Selasa, Disember 23, 2014

Rezeki cendawan tiram

 

ALOR GAJAH 22 Dis. - Cendawan kini merupakan salah satu makanan yang semakin popular dan digemari dalam hidangan masyarakat negara ini kerana mempunyai rasa serta keenakan tersendiri berbeza dengan sayuran lain.

Cendawan tiram kelabu atau nama sainstifiknya Pleurotus sajor-caju merupakan salah satu kulat boleh dimakan yang ditanam secara komersial di seluruh dunia sebagai makanan.

Tumbuhan ini banyak didapati dalam hutan beriklim hawa sederhana dan subtropika dan merupakan sejenis saprofit yang bertindak sebagai pengurai utama kayu.

Cendawan tiram yang tumbuh meliar ini sememangnya mampu memberi pulangan lumayan kepada pengusahanya namun tidak ramai yang menceburi perusahaan penghasilan tumbuhan berke­naan.
Advertisement

Beberapa faktor penting perlu diberi penekanan bagi menjadikan perusahaan cendawan tiram ini mampu mengeluarkan hasil yang banyak seperti jenis media, suhu, kelembapan, cahaya, pengudaraan, dan lain-lain.

Berbekalkan modal RM20,000 menerusi pinjaman dari Agro Bank melalui Skim MyAgrosis pada 2008, ia dimanfaatkan oleh Mohd. Syukor Ahmad, 35, untuk membina rumah cendawan di Ayer Molek.

Bermula secara kecil-kecilan dengan modal yang diperolehnya, cendawan yang dihasilkan mendapat permintaan tinggi daripada pengguna di sekitar negeri ini.

Bertitik-tolak daripada itu, bagi mengembangkan lagi perusahaan cendawannya, Mohd. Syukor membuka dua rumah cendawan di Melaka Pindah, Alor Gajah yang berkeluasan 0.4 hektar pada 2010.

Berikutan komitmen yang diperlukan untuk berada di tapak perusahaan itu, akhirnya beliau meletakkan jawatan sebagai pegawai tadbir pada 2012 untuk memberi tumpuan sepenuh masa bagi memastikan projek tanaman cenda­wannya itu berjaya.

Dua rumah cendawan itu boleh menampung 80,000 bongkah bagi proses pemeraman selain terdapat sebuah bilik inokulsi untuk menyejuk serta penyuntikan benih.

Bagi proses tanaman cendawan itu, Mohd. Syukor mencampurkan habuk kayu dengan kapur dan dedak dalam plastik tahan haba sebelum dikukus dalam tong selama antara tujuh hingga lapan jam.

Bahan campuran tersebut dise­jukkan selama sehari selepas dipanaskan dan seterusnya benih cendawan akan dimasukan dalam campuran berkenan untuk disimpan dalam bongkah khas.

Bongkah itu kemudian disusun pada rak khas dalam rumah cen- dawan selama dua bulan sebelum mengeluarkan hasil untuk dipetik.

Berkat kesungguhannya, perusahaan itu mampu memberi pulangan pendapatan sehingga RM 10,000 sebulan menerusi jualan cendawan di sekitar negeri ini.

Menerusi tanaman di ladang baru itu juga, pengeluaran cen- dawan yang dihasilkan mampu mencapai sehingga 1,200 kilogram sebulan.

Secara purata, setiap bongkah boleh mengeluarkan 250 sehingga 300 gram setiap tuaian daripada kira-kira 1,000 bongkah sehari.

Harga cendawan yang dijual pada harga berpatutan iaitu RM8 sekilogram bagi harga borong manakala RM10 hingga RM12 bagi harga runcit.

Mohd. Syukor yang juga memiliki Ijazah Pembangunan Manusia dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ini turut menyertai Cabaran Perniagaan Luar Bandar (RBC) anjuran Kementerian Kemenajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) pada 2013.

Dengan usaha dan kebolehan yang dimiliki, beliau berjaya menghasilkan kertas kerja mengenai hala tuju perniagaan dalam tempoh tiga tahun dan akhirnya me nerima penilaian daripada pegawai kementerian itu untuk melihat perusahaan cendawannya.

Menerusi kemampuannya itu Mohd. Syukor dipilih sebagai pene­rima Anugerah Jaya RBC dengan menerima geran pembangunan berjumlah RM750,000.

Menurutnya, dia amat bersyu­kur dengan rezeki yang diterimanya selepas mengalami jatuh bangun ketika memulakan perusahaan cendawan itu.

“Saya pernah mengalami kerugian kira-kira RM10,000 semasa mula menjalankan perusahaan ini, namun dengan berkat sokongan ahli keluarga saya mampu bangkit semula dan bertahan sehingga kini.
Advertisement

“Saya mula belajar dan berkongsi ilmu dengan mereka yang lebih arif berkenaan cendawan dan Alhamdulillah perusahaan ini ak- hirnya berjaya pada hari ini,” katanya.

Katanya, buat masa ini pasaran cendawannya hanya di sekitar Melaka seperti di kawasan medan selera, kawasan rehat selain berhasrat memperluaskan pasaran ke negeri-negeri lain.

“Saya menyasarkan untuk mengeluarkan sebanyak 3,000 kilogram cendawan sebulan bagi mengembangkan perusahaan ini.

“Saya yakin boleh mencapai sasaran itu berikutan setiap bongkah dihasilkan memgambil masa 45 hingga 60 hari untuk mengeluarkan cendawan dan setiap bongkah ini mampu bertahan selama tiga bulan,” katanya.

Mohd. Syukor berkata, Syarikatnya, Sinar Syukrawie Enterprise turut menyediakan khidmat nasihat, pembekalan peralatan serta memantau untuk memberi tunjuk ajar kepada mereka yang berminat menyertai perusahaan berkenaan.

“Kita juga berhasrat untuk mengembangkan perusahaan ini dengan menambah rumah cen- dawan serta membuka pusat latihan tanaman cendawan d tanah seluas 1.6 hektar di Gadek.

“Jika projek ini berjalan lancar, kita juga merancang untuk menjadikannya sebagai projek perlancongan berkonsep agro-tourism,” katanya.


- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/melaka/rezeki-cendawan-tiram-1.39772#sthash.JS5D3vG9.dpuf

Tiada ulasan:

a> Related Posts with Thumbnails