Isnin, Disember 20, 2010

Rusila tempuh pelbagai cabaran majukan perusahaan cendawan

KUALA TERENGGANU 2 Dis. - Segalanya tentang cendawan - selaku pengeluar, pembekal, perunding projek, pengendali kursus dan penulis buku.

Itu dunia kehidupan Rusila Yusof, 29, bekas tenaga pengajar di Universiti Pertahanan Nasional selepas meninggalkan dunia akademik dan terjun ke alam perniagaan tani.

Wanita muda dari Kampung Pengkalan Pandan Luar, Kemaman ini berdepan dengan cabaran awal namun akhirnya berjaya menguasai bidang berkenaan dengan ilmu dan pengalaman yang ditimba.

Lalu dia berkongsi apa yang dilalui dengan semua yang berminat bagi membantu mereka agar bersama-sama muncul sebagai usahawan tani sepertinya.

Tahun pertama memulakan perniagaan pada 2007, lebih separuh modal perniagaannya yang berjumlah RM40,000 'hangus' dan Rusila hampir menutup perusahaannya, Fatisha Agro Farm.

Akibat cetek kepakaran dan pengalaman, perusahaan tanaman cendawan tiram kelabu hampir keseluruhannya mati serta rosak.

Namun lulusan sarjana Muda Teknologi Kimia dan Sarjana Sains Kimia dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini, terus bertekad untuk bangkit kembali membina semula perniagaannya di atas kegagalan itu.

Kini, hasil kerja keras dan sokongan pelbagai agensi kerajaan, anak ke-11 daripada 18 orang adik-beradik itu mempunyai ladang cendawan terbesar di negeri ini.

Dia mengusahakan ladang cendawan tiram menggunakan kaedah penghasilan benih melalui tisu kultur di kawasan seluas 0.4 hektar.

Rusila yang berpendapatan lebih RM12,000 sebulankini sedang berusaha membuka sebuah lagi ladang di kawasan berdekatan berkeluasan 0.4 hektar yang dijangka menggandakan hasil dan perolehan dalam tempoh dua bulan.

Di samping mengeluarkan dan membekal sehingga lebih 1,500 kilogram cendawan segar sebulan, Fatisha Agro Farm turut menjadi konsultan dalam kursus penanaman.

"Kursus ini dijalankan berdasarkan minat dan permintaan masyarakat di negeri-negeri untuk menceburi perusahaan ini kerana modal dan kos pengeluaran yang rendah serta keuntungan yang tinggi dalam masa yang singkat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia di Ekspo Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), dekat sini baru-baru ini.

Di ekspo itu selain cendawan segar, dia memperomosi dan memasarkan produk pelbagai produk makanan berasaskan cendawan dan telah dipilih sebagai satu satu produk terbaik SDSI.

Berdasarkan sambutan yang diterima terhadap kebolehpasaran produk ini, Rusila melebarkan lagi perniagaannya dengan menjadi pembekal mesin-mesin penanaman.

"Bermula November tahun lalu, pihak kami telah membekalkan kira-kira 30 buah mesin pelbagai saiz seperti mesin pengukus, pembancuh dan pengisi kepada usahawan tempatan yang berminat.

"Mesin yang dijual dari harga RM 3,000 hingga RM7,800 setiap satu dibangunkan dengan kerjasama Pertubuhan Peladang dan Jabatan Pertanian,"katanya.

Pelbagai produk makanan tempatan yang berasaskan cendawan mula berada di pasaransejak Mac lalu.

"Dengan memiliki kios sendiri serta memasarkan kepada peruncit-peruncit yang lain, produk makanan seperti sos cendawan cili dan lada hitam, mee, popia dan tepung berempah mempunyai peminatnya yang tersendiri.

"Di samping itu, Fatisha juga mempunyai sebuah cafe yang antara lain menjadikan produk makanan berasaskan cendawan seperti cendawan goreng, piza, popia dan tempura sebagai menu popular," ujarnya.

Dinamakan 'Fatisha Mushroom Garden Cafe' ia dilakukan secara usahasama dengan pemenang pingat emas acara olahraga di Sukan Sea di Laos tahun lepas, Mohd. Zafril Mohd. Zuslaini dan mampu memberi pulangan sehingga RM3,000 sehari.

Dalam usaha memastikan kelangsungan perusahaan,syarikatnya berkerjasama dengan MARDI bagimembina makmal pembenihan cendawan di Pantai Timur.

"Ia bagi melakukan kaedah kultur tisu dalam aktiviti pembenihan. Di samping menjimatkan kos untuk mendapatkan anak benih, ia boleh turut dipasarkan kepada pengusaha tempatan khususnya di sekitar Pantai Timur," katanya lagi.

Dalam usaha mencambahkan minat orang ramai dalam perusahaan yang berpotensi besar ini beliau turut menghasilkan sebuah buku bertajuk 'Buat Duit Dengan Cendawan'di samping eBook panduan lengkap bagi memulakan projek.

Katanya, peluang perniagaan dalam projek penanaman cendawan yang digariskan di bawah projek permulaan Program Transformasi Ekonomi (ETP) diharap membantu lebih ramai pengusaha mengembangkan perusahaan mereka.

Beliau menarik perhatian, masalah utama yang dihadapi olehnya serta sebahagian besar pengusaha yang lain adalah kurangnya promosi terhadap produk dan perkhidmatan mereka.

Sehubungan juga beliau akan berusaha meningkatkan promosi tentang produk-produk syarikatnya yang berada di pasaran termasuk soal kualiti dan khasiat cendawan bagi menyakinkan pengguna.

sumber: Utusan Malaysia Online





Tiada ulasan:

a> Related Posts with Thumbnails