Khamis, Januari 20, 2011

Pulangan lumayan menanti

PASIR PUTEH 18 Jan. - Para petani digalakkan terlibat dalam tanaman cendawan tiram atau nama saintifiknya Pleurotus ostreatus secara komersial kerana ia mempunyai pasaran luas di dalam dan luar negara.

Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Roseley Khalid berkata, pihaknya sentiasa memberi galakan kepada petani untuk mengusahakan tanaman cendawan itu secara komersial dengan menggunakan kaedah pertanian moden.

Beliau berkata, cendawan yang merupakan spesies kulat, sudah lama diusahakan secara ladang di negara maju bagi memenuhi permintaan industri makanan dan perubatan.

Katanya, cendawan dikatakan mempunyai unsur dikenali mycelia yang mampu membunuh dan mencerna cacing gelang, selain digunakan bagi menghasilkan nitrogen.

"Ia dikatakan mengandungi kandungan kecil arabitol yang menyebabkan kesakitan gastroususbagi sesetengah orang.

"Arabitol merupakan alkohol gula yang sepunya dengan xylitol, manitol dan sorbitol, digunakan secara meluas sebagai bahan tambahan dalam makanan. Kepelbagaian fungsi cendawan seharusnya menjadi asas untuk ia diusahakan secara komersial," katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena lawatan kerja ke projek perusahaan cendawan, di Kampung Tasek Pauh, Selising, di sini.

Pengarah Pertanian negeri, Maliha Ghazali dan Pegawai Pertanian Daerah Pasir Puteh, Shukran Abdul Rahman hadir sama.

Roseley berkata, Jabatan Pertanian juga boleh menyediakan kepakaran bagi membantu belia menganggur untuk terlibat dalam projek tanaman cendawan, sekali gus meningkatkan produktiviti sektor pertanian negara dalam penghasilan kulat bagi pelbagai tujuan khususnya perubatan.

"Pengeluaran hasil dalam kuantiti yang banyak dan kualiti tinggi membolehkannya dieksport ke China atau Jepun yang masyarakatnya gemar menggunakan kulat (cendawan) dalam masakan mereka.

"Apa pun, pada peringkat permulaan usaha memenuhi permintaan domestik sudah dianggap menguntungkan," katanya.

Menurutnya, kejayaan seorang belia di daerah ini, Nor Azimi Azuwal Nordin, 27, di Kampung Tasek Pauh yang mengusahakan cendawan tiram kelabu sehingga mampu memperoleh pendapatan bersih RM82,000 pada tahun lalu sepatutnya dijadikan contoh oleh golongan belia terutama yang masih menganggur.

Belia berkenaan, berkat kesungguhan Nor Azimi, dia yang dahulunya seorang peniaga pasar malam dan hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini sudah berstatus petani jaya yang cemerlang.

"Buktinya, sekarang ini Nor Azimi sudah mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada 13 belia lain dengan bayaran gaji yang berpatutan. Ini adalah satu kemajuan dalam pertanian komersial," katanya.

Roseley berkata, pihaknya bangga dengan pencapaian Nor Azimi itu yang kini menjadi pembekal polibag, media tanaman dan benih kulat kepada pengusaha cendawan di Pantai Timur terutama di Kelantan dan Terengganu.

Kejayaan Nor Azimi itu membolehkannya menerima Anugerah Usahawan Tani Jaya 2010 sempena Ekspo Pertanian Negeri Kelantan dan tempat kedua pada Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2010) bagi kategori usahawan cendawan tiram kelabu.

sumber : Utusan Malaysia Online

Tiada ulasan:

a> Related Posts with Thumbnails