Khamis, November 27, 2008

Lawatan semai minat dalam bidang pertanian

MUAR 25 Nov. – Murid sekolah digesa menanam minat untuk menjadi usahawan dalam bidang pertanian bagi menyahut seruan kerajaan yang kini giat melaksanakan Dasar Bumi Hijau di seluruh negara.
..
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed berkata, seawal usia muda, murid sekolah perlu didedahkan dengan bidang-bidang pertanian yang mampu memberikan pulangan pendapatan lumayan.
..
Selain berbakti kepada tanah, katanya, bidang pertanian adalah menguntungkan kerana ia semakin diberikan perhatian oleh kerajaan dan untuk itu, peluang untuk menceburi bidang itu perlu direbut oleh pelajar selepas menamatkan pengajian kelak.
..
“Malah, kita selaku penduduk di Parlimen Pagoh juga berbangga kerana hasil daripada projek-projek pertanian banyak diperkenalkan di kawasan ini.
..
“Sehubungan itu, saya menyeru lebih ramai usahawan dalam bidang pertanian dilahirkan di Parlimen ini selepas ini dan yakin hasrat itu mampu dicapai,” katanya.
..
Beliau ditemui pada sesi lawatan seramai 100 murid Sekolah Kebangsaan Bakri Batu 5 ke pusat tanaman cendawan milik seorang pengusaha, Rahid Elias di Kampung Tengah, Sungai Terap di sini baru-baru ini.
..
Lawatan murid Sekolah Lestari itu diiringi Guru Penolong Kanan Pentadbirannya, Ruhani Omar.
..
Sepanjang lawatan itu, murid sekolah terbabit yang belajar dalam Tahun 5 dan 6 dibawa melihat projek penghasilan cendawan tiram kelabu di dalam sebuah ruang khas yang bertutup dan disebut sebagai rumah cendawan.

..

Menurut Ismail, perusahaan cendawan yang dilaksanakan oleh Rashid adalah salah satu contoh bidang pertanian yang diberi keutamaan oleh kerajaan.
..
Sementara itu, Ruhani ketika ditemui berkata, beliau yakin murid-muridnya akan mendapat manfaat hasil daripada lawatan ke pusat tanaman cendawan itu.
..
“Mereka (murid sekolah) begitu bersemangat untuk menyertai lawatan ini apabila dimaklumkan akan melihat pusat tanaman cendawan. Bagi saya, semangat ini membuktikan masih ramai golongan muda yang minat dalam bidang pertanian,” katanya. - Utusan Online

Tiada ulasan:

a> Related Posts with Thumbnails