Isnin, Januari 31, 2011

Kejayaan perladangan





Sebuah syarikat yang beroperasi di Mesilau, Kundasang, berhampiran kaki Gunung Kinabalu, tidak melepaskan peluang memanfaatkan cuaca sejuk kaki gunung untuk menghasilkan cendawan berkualiti tinggi dari spesies shiitake.

Borneo Mushroom ditubuhkan 18 tahun lalu, dimiliki oleh Koperasi Pembangunan Desa (KPD), sebuah agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sabah telah diberi pengiktirafan atas sumbangannya kepada industri perladangan cendawan.

Aktiviti ekonomi syarikat berkenaan tidak berorientasikan keuntungan tetapi lebih tertumpu kepada membantu usaha kerajaan dalam memerangi kemiskinan terutama di kalangan penduduk miskin luar bandar di Sabah.

Pengurus Borneo Mushroom, Jamilah Lee berkata, penglibatan KPD dalam aktiviti perladangan cendawan bermula secara kecil-kecilan pada 1989 dengan melibatkan beberapa peladang kontrak.

"Pada ketika itu, kami juga memperkenalkan skim pinjaman untuk membantu petani membeli benih dalam beg polipropelin daripada sebuah syarikat swasta.

"Pada 1991 KPD memiliki tapak semaiannya sendiri di atas sebidang tanah seluas tujuh hektar di Mesilau dan pada tahun berikutnya mula menghasilkan pembenihan dalam beg polipropelin," katanya.

Jamilah berkata, pada mulanya KPD mendapatkan kepakaran teknikal berhubung perladangan shiitake daripada pakar dari Taiwan.

"Namun kemudian saya menghadiri lagi kursus berhubung perladangan cendawan di Jepun dan China sebelum menerapkan penambahbaikan dalam teknik penanaman di sini," katanya.

Sejak itu, aktiviti pusat itu terus berkembang dengan menghasilkan empat spesies benih dan semaian cendawan - shiitake, ganoderma atau ling tze, tiram dan cendawan telinga kera.

Selain itu, pusat berkenaan juga menghasilkan cendawan segar shiitake, cendawan telinga kera ling tze kering dan kopi serta teh ling tze.

Borneo Mushroom membekalkan benih cendawan dalam beg polipropelin di samping menyediakan perkhidmatan teknikal mengenai perladangan cendawan terutama kepada peladang kontrak dan ladang KPD.

"Kini pusat berkenaan menghasilkan kira-kira 75,000 beg polipropelin sebulan untuk memenuhi permintaan peladang cendawan, terutama peladang kontrak KPD,'' ujarnya.

Beliau menambah, pada tahun lepas syarikat menghasilkan hampir 48,000 beg polipropelin benih sebulan.

Pusat itu juga mengendalikan kursus secara teori dan teknikal mengenai penanaman cendawan kepada peserta dari agensi swasta, institusi pengajian tinggi dan individu yang berminat.

"Selain peladang kontrak KPD, yuran dikenakan kepada peserta lain. Hak pembenihan shiitake hanya diberikan kepada peladang kontrak KPD.

"Peladang kontrak berkenaan sebenarnya diletakkan di bawah program membasmi kemiskinan.

"Mereka yang layak untuk menyertai peladang kontrak hendaklah daripada keluarga yang berpendapatan tidak lebih RM590 sebulan, iaitu bawah garis kemiskinan," katanya.

Buat masa sekarang, KPD mempunyai kira-kira 70 peladang kontrak yang hanya menanam cendawan shiitake.

Mereka kebanyakannya di Kundasang, Ranau dan Moyog di daerah Penampang, pantai barat Sabah.

Menurut Jamilah, selain pembenihan shiitake, peladang kontrak itu juga dilengkapkan dengan bahan binaan untuk membina rumah cendawan di samping perlu menghadiri latihan di ladang Borneo Mushroom.

"Kami juga menghantar tiga pegawai kanan untuk mengawasi perkembangan peladang kontrak setiap bulan," katanya dan menambah bahawa pusat itu kini mempunyai kira-kira 20 petugas. -BERNAMA

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Luckily, there are many methods in safely removing unwanted hair.
Before you go for them, try products at Keranique for hair care.
When one thinks of fungus, they don't generally associate it with the head or scalp, but the itching, burning scalp, rash or pimples on the scalp could very well be caused by a fungus, requiring antifungal shampoo to provide well needed relief to the symptoms.

My page hair products

a> Related Posts with Thumbnails