Selasa, Januari 01, 2008

Cendawan TLT Dynamic masuk rangkaian GCH Retail


KUALA TERENGGANU 19 Dis. – Syarikat pengeluar cendawan utama Terengganu, TLT Dynamic Sdn. Bhd. (TLT Dynamic) hari ini menandatangani perjanjian dengan GCH Retail (M) Sdn. Bhd. (GCH Retail) bagi memasarkan cendawan keluarannya ke Pasar raya Giant dan Cold Storage di seluruh negara, kata Pengerusi Eksekutif syarikat itu Sufian Mohd Said.
..
Beliau berkata, TLT Dynamic yang ditubuhkan pada Mei lepas, mula mengusahakan tanaman cendawan secara komersial sejak Oktober lepas akan menghasilkan cendawan untuk rangkaian pasar raya itu akhir bulan ini.
..
"Buat permulaan, syarikat kami mampu mengeluarkan cendawan jenis Tiram Kelabu atau nama saintifiknya Pleurotus Sajorcaju sebanyak 50 kilogram sehari dan akan ditingkatkan kepada 100 kilogram dalam masa terdekat.
..
"Kapasiti pengeluaran cendawan akan ditingkatkan apabila tiga buah lagi bangsal yang berukuran 29 meter panjang dan lapan meter lebar yang mampu menghasilkan sehingga 150 kilogram hingga 300 kilogram cendawan sehari siap,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani perjanjian urus niaga dengan GCH Retail yang memiliki 87 pasar raya Giant dan 16 Cold Storage di seluruh negara.
..
Pada majlis itu, TLT Dynamic diwakili Sufian manakala GCH Retail diwakili Pengurus Kanannya, Steven Lau Chun Foo. Ia disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Industri Kecil dan Sederhana dan Peniaga Kecil Terengganu Datuk Abdul Rahin Mohd Said.
..
Sufian berkata, syarikat membelanjakan kira-kira RM500,000 bagi mendirikan lima bangsal, dengan setiap sebuah mampu menempatkan benih cendawan sehingga 30,000 beg (bongkah) yang boleh dipetik dalam tempoh lima bulan.
..
Hasil cendawan itu dijual pada harga antara RM7 dan RM8 sekilogram, katanya.
Beliau berkata, selain rangkaian GCH Retail, hasil cendawan syarikat itu turut dipasarkan ke pasar raya lain di Terengganu. Beliau berkata, cendawan Tiram Kelabu sangat digemari kerana ia berkhasiat dan dikatakan dapat mengawal pengaliran darah, anti trombotik, merendahkan tekanan darah, kandungan glukosa dan lipid serta dapat meningkatkan sistem imunisasi badan untuk melawan jangkitan virus.
..
"Ia juga dikatakan mampu merencatkan tumbesaran tumor (ketumbuhan) dan sebagai antioksida serta aktiviti pelindung gen,” katanya.
..
Sementara itu Steven Lau berkata, pihaknya akan memasarkan pengeluaran cendawan Syarikat TLT Dynamic ke rangkaian pasar raya di kawasan Pantai Timur sebelum diedarkan di seluruh negara.
..
"Kita akan bantu pengusaha tempatan dengan memasarkan pengeluaran mereka di rangkaian pasar raya GCH Retail dan untuk permulaan, kita cuba di Pantai Tiumr dahulu bagi melihat sambutan sebelum diedarkan ke rangkaian Giant dan Cold Storages di seluruh negara,” katanya.

– Bernama
..
Petikan Daripada : Utusan Malaysia Online 20 Disember 2007
..
Komen Cendawan Global : Bangganya anak Terengganu telah mengambil langkah besar menjadikan bisnes cendawan sebagai satu perniagaan yang lumayan dan sebagai anak Terengganu, saya pun terpanggil untuk bersama-sama kembangkan industri ini. Cara berbeza tetapi matlamat yang sama!

Tiada ulasan:

a> Related Posts with Thumbnails