Ahad, September 23, 2007

Langkah Penanaman Cendawan

Cendawan bukan sekadar tumbuhan yang mempunyai kandungan protein, karbohidrat dan serat yang tinggi berbanding sayuran lain, tetapi juga mampu memberi pulangan lumayan jika diusahakan secara komersial. Ada pelbagai jenis cendawan diusahakan oleh penanam cendawan iaitu Cendawan Tiram Kelabu, Tiram Putih, Telinga Kera, Abalone, Ling Zhi, Bunga Kobis, Jarum Emas dan Cendawan Butang yang sentiasa mempunyai pasaran dan penggemar negara ini.
Ketika ini, ramai yang beranggapan proses menanam cendawan amat rumit, tetapi sebenarnya ia mudah serta senang dijaga dan dalam masa tiga bulan hasilnya sudah boleh dikutip. Bahan asas yang digunakan untuk menanam cendawan ialah habuk kayu, dedak padi, kapur pertanian serta benih cendawan.
...
Pada peringkat permulaan semua bahan ini digaul dengan air sehingga basah untuk menghasilkan medium cendawan. Medium cendawan yang siap diproses tadi dimasukkan di dalam beg plastik dan ditutup dengan menggunakan penutup plastik dan dihentakkan sehingga padat. Sebelum menutupnya, pastikan span dimasukkan ke dalam penutup untuk menghasilkan blok cendawan dan kemudian disusun di dalam tong dram yang berisi air untuk menjalani proses kukus. Proses ini bertujuan untuk membunuh semua organisma dan kuman yang ada dalam campuran medium cendawan yang disediakan dan selepas dikukus blok cendawan `direhatkan' selama dua hari sebelum menjalankan kerja penyuntikan benih.
...
Selepas itu, penutup cendawan dibuka menggunakan pencungkil besi yang dipanaskan dan benih akan diisi dengan seseorang itu juga perlu mencatatkan tarikh dan jenis benih cendawan. Blok cendawan yang sudah diisi benih akan disusun di atas rak yang disediakan di rumah cendawan dan rumah itu mestilah berbumbungkan atap nipah atau rumbia serta di bahagian dindingnya pula dipasang jaring hitam. Blok cendawan itu akan diperam kira-kira tiga bulan dan dalam tempoh itu, seseorang pengusaha perlu menyiram air tiga kali sehari pada lantai serta pada badan blok cendawan.
..

Cendawan memerlukan cahaya yang lemah dan sekata, pertumbuhannya akan terbantut jika terkena sinaran matahari berlebihan dan bagi cendawan yang terkena penyakit perlu diasingkan supaya tidak merebak ke blok cendawan lain. Selepas kira-kira tiga bulan spora akan terbentuk di dalam blok cendawan dan mengembang memenuhi blok itu. Penutup blok akan dibuka dan cendawan akan mulai tumbuh kira-kira lima hari selepas penutup dibuka.

Setiap cendawan perlu dikutip sebelum bahagian tepinya kelihatan berombak dan selepas dikutip blok cendawan perlu ditutup semula dan direhatkan selama 10 hari sebelum dibuka kembali untuk memudahkan proses pembentukan semula spora di dalam blok itu.

Sejambak cendawan boleh mencecah 80 gram dan satu blok cendawan boleh dituai hasilnya sehingga enam kali dalam tempoh empat bulan. Selepas itu, hasilnya akan berkurangan dan perlu membuat blok baru. Blok cendawan yang tidak dapat mengeluarkan hasil lagi boleh dihancurkan untuk dijadikan baja kompos dan makanan kambing dengan mencampurkan beberapa jenis bahan lain. Cendawan yang dituai boleh disimpan kira-kira tiga hari dalam peti sejuk.

3 ulasan:

Joe & Grace berkata...

brother, u do a full info and very nicE blog !

Mohd Azam Kamarudin berkata...

saya berminat untuk menanam cendawan secara kecil-kecilan bagaimana saya boleh dapatkan medium tanaman dan barang-barang untuk menanam cendawan. terima kasih

Mohd Azam Kamarudin berkata...

saya berminat untuk menanam cendawan secara kecil-kecilan bagaimana saya boleh dapatkan medium tanaman dan barang-barang untuk menanam cendawan. terima kasih

a> Related Posts with Thumbnails