikat itu, Muhammad Badrul Amin Lee Abdullah, 42, menyahut cabaran untuk menceburkan diri dalam sektor pertanian sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan pertanian sebagai asas pembangunan negara.
..
Dengan hasrat itu, Badrul Amin mencari peluang untuk mempelajari ilmu mengenai cendawan berkenaan daripada seorang pensyarah di Universiti Putra Malaysia (UPM) sebelum mengusahakan tanaman berkenaan. Berkat sokongan keluarganya, dia berubah arah daripada pengusaha sebuah motel kepada seorang pengusaha tanaman cendawan tiram kelabu di Motel Tanjung Gelang di Kuantan, Pahang.
..
Walaupun pada mulanya, dia hanya diberi peluang membina bangsal yang kecil di belakang kawasan motel milik keluarganya, dia tetap tabah dan cekal untuk meneruskan hasratnya. Usaha gigih dan semangat cekal itu akhirnya memberikan pulangan lumayan kepadanya. Badrul Amin memulakan usahanya itu dengan modal berjumlah RM20,000 pada 2003 tanpa menghiraukan risiko kerugian jika perusahaannya tidak berjaya. Ternyata usahanya tidak sia-sia kerana ketika ini, dia sudah mampu menanam 30,000 beg plastik cendawan tiram kelabu pada satu-satu masa. Ia disusun secara rapi di atas rak kayu di bangsalnya.
..
Setiap beg plastik yang digunakan untuk menanam cendawan perlu dibubuh serbuk kayu getah yang sudah dicampur dengan dedak serta kapur pertanian sebelum benih cendawan boleh dimasukkan ke dalam beg plastik. Semua beg plastik yang sudah mempunyai benih itu kemudiannya disusun dengan membaringkannya di atas rak. Selepas dua bulan disemai, hasil tanaman pertama boleh dipetik dan kira-kira dua minggu berikutnya, hasil daripada beg yang sama juga boleh dipetik untuk kali kedua. Bagaimanapun, sekiranya kaedah tanaman dan penjagaan betul, benih pertama yang disemai di dalam beg plastik itu boleh dituai sebanyak tujuh kali tetapi ia sangat bergantung pada kaedah tanaman dan penjagaan," katanya ketika ditemui Harian Metro di bangsalnya dekat Motel Tanjung Gelang di Balok, Kuantan.
..
..
Menurutnya, hasil setiap kali menuai setiap beg plastik itu mampu mengeluarkan hasil kira-kira 500 gram cendawan tiram kelabu. Selepas hasil pertama cendawan tiram kelabu itu dikutip, semua akar yang tertinggal di dalam beg plastik berkenaan perlu dibersihkan dengan cara tertentu untuk membolehkannya mengeluarkan kelopak cendawan yang baru. Namun, penutup yang digunakan untuk kali pertama perlu ditukar dan ditutup semula untuk mengelakkan benih yang ada di dalamnya tidak rosak atau diganggu jangkitan penyakit serta gangguan lalat.
...
Selain itu, bangsal yang dibina perlu dipagar dengan jaring dawai dan setiap barisan rak perlu dipasang tali tangsi yang mempunyai mata pancing untuk mengelakkan gangguan tikus. Ketika ini, harga pasaran cendawan mencecah RM9 untuk sekilogram. Percubaan saya ni boleh dikatakan berjaya kerana permintaan terhadapnya semakin tinggi walaupun di pasaran tempatan," katanya.
..
Sehingga kini, semua cendawan yang diusahakannya hanya mampu menampung pasaran tempatan sekitar Kuantan. Katanya, jumlah itu belum cukup untuk menampung keperluan membeli kerana tidak ramai yang berminat untuk mengusahakan tanaman cendawan terutama di Kuantan. Setakat ini, saya masih belum berpuas hati kerana tidak dapat menembusi pasaran luar disebabkan kekurangan kawasan pembiakan cendawan," katanya.
..
Dia berazam memperluaskan lagi bangsalnya dan berusaha mencari kawasan lain untuk meningkatkan usahanya. Dia berkata, benih cendawan itu boleh dibeli daripada pengusaha cendawan tiram kelabu di Klang, Selangor dengan harga RM1.80 bagi setiap botol. Bagi setiap botol benih cendawan, ia boleh ditanam ke dalam 25 beg plastik. Jika kita yakin dan bersungguh-sungguh untuk melakukan sesuatu pekerjaan, ia pasti menghasilkan kejayaan.
..
Sehingga kini, saya masih mengusahakan ladang cendawan tiram kelabu dengan dibantu tiga pekerja dan mereka mengutip cendawan tiga kali dalam sehari, iaitu pagi, tengah hari dan petang," katanya.
..
Nota daripada Cendawan Global : Salah satu sikap dan semangat usahawan sejati yang perlu ada untuk berjaya. Beliau mengambil keputusan dengan cepat setelah melihat peluang di depan mata.

2 ulasan:

Zamlan berkata...

A'kum,

Saya tertarik dengan artikel ini sebab kenal dengan saudara Badrul ni. Selalu jugak saya ke sana dapatkan bekalan dedak. Kami selalu bincang pasal cendawan, dia memang tak kedekut ilmu. Sesiapa yang tinggal di kuantan, boleh la belajar daripada dia.

Lanchini
Chini Agro

Cendawan Global berkata...

Waalaikum salam.
Saya pun suka baca cerita macam ni sebab boleh tambah pengetahuan di samping menambahkan lagi jaringan pengusaha cendawan. Kalau ada alamat lengkap beliau, boleh siarkan di sini.

a> Related Posts with Thumbnails