Khamis, April 22, 2010

CENDAWAN

(Dipetik dari majalah Agromedia Bil. 7/1999)
..
Cendawan ialah sejenis sayur yang lazat dan berkhasiat. Ia mengandungi pelbagai zat pemakanan yang baik untuk kesihatan.
.
Keistimewaannya: ia mampu mengurangkan kolesterol tubuh dan menghalang pendarahan otak.
..
Cendawan memerlukan bahan organik yang telah reput seperti kayu dan daun sebagai makanan. Ia terdiri daripada dua bahagian iaitu bahagian di atas permukaan media pertumbuhan (substrat) yang dinamakan jisim berbuah dan di dalam substrat iaitu bahagian tampang. Jisim berbuah terdiri daripada tudung yang sedap dimakan dan tangkai.

.
Di bawah permukaan tudung terdapat insang-insang yang menghasilkan biji benih iaitu spora. Bahagian tampang berfungsi untuk menyerap bahan makanan melalui struktur seperti akar yang terdiri daripada miselium iaitu sekumpulan bebenang hifa yang halus. Miselium mengeluarkan enzim yang dapat menghancurkan bahan organik sebelum ia diserap untuk pertumbuhan dan pembiakan.
...
Jenis cendawan yang banyak ditanam di Malaysia pada masa ini ialah:


  • Cendawan Tiram Putih (Pleurotus florida)
  • Tiram Kelabu (P. Sajor-caju)
  • Abalon (P. cystidiosus)
  • Shitake (Lentinus edodes) dan
  • Cendawan Telinga Kera (Auricularia polytricha)
  • Cendawan abalon, tiram putih dan kelabu yang segar amat popular, diikuti cendawan kering shitake, cendawan butang dalam tin, abalon dan cendawan jerami padi.
..
Dewasa ini terdapat ratusan pengusaha yang menanam cendawan. Antara faktor yang mendorong mereka berbuat demikian ialah cendawan mengandungi khasiat pemakanan dan perubatan, mendapat keuntungan yang tinggi dalam masa yang singkat, bahan sampingan pertanian dan industri yang banyak (hampar kapas, habuk kayu getah dan habuk kelapa sawit) dapat menjimatkan kos substrat dan pasaran cendawan segar yang cerah.
.
Umumnya, mereka terdiri daripada penanam padi, penanam sayur, pengusaha kantin, pesara dan kakitangan kerajaan. Negeri Selangor mempunyai paling ramai penanam cendawan diikuti dengan negeri Kedah, Pahang, Perlis, Johor dan Melaka.
.
Kebanyakan mereka memperoleh teknologi penanaman cendawan daripada agensi kerajaan seperti MARDI dan Jabatan Pertanian (50.40%), negara luar seperti Thailand, Taiwan, Australia dan Jepun (26.48%), buku dan kawan (20.49%) dan universiti tempatan (2.56%).

Perantaraan pasaran cendawan segar terdiri daripada pasar tani dan pasar malam bagi pengusaha umum, pengguna institusi (hotel, restoran, pasar raya) dan juga pengeksport. Harga bergantung pada jenis dan kualiti cendawan segar yang dipasarkan. Pada umumnya harga runcit antara RM3.00-RM11.00/kg.
..
Oleh sebab permintaan melebihi bekalan, harga dan import cendawan meningkat dari setahun ke setahun. Contohnya, pada tahun 1996 cendawan segar yang sejuk dan terproses telah dimport sebanyak 25 ribu tan bernilai RM52 juta, berbanding dengan hanya 3 ribu tan bernilai RM22 juta pada tahun 1990.
.
Pada tahun 1993 harga runcit bagi cendawan tiram kelabu dan tiram putih segar di Semenanjung Malaysia masing-masingnya RM7.08/kg dan RM7.33/kg. Harga ini telah meningkat kepada RM7.16/kg dan RM8.11/kg pada tahun 1997.
.
Menurut FAMA, pengeluaran cendawan segar tempatan pada tahun 1989 ialah 17 tan dan pada 1990 berkurangan kepada 15 tan dan dijangka terus berkurangan pada tahun-tahun berikutnya.
..
Pihak institusi merupakan pengguna terbesar komoditi cendawan ini. Jumlah penggunaan setiap bulan bagi cendawan segar, cendawan kering dan cendawan dalam tin, masing-masing ialah 41.79%, 50.55% dan 7.75%. Manakala purata harga belian masing-masing pula ialah RM11.00/kg. RM71.00/kg dan RM2.14/tin.
.
Jumlah cendawan segar yang dibeli oleh pihak institusi dalam masa sebulan ialah 1 501 kg. Jumlah ini terdiri daripada 310 kg. tiram putih dan kelabu, 591 kg. abalon, 17 kg. cendawan jerami padi dan 583 kg. cendawan butang dan shitake. Jumlah pembelian cendawan dalam tin sebulan pula ialah 20 530 kg. (20.52 tan) iaitu 4 060 kg. tiram putih dan kelabu, 3 910 kg. abalon dan 12 560 kg. cendawan butang. Bagi cendawan kering, jumlah permintaan sebulan ialah 2 013,07 kg.
.
Jenis masakan yang dihidangkan dengan menggunakan cendawan bagi restoran dan hotel mengikut keutamaan ialah sayur campuran, masak dengan daging, masak dengan ayam atau itik, masak dengan ikan, sup cendawan dan masak cendawan sahaja.
.
Pada tahun 1990, Malaysia mengimport cendawan segar atau disejukkan hanya 54 tan bernilai RM336 ribu, tetapi meningkat kepada 487 tan bernilai RM2 juta pada tahun 1996. Import cendawan yang diproses juga meningkat kepada 24 ribu tan bernilai RM50 juta pada tahun 1996 berbanding hanyak 3 ribu tan bernilai RM21 juta pada tahun 1990.
.
Memandangkan penggunaan dan pengimportan cendawan yang semakin meningkat dari tahun ke tahun maka pengeluaran cendawan tempatan oleh pengusaha sangatlah cerah.
.
Pengusaha cendawan tempatan yang sedia ada atau yang baru melibatkan diri perlu menggandakan pengeluaran bagi memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat disamping dapat mengurangkan bil import cendawan oleh Malaysia. - Dipetik dari majalah Agromedia Bil. 7/1999

Tiada ulasan:

a> Related Posts with Thumbnails