Jumaat, Jun 10, 2016

Cendawan volvariella pikat hati juri



KUALA NERANG – Inovasi teknologi cendawan volvariella yang dihasilkan oleh Jabatan Pertanian Padang Terap berjaya menarik perhatian pihak juri apabila dinobatkan johan bagi kategori awam dan johan keseluruhan dalam Konvensyen Pertandingan Inovasi Inklusif di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.
Pegawainya, Yuzaidi Azmi berkata, Jabatan Pertanian Padang Terap mewakili Kedah dalam pertandingan peringkat kebangsaan itu.
Menurutnya, melalui teknologi itu petani tidak memerlukan kos yang tinggi bagi mengusahakannya dan pengurusannya juga sangat mudah berbanding cendawan biasa yang memerlukan pengalaman serta kos yang tinggi untuk menghasilkannya.
“Petani tidak memerlukan tanah yang luas serta membina pondok untuk menghasilkan cendawan ini. Bagi penoreh getah mereka boleh mengusahakannya di tengah antara pokok getah dan ini juga hasil alternatif kepada mereka bagi menampung pendapatan terutamanya semasa musim hujan.
“Cendawan ini boleh diusahakan di ladang kelapa sawit dan dusun kerana cuacanya yang dingin. Dengan hanya bermodalkan sebanyak RM3,000 petani mampu memperoleh RM10,000 sebulan jika cendawan itu dijaga dengan baik,” katanya.
Yuzaidi berkata, tanaman cendawan dari Pejabat Pertanian Padang Terap itu merupakan kali pertama dihasilkan di Malaysia.
Jabatan Pertanian Padang Terap juga turut dinobatkan bagi memenangi juara keseluruhan selepas mengatasi juara kategori awam dan pendidikan.
Kejayaan ini membolehkan Jabatan Pertanian Padang Terap membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000 serta piala iringan.
Katanya, diharap teknologi tanaman cendawan ini dapat dimanfaatkan kepada seluruh petani di negara ini terutamanya kepada penoreh getah yang sering menghadapi masalah kejatuhan harga dan juga musim hujan.
“Kejayaan ini juga telah mengharumkan nama Jabatan Pertanian Kedah dalam membantu petani di luar bandar dan pihak kami juga sentiasa peka dengan masalah petani supaya mereka dapat keluar dari masalah kemiskinan,” katanya.
sumber: Sinar Harian

Gambar Hiasan : Cendawan volvariella

1 ulasan:

Anim Mustapa berkata...

Nak dapatkan benih Cendawan ni macam mana?

a> Related Posts with Thumbnails