Jumaat, Disember 17, 2010

Cendawan tiram kelabu boleh dikomersial


KAMPUNG BERDANG - Di bawah peruntukan yang diberi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, seramai lima suri rumah tangga di mana dua daripadanya ibu tunggal gigih mengusahakan tanaman cendawan tiram kelabu bagi menjana pendapatan keluarga.

Mengusahakan projek tanaman cendawan bukan sesuatu yang mudah tanpa maklumat dan kemahiran, namun atas usaha gigih dan tunjuk ajar jabatan pertanian seseorang itu mampu mengusahakannya dengan baik.

Kini, usaha kelima-lima suri rumah itu, Zainun Abdullah, 50, dan Sabariah Ismail, 60, yang merupakan ibu tunggal, Natrah Abdul Rashid,49, Asmah mat,58, dan Aini Abdullah, 45, mula menampakkan hasil yang baik.

Zainun berkata, cendawan tiram kelabu dipilih untuk diusahakan kerana ia menjanjikan pendapatan lumayan dan tidak memerlukan menggunakan tenaga kerja yang ramai.

“Pemeliharaan cendawan dianggap mudah, tetapi perlukan pengetahuan teknikal yang baik dan cendawan boleh dihasilkan secara komersial,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di tapak projek tanaman cendawannya.

Menurutnya, perusahaan cendawan hanya menggunakan kawasan kecil, tetapi perlukan keadaan sesuai.

“Kami hanya memerlukan bangsal di atas tanah seluas suku ekar dan dipecahkan kepada lima lot bagi memudahkan kami berlima menjaga dan mengutip hasil cendawan,” katanya.

Aini berkata, selain minat dalam pertanian dan membantu menjana pendapatan keluarga baik sebagai pendapatan sampingan mahupun sebagai pendapatan utama adalah tarikan utama beliau menyertainya.

“Sebelum memulakan tanaman cendawan, kami diberi taklimat oleh jabatan pertanian dan didedahkan dengan cara penyediaan benih, pemeliharaan, penjagaan dalam rumah cendawan, pengawalan serangga perosak dan penyakit, pengendalian lepas tuai, pemasaran dan nilai ekonominya,” katanya.

Aini berkata, projek yang sedang diusahakan mereka hasil usaha dan keprihatinan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam membantu rakyat di Parlimennya sentiasa terbela terutama golongan ibu tunggal dan miskin.

“Kami berlima memberi komitmen dan komited dengan projek tanaman itu kerana ia membantu kami menjana pendapatan sekali gus menaik taraf ekonomi.

“Projek bermula Oktober lalu di mana kami menerima 6,000 beg bongkah bijih benih dan hasilnya sudah dituai dan dijual dengan harga RM6 sekilo. Kami masih dalam percubaan dan terus berusaha mencapai matlamat menjadi penanam cendawan berjaya,” katanya.

Cendawan Tiram adalah sejenis cendawan yang telah dikenal pasti boleh dan mudah dipelihara di kawasan tanah rendah dan ianya digemari pengguna dan diterima luas di pasaran, walaupun perusahaan cendawan tidak memerlukan modal yang tinggi serta tanah yang luas, namun kemahiran teknik khusus daripada bakal pengusaha amat diperlukan kerana kegagalan atau kejayaan projek tersebut adalah bergantung kepada kemahiran teknik penjagaan dalam proses pemeliharaan.

sumber: Sinar Harian





Tiada ulasan:

a> Related Posts with Thumbnails